Wednesday, October 30, 2013

Gunung 7 Part 4 : Pendakian Gunung 7 & Danau Gunung 7 (Bahagian III)

20 Oktober 2013


Masih cerita Gunung 7. Setelah hampir 3 jam mendaki, kami sampai ke puncak gunung. Tapi pendakian belum berakhir di sini. Destinasi kemuncaknya adalah Danau Gunung 7 yang perlu dituruni. Danau Gunung 7 merupakan danau gunung berapi tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian mencapai 1950 meter dpl, seluas kira-kira 960 hektar, panjang 4.5 km, serta lebar 3 km. Disebabkan danau ini berada di puncak gunung, air danau ini sangatlah sejuk. Danau ini mempunyai kedalaman sehingga mencapai 40 meter. Seperti yang dikatakan sebelum ini, Danau Gunung 7 dikelilingi oleh 7 gunung yang mana sesetengah daripadanya mempunyai sumber air untuk mengairi danau. Danau Gunung 7 adalah danau vulkanik yang menawan yang tercipta karana proses letusan Gunung 7. Letusan gunung berapi ini menyebabkan terbentuknya sebuah kawah besar yang kemudian terisi oleh air hujan sehingga membentuk sebuah danau. Danau Gunung 7 mengaliri beberapa sungai di Jambi, salah satu alirannya bermuara di Sungai Batanghari. Di danau ini terdapat spesis ikan yang mereka sebut ikan pareh, justeru ada nelayan-nelayan yang akan turun ke danau setiap hari untuk menangkap ikan. Seminggu sekali mereka akan turun gunung untuk menjual hasil tangkapan mereka.

Setelah melepaskan lelah sejenak kami pun beransur turun ke danau. Trek ke danau sangatlah curam dan licin, amat perlu berhati-hati dan fakus semasa menuruni trek kalau tak mahu tergolek sampai ke dalam danau.

Hati-hati kawan.

Air danau kelihatan berwarna hijau dari atas.

Akhirnya setelah kira-kira 15 minit menuruni lembah kami sampai ke tepian Danau Gunung 7 yang memukau. Sayangnya, gunung-gunung yang mengelilingi danau dilitupi kabus tebal hingga tak kelihatan. 

Batu yang menjadi lokasi setiap pendaki yang bergambar di sini. [Lagi gambar ketik sini]

Danau Gunung 7 terlihat dari puncak Gunung Kerinci [sumber]

Tebing danau yang sebelah sini agak sempit dan nampaknya tidak sesuai untuk kami 'berkelah' di tepiannya, tambahan pula ada pengunjung lain yang telah dulu sampai daripada kami telah memenuhi spot-spot strategik dengan membina khemah dan menghampar tikar. Rata-ratanya memang orang Indonesia sendiri. Aku kagum dengan mereka kerana datang ke sini dengan pakaian casual dan berselipar jepun sahaja. Yang perempuannya ada yang berskirt kembang. Kami yang lengkap berkasut sport dan bertreksuit ni jangan cakap la, comot dan kusut selayaknya orang masuk hutan.

Pak Phili mengajak kami untuk keseberang sana supaya lebih privacy. Kebetulan ada pakcik nelayan yang baru lepas membubu ikan. Oleh sebab kami tak tahu apa namanya kami hanya memanggilnya dengan Pak Bubu, hinggakan Pak Phili sendiri menamakannya begitu. Nasibla pakcik. Sampan Pak Bubu sangatlah mengerikan, bukan sebab sampannya ada ukiran pocong tapi sebab sampannya sangat kecil dan sangatlah tidak stabil. Sampannya itu diperbuat daripada batang pokok dan haruslah lebarnya hanya sebesar batang pokok. Semasa berada di dalamnya diharamkan untuk bergerak-gerak seenak rasa untuk mengelakkan daripada terkubur terus dalam danau, tambah pula memang tiada life jacket, safety jacket, pelampung atau apa saja yang boleh dipanggil peralatan keselamatan di laut. Kalau karam memang kena paut pada sampan sahaja. Paling menambah perisa, hanya seorang diantara kami yang tahu berenang.

Pak Bubu dengan sampan klasiknya.

Selamat berjuang sahabatku.

Untuk keseberang sana hanya kira-kira 10 minit sahaja. Kami tidaklah merentasi keseluruhan danau. Spot yang dikatakan itu hanya lebih kurang 300 meter daripada lokasi kami naik sampan. Ikut jalan darat pun boleh, tapi kami yang kononnya mahukan thrill dan adventure memilih untuk naik sampan. Lagipun dah sampai sini haruslah dicuba juga bagaimana rasanya merentasi danau yang airnya Masya Allah sejuk bangat. Pak Bubu hanya membawa kami di tepian sahaja, itupun jantung sentiasa berdegup kencang dan adrenalin terembes lebih daripada biasa. Cuak oii. Alhamdulillah tidak ada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini, semua kami selamat sampai ke tempat yang dimaksudkan. Kawasannya memang tidak berorang, disitu ada sungai kecil yang agak deras kalau hari hujan, yang mengalir masuk ke danau. Tepiannya berbatu-batu macam di tepi sungai berair terjun.

Menikmati lunch di tepi Danau Gunung 7, di atas batang pokok mati.

Lunchbox kami...lauk ayam goreng dan telur dadar, dengan sayur kangkung. Sambal add-on. Kalau di Malaysia memang tak lalu nak makan lauk macam ni haha.

Tak sampai 5 minit kami menikmati lunch yang lazat dengan sambal yang unforgetable forever, hujan turun dengan tanpa belas kasihan. Kami memang sedar langit sudah gelap masa baru nak buka lunchbox. Aku pun ada cakap, macam nak hujan je ni. Memang sungguh hujan. Mula-mula hanya rintik-rintik, kami relaks lagi makan, tapi tiba-tiba titisannya terus kasar dan kami kelam kabut mencari tempat berteduh dan menyelamatkan barang-barang bawaan kami ke bawah pokok-pokok di tepi danau, terutama kamera DSLR aku yang menjadi sumber terbesar foto-foto kami di sini nanti. Mula-mula kami hanya berkumpul di bawah pokok, tapi makin lama hujan turun makin menggila hingga kawasan danau tempat kami lepak jadi gelap diselubungi kabus tebal. Lunchbox kami digenangi air, masing-masing terkenangkan nasi bersambal sambil berdiri kaku di bawah pokok bersama tangan penuh memegang beg, kasut dan lunchbox. Hanya Pak Phili dan Mas Kimong yang sudah habis makan. Dalam hujan yang makin menggila, kami menyarung panco untuk mengelak daripada basah kuyup. Rintik hujan menimpa macam air shower di bilik mandi. Sejuk usah cakaplah. Aku pula sedang menahan pundi kencing yang dah penuh. Azabnya rasa.

Mengenangkan hujan yang tak ada tanda-tanda mahu berhenti, Pak Phili mencadangkan untuk berpindah ke lokasi mula-mula kami turun tadi, tempat kami naik sampan Pak Bubu. Kami terpaksa melalui jalan darat sebab hujan yang sangat lebat tidak memungkinkan Pak Bubu datang ke lokasi tempat kami berkumpul. Lagipun kami perlu turun ke kaki gunung sebelum hari gelap. Laluan darat agak rimba dan sangat becak dek air hujan yang bergenang. Sampai satu lokasi, di bawah pokok yang lebih rendang, kami berkumpul dan berteduh di bawahnya sambil menyambung lunch yang tergendala tadi. Di situ lebih teduh berbanding yang tadi. Walaupun lunchbox digenangi air hujan, kami tetap makan dengan berselera. Selesai makan Pak Bubu datang dengan sampannya seperti penyelamat kami yang sudah berbulan-bulan terkandas di pulau tak berorang. Hujan pun sudah mula renyai. Maka bermulalah lagi episod jantung berdegup kencang dengan adrenalin terembas hebat. Sampan Pak Bubu selamat membawa kami ke seberang sana. Ikutkan ada jalan darat yang tembus sampai ke situ, tapi perlu menyeberangi anak sungai separas dada, jadi kami lebih selesa memilih untuk menunggang sampan Pak Bubu, hanya Mas Kimong yang melalui jalan itu.

Merentasi danau dalam hujan.[ihsan gambar Neny]

Sampai di tempat kami naik bot mula-mula tadi, kami sempat mengambil gambar berlatar belakang danau dalam hujan, sengaja mahu ambil gambar dengan memakai panco, nampak colorful. Untuk naik balik ke Gunung 7 juga agak mencabar sebab trek agak terjal dan hujan yang turun menambahkan lagi kesukaran. Perlu extra care sebab akar-akar kayu jadi licin dan tanah berbecak, kemungkinan untuk tergelongsor ke belakang sangatlah tinggi. Bagi mereka yang sudah expert mungkin ia tidak menjadi masalah sebab dah tau teknik-teknik yang sesuai diaplikasi dalam keadaan macam tu. Tapi bagi kami yang novice ni memang kena berhati-hati dan pergerakan jadi sedikit lambat. Kami mengambil masa hampir setengah jam untuk sampai ke puncak. Berehat sekejap di puncak, kami terus menyambung perjalanan turun. Kami perlu cepat sebelum hari gelap. Jam sekarang sudahpun mencecah hampir jam 4 petang. Selambat-lambatnya jam 7 kami perlu sampai di kaki gunung.

Perjalanan turun mengambil masa 2 jam lebih. Jalan berbecak dan licin menyukarkan lagi perjalanan kami. Aku yang sedang menahan pundi kencing bertambahlah sukarnya untuk menuruni trek, sampai sakit di bahagian bawah perut. Kawan-kawan aku masing-masing pernah jatuh semasa menuruni trek, mujurlah aku tak pernah jatuh. Kalau ada yang jatuh kami semua akan bising dan bertanya siapa yang sedang jatuh. Paling dramatik Maria jatuh sampai bersujud menyembah bumi. Sampai satu tahap kawan-kawan aku menunggu-nunggu turn aku jatuh, tapi hampa. Kawan, aku tak pernah jatuh tapi aku paling last sampai. Masa menuruni gunung, Pak Bubu ikut sama turun bersama kami. Dia di belakang Shila dan aku di depan Shila. Tiap kali Shila jatuh Pak Bubu gelakkan Shila. Ada sense of humor juga Pak Bubu ni. Pak Bubu rupa-rupanya tidak normal macam kita. Tangan kanannya macam tak berfungsi. Jadi segala-galanya, daripada mendayung sampan sampailah menuruni gunung, Pak Bubu cuma guna sebelah tangannya sahaja. Insaf aku dengan kekurangan Pak Bubu. Pak Bubu juga memiliki ladang kobis di kaki gunung. Cekalnya Pak Bubu dalam keadaan macam tu beliau mampu berkebun, bersampan, menangkap ikan dan meredah belantara. Kata Maria kaki kanannya juga tidak berfungsi seperti sediakala. Tidak ada alasan lagi bagi kita yang sempurna tubuh badan ni untuk bermalas-malasan dalam pekerjaan seharian.

Close up sikit gambar Pak Bubu [ihsan gambar Nurul]


Lebih kurang lagi 300 meter untuk sampai ke pos Jagawana, kita akan dapat lihat Gunung Kerinci di sebelah kanan. Masa kami melepasi lokasi yang boleh nampak Gunung Kerinci, hari sudah pun gelap. Azan Maghrib pun sudah berkumandang, tapi kami sempat bergambar kenangan berlatar belakangkan Gunung Kerinci.

 Semua dah comot. Pak Bubu nak interframe sama.[ihsan gambar Shila]

Pemandangan di sini memang super amazing dengan Gunung Kerinci nampak dari kejauhan. Tapi masa ni aku takde perasaan langsung nak bukak beg keluarkan kamera sebab aku sangat nazak menahan pundi kencing yang mahu terburai. Bila nampak kawan-kawan aku masing-masing excited ambil gambar Gunung Kerinci, aku hanya memandang kosong, aku fikir nanti boleh ambil gambar yang mereka tangkap je. Tapi sekarang aku sangat menyesal sebab tak ambil gambar dengan kemera aku sendiri. Lain rupanya perasaannya bila nampak gambar orang lain dengan tengok gambar yang kita sendiri tangkap.

Sampai saja di pos Jagawana, aku mohon Pak Yas berhenti di mana-mana masjid sebab aku memang dah tak boleh tahan untuk buang air kecil. Senak dah perut. Sebenarnya di pos Jagawana tu ada tandas di dalam pejabat pengurusannya, tapi sebab sudah lewat, jadi pejabatnya sudah berkunci. Mujur ada masjid di dalam perjalanan, dan Alhamdulillah, nikmatnya rasa dapat buang air kecil. Nikmat buang air kecil memang amat jarang kita syukuri, bila berada dalam situasi macam ni barulah tahu betapa dapat buang air kecil pun satu nikmat yang sangat besar.

Sampai di guesthouse kami semua bersihkan diri, solat dan makan malam. Maka bermulalah acara urut mengurut sesama sendiri. Sakit kaki usah dikata. Jalan pun macam OKU dah. Lepas urut-mengurut, masing-masing sudah penat selepas seharian berpetualang di Gunung 7, maka tidur sajalah aktiviti paling sesuai. Jam 12 tengah malam nanti kami akan bertolak ke Padang.

No comments:

Post a Comment