Jam 11.30 malam Pak Phili mengejutkan kami daripada dibuai lena. Kami akan bertolak ke Padang tepat jam 12 tengah malam. Ini kerana untuk membolehkan kami tiba di Danau Kembar sebaik Subuh. Rencana awal kami sepatutnya singgah di Danau Kembar semasa perjalanan datang ke Kersik Tuo. Tapi disebabkan masa tidak mengizinkan, sewaktu kami sampai di Danau Kembar hari telah gelap.
21 Oktober 2013
Siap berkemas, kami meninggalkan guesthouse Pak Subandi, bertolak menuju utara ke Padang. Udara tengah malam sangat sejuk. Kalau tingkap minibus dibuka, angin sejuk menyerbu masuk menyucuk sampai ke tulang. Peringkat awal perjalanan kami masih bertenaga untuk bersembang kosong sambil bergelak tawa. Lepas setengah jam masing-masing senyap dan cuba melelapkan mata. Perjalanan masih sangat jauh, pemandangan di luar gelap pekat tak seperti pemandangan waktu kami datang. Mungkin kerana awan mendung membataskan sinaran bulan purnama daripada menyuluh sekalian alam. Jalan menurun 2 hala yang tidak rata membuatkan minibus yang kami naiki terhentak-hentak, menyukarkan mata untuk lelap. Walaupun dipaksa tapi gagal, tambah-tambah Neny, Tiqah dan Nurul yang duduk di bangku paling belakang, lagi terasa hentakan macam naik roller coaster. Kata Neny, sampai satu tahap dia rasa macam mahu baring di lantai je. Maaf kawan, aku yang duduk di depan sedap-sedap je tidur, walaupun hanya tidur-tidur ayam. Seat paling belakang memang tak boleh adjust, jadi memang kena duduk tegak sentiasa menyebabkan sakit belakang.
Hampir separuh perjalanan, Pak Phili memberhentikan minibus di tempat seperti RNR yang kami singgah makan mee rebus yang aku ceritakan sebelum ini. Pak Phili dan Pak Yas mahu berehat seketika sambil meneguk kopi panas untuk menyegarkan kembali biji mata dan tubuh badan. Kami tidak turun pun dari minibus, masing-masing ambil kesempatan untuk melelapkan mata dalam keadaan yang selesa tanpa hentakan dan goyangan sebab minibus sedang berhenti. Alhamdulillah, dapat juga lelap sepicing, cukuplah buat merehatkan minda sekejap. Perjalanan yang berbaki 2 jam kami teruskan, sampailah kami singgah di sebuah masjid di kawasan Danau Kembar untuk menunaikan solat Subuh. Dinihari yang sejuk berkabus memang buat kami menggigil, air wuduk punyalah sejuk. Usai solat, kami rehat-rehat sekejap dalam masjid, orang kampung yang bersolat Subuh berjemaah sudah lama balik ke rumah, tinggal kami saja berbaring-baring sambil bersembang-sembang dan mengurut-ngurut kaki yang masih sakit. Pak Phili dan Pak Yas juga mengambil peluang untuk tidur sekejap. Lagipun di luar masih gelap. Kasihan mereka yang sepanjang malam berganti-ganti memandu. Kata Pak Phili, semalam dia hanya tidur cuma 2 jam.
Hari yang makin cerah, mendesak kami menyambung perjalanan yang masih berbaki. Destinasi kami pastilah ke lokasi tinjauan di atas bukit yang dapat melihat kedua-dua danau yang tidak sempat kami tuju sewaktu hari pertama kami sampai. Udara sekitar Masya Allah, sangatlah sejuk, lalu sweater aku sarung sebagai menebat kedinginan pagi hari. Jam sudah ke angka 6 pagi. Kira-kira 15 minit perjalanan kami sampai di atas bukit untuk meninjau Danau Kembar. Di situ sepertinya sebuah kampung penempatan yang kecil, rata-rata penduduk kampung berniaga buah-buahan, sayuran, bertanam atau membuka gerai makan buat para wisatawan yang berkunjung untuk menyaksikan keindahan Danau Kembar di bawah sana. Ada juga yang menjual pokok-pokok kaktus dan bunga iklim sejuk yang aku tidak tahu apa namanya. Tapi yang popularnya di sini adalah buah markisa, hampir setiap penjual ada menjualnya. Tidak pula aku bertanyakan berapa harganya sebab tak terasa nak membeli pun.
Pokok kaktus dan bunga iklim sejuk yang ada dijual.
Restoran, tapi belum dibuka sebab masih terlalu awal pagi. Parabola mesti ada.
Kebun sayuran di lereng-lereng bukit.
Bawang disemai. Gazebo beratapkan monangkabau. Eh mana gambar danaunya?
Turun dari minibus, udara sejuk memeluk batang tubuh kami erat sampai ke tulang. Kami ke tebing bukit untuk melihat dengan lebih dekat lagi pemandangan memukau di bawah sana. Matahari yang baru menampakkan wajah di celahan bukit semakin menyerikan suasana. Kami terpegun dengan keindahan lukisan alam, ciptaan yang Maha Kuasa. Kami bukan sekadar melihat alam yang terbentang, malah kami merasainya dengan deria anugerah Ilahi, kami rasa dinginnya udara, kami rasa hangatnya mentari, kami cium bau air tasik yang asli, kami dengar kicau-kicau mergastua yang meraikan hari. Nikmat pancaindera yang Allah beri memang tak mampu kami syukuri, sungguh tak terbanding dengan apa jua amalan yang kami lakukan, walau sejuta pujian kami zikirkan.
Matahari masih malu-malu memunculkan diri, dek kabus tebal yang meliputi.
Danau Di Atas diliputi kabus tebal.
Danau Di Bawah. Gunung Talang di sebelah kiri.
Gunung Talang yang megah tersergam menarik perhatian aku, lalu kutanyakan Pak Phili perihal pendakiannya. Kata Pak Phili, gunung ini jarang didaki orang, kerana agak sukar untuk sampai ke desa di kaki gunung dengan kenderaan. Tetapi, view dari puncak gunung ini sangat memukau. Kita boleh lihat hampir keseluruhan pesona alam Solok dengan Danau Kembarnya, Danau Talang, Danau Singkarak hingga ke daerah Jambi iaitu Gunung Kerinci dan Gunung Tujuh dari kejauhan serta Gunung Merapi-Singgalang di bahagian Utara.
Gunung Talang di kejauhan.
View dari puncak Gunung Talang: Danau Kembar, Danau Talang, Danau Singkarak, Gunung Kerinci, Gunung Tujuh, Gunung Merapi-Singgalang.[sumber]
Setelah puas bergambar kenangan, kami bergerak meninggalkan Danau Kembar yang telah mengukir memori indah dalam hati masing-masing. Destinasi seterusnya adalah ke Kebun Teh Alahan Panjang. Kebun Teh ini terletak tidak jauh dari Danau Kembar, mungkin sekitar 5 km dari bukit tempat meninjau Danau Kembar. Alahan Panjang merupakan sebuah negeri di Kecamatan Lembah Gumanti, Kabupaten Solok, Sumatera Barat bahagian selatan, berjarak 65 km dari Kota Padang. Terletak di atas bukit barisan pada ketinggian 1400-1600 meter dpl, sudah pasti hawa dingin membaluti kawasannya. Kebun Teh Alahan Panjang juga turut diusahakan oleh PT Perkebunan Nusantara VI (Persero), organisasi sama yang mengusahakan Kebun Teh Kayu Aro. Kebun teh ini terletak di kiri kanan jalan, sangat asyik menikmati panoramanya tatkala melewati jalan. Dari kejauhan, tersergam megah Gunung Talang yang memaksi tanah sekitar Kebun Teh Alahan Panjang.
Langit mendung, tapi pemandangan kebun teh masih memukau.
Berpaksikan Gunung Talang.
Kami sempat mengalas perut di warung tepi jalan, hanya di pinggir kebun teh. Asyiknya perasaan menghirup teh panas yang original daripada Kebun Teh Alahan Panjang.
Warung tepi jalan.
Roti gepeng berinti kacang hijau kesukaan Mai.
Secangkir teh SeriWangi pemanas badan.
No comments:
Post a Comment