Kami tiba di Bandara Minangkabau kira-kira jam 1.45 petang waktu Indonesia. Supir kami sudah sedia menanti di bandara. Dia sudah menanti sejak jam 12 lagi, katanya sempatlah dia menunaikan solat jamak di situ. Aku orang yang terakhir melepasi pemeriksaan kastam dan imigresen. 6 orang temanku sudah siap menunggu di luar. Rupa-rupanya supir kami mengenali teman-temanku walaupun aku tidak ada bersama mereka. Dia menyambut teman-temanku di pintu keluar sambil bertanyakan adakah mereka ini teman- temanku. Aku dan Pak Phili memang sudah saling mengenali kerana May yang lepas aku telah menggunakan khidmatnya dan itulah detik awal perkenalan kami. Saat itu aku bersama 4 orang teman yang lain hanya bercuti di Padang dan Bukit Tinggi, trip yang santai sambil membeli belah.
Pak Phili membawa temannya, Pak Yas yang akan bergilir dengannya memandu mobil kerana perjalanan akan mengambil masa kira kira 9 jam untuk ke destinasi, dan Pak Phili akan turut sama mendaki Gunung 7, jadi dibimbangi mengganggu konsentrasi pemanduan sementelah penat memanjat gunung. Perjalanan kami mulai dengan meninggalkan perkarangan Bandara Minangkabau dengan hati yang berkobar-kobar untuk menawan Gunung 7. Bajet pendaki gunung tegarlah kononnya, padahal tak sampai 5 gunung pun yang pernah dipanjat. Tak apalah, gaya mesti ada. Semangaatttt.
Perut yang lapar mesti diisi terlebih dahulu. Walaupun perjalanan udara hanya mengambil masa 1jam 05 minit tapi kami sudah bertolak awal dari rumah masing-masing demi mengharungi perjalanan ke LCCT yang lumayan jauh. Kami singgah di restoran masakan Padang Lamun Ombak. Menikmati nasi padang tatkala perut berkeroncong memanglah berbaloi. Makanan tidaklah dibazirkan kerana porsinya agak besar dan oleh kerana jumlah kami agak ramai maka dapatlah merasa berjenis jenis masakan. Sebenarnya nasi padang dihidang dengan berpuluh puluh jenis lauk pauk di atas meja panjang. Kita hanya tinggal pilih saja lauk mana yang mahu dijamah, dan hanya lauk itu yang perlu dibayar. Lauk yg tidak disentuh tidak akan dimasukkan dalam bil semasa membuat pembayaran. Aku yang sudah terliur dgn air buahan yg segar turut sama memesan jus durian belanda atau dipanggil jus sirsak oleh masyarakat lokal. Rasanya terlebih masam daripada yang biasa aku rasa, mungkin buahnya masih muda. Makan tengah hari kami bertujuh keseluruhan berjumlah Rp349,000 (RM104.7), iaitu kira-kira Rp50000 (RM15) seorang. Kachinnnggg!!
Singgah makan kejap di Lamun Ombak. Sorang lagi tukang ambik gambo.
Perjalanan diteruskan lagi melewati kota Padang, menuju selatan ke daerah Solok. Destinasi kami adalah Danau di Atas dan di Bawah atau dikenali dengan nama Danau Kembar. Jam sudah menghampiri pukul 4 petang, dan perjalanan sepatutnya mengambil masa kira-kira 1 jam setengah. Namun disebabkan berlaku kesesakan yang amat teruk di jalan keluar daripada kota Padang, ditambah pula dengan hujan yang agak lebat dan jalan yang mendaki berselekoh tajam, kami hanya sampai ke kawasan Danau Kembar sebaik azan Maghrib berkumandang, iaitu kira-kira jam 6.15 petang. Suasana bertambah gelap ditambah dengan cuaca mendung. Udara pergunungan sangat dingin dirasakan bila cermin tingkap minibus dibuka. Jalan juga nampak berkabus. Jalan menghala ke bukit yang dapat melihat kedua-dua danau ini sudah gelap, jadi atas cadangan dan nasihat Pak Phili, kami tidak singgah dan turun dari minibus untuk melihat kehebatan pemandangan danau ini. Danau hanya kami tinjau dari cermin tingkap minibus, samar-samar dihias kerlipan cahaya lampu di pinggir danau. Tentatif perjalanan kami sedikit berubah. Jika berkesempatan, kami akan singgah sekali lagi di sini saat pulang ke Padang nanti.
Danau Kembar [sumber]
Secara ringkasnya, Danau Kembar terletak di daerah Bunga Tanjung, Alahan Panjang, Kabupaten Solok, Sumatera Barat. Uniknya, jika mahu ke Danau Di Atas pengunjung perlu menuruni bukit sementara ke Danau Di Bawah, pengunjung perlu mendaki bukit kerana Danau Di Atas terletak di bahagian bawah, Danau Di Bawah terletak di bahagian atas. Kedua-dua danau ini dipisahkan oleh bukit selebar kira-kira 300 meter yang menjadi lokasi untuk meninjau dan menikmati pemandangan indah danau. Danau Kembar terletak di Banjaran Barisan yang menjadi tulang belakang pulau Sumatera sebagaimana Banjaran Titiwangsa yang menjadi tulang belakang semenanjung Malaysia. Danau Di Atas berkeluasan kira-kira 17.2 meter, sedalam kira-kira 44 meter, sedangkan Danau Di Bawah berkeluasan kira-kira 16.9 meter, sedalam kira-kira 886 meter.
Singgah solat dulu...
Perjalanan berkabus.
Setelah melewati Danau Kembar kami meneruskan lagi perjalanan menghala ke selatan, menuju destinasi sebenar iaitu ke Provinsi Jambi, dimana terletaknya Gunung 7. Jam sudah menunjukkan ke angka 7.30 petang. Jalan 2 hala yang ditempuhi sangat berkelok, sempit dan berlubang-lubang. Kadang-kadang menuruni lembah tapi kebanyakannya mendaki, menjadikan jarak perjalanan memakan masa lebih 5 jam. Kiri kanan jalan adalah jurang yang agak dalam kerana merentasi kawasan pergunungan Banjaran Barisan. Kadang-kadang kenderaan terpaksa berhenti untuk memberi laluan kenderaan dari arah bertentangan, sehingga ada 1 masa perjalanan kami tersekat kerana jalan yang sudah sedia sempit itu menjadi 1 lorong akibat longgokan batu-batuan yang sebesar bola sepak dibiar tersadai memenuhi lorong sebelah kanan sehingga menyekat perjalanan kenderaan di lorong itu. Kata Pak Phili, batu-batu itu nanti akan menjadi bahan asas dalam pembinaan benteng untuk menahan tanah runtuh di lereng-lereng bukit yang curam. Tapi sangat tidak sistematik cara pengurusannya hingga menyebabkan kesesakan jalan sedemikian, tambahan pula banyak lori yang melalui jalan tersebut. Mujurlah ada beberapa penunggang motosikal yang secara sukarela mengambil inisiatif mengawal lalu lintas dengan bertindak seperti polis trafik yang mengatur siapa yang patut jalan dulu dan siapa yang perlu tunggu. Hampir 10 minit jugalah kami terkandas di situ, memberi laluan kepada kenderaan sebelah kanan jalan dulu.
Akibat jalan yang berkelok-kelok dan tidak rata, seorang dari rakan kami hampir muntah kerana pening dan mabuk. Kasihan betul Shila, tempat duduknya di belakang sekali, haruslah lebih goyangan dan hentakan dan lambungan daripada kami yang di bahagian depan dan tengah, hingga terpaksa berhenti sebab isi perutnya sudah hampir terhambur keluar. Sudahnya dia bertukar tempat dengan Pak Phili, duduk di sebelah pemandu. Barulah lega.
Setelah hampir separuh perjalanan, kami berhenti sebentar di kedai makan di tepi jalan. Bolehlah dipanggil RnR kerana disitu memang menjadi lokasi persinggahan lori-lori, kereta sewa seperti kami dan kenderaan persendirian. Usahlah bayangkan tempatnya seperti RnR di lebuh raya PLUS. Di situ cuma ada kedai makan yang agak besar, juga disediakan tandas dan tempat solat. Makanan dan minumannya sangat basic, mungkin kerana waktu sudah jauh malam. Aku membayangkan tempat ini sekurang-kurangnya seperti kedai runcit, jadi bolehlah membeli roti dan jajan sebagai bekalan perjalanan yang masih jauh. Kata Pak Phili sebentar tadi, di tempat ini kami boleh beli makanan untuk bekalan di guesthouse nanti, kerana di sana nanti sukar untuk menjumpai makanan ringan dan roti. Kami menghadapi sedikit kesukaran untuk memesan makanan, mana tidaknya, pelayan kedai makan tidak faham apa yang kami mahu. Padahal cuma meminta air teh o limau panas dan air limau panas. Mujur ada Pak Phili yang menjadi jurucakap. Teh o limau panas perlu diperincikan penerangannya - teh o yang diperah di dalamnya dengan limau. Limau di sana dipanggil jeruk. Air limau panas yang aku pesan sangatlah berbeza dengan yang biasa aku minum. Airnya berwarna kuning-oren dan rasanya teramatlah masam. Paling mengejutkan ia dihidangkan dalam cawan tinggi, memang boleh cirit birit kalau minum sampai habis. Sayang sungguh aku tak ambil gambarnya. Menu mee rebus juga jadi kontroversi. Bila dikatakan mee rebus tentulah di fikiran terbayangkan mee kuning yang berkuah pekat, ada bawang goreng dan cili potong - selayaknya mee rebus. Hakikatnya, mee rebus yang kami pesan sebenarnya mee segera (Mee Sedap) yang direbus dan diletakkan keropok dan telur. Mujur juga ada telur. Mee rebus atau mee segera, kedua-duanya rezeki dari Allah. Apa jua versinya telan sajalah. Lagipun kami tidaklah begitu lapar, sengaja mahu rasa menu di sini sementara menunggu Pak Phili dan Pak Yas berehat. Hanya aku, Maria dan Neny yang memesan mee rebus, yang lain hanya memesan minuman dan makan roti dan ada yang hanya minum. Untuk rekod, makan di sini keseluruhan berjumlah Rp57000 iaitu kira-kira RM17, jadi purata seorang hanya berjumlah kira-kira RM3.
Dua-dua mee rebuih. Yang kanan versi mee sedap.
Lagi kurang lebih 3 jam untuk sampai ke destinasi. Kami bertukar tempat duduk di dalam minibus. Aku yang sejak mula perjalanan duduk di bangku tengah berpindah ke bangku paling belakang, bertiga bersama Maria dan Nurul. Maria di tengah-tengah. Sepanjang perjalanan kami tidak henti berborak, dari cerita tentang pesakit Maria yang berhalusinasi hinggalah tentang trip backpack Nurul bersama Tiqah ke Laos. Kesepian malam pecah dengan suara kami berborak yang kadang-kadang diselangi dengan hilai tawa yang kuat. Sengaja aku mengajak mereka berborak untuk mengelakkan daripada rasa mual dan pening. Masing-masing terlena selepas kehabisan idea untuk berborak. Aku sendiri sebenarnya hanya tidur-tidur ayam. Sekejap-sekejap aku menghayati pemandangan di luar. Langit cerah disirami cahaya bulan malam 14 Zulhijjah yang terang benderang. Bulan kelihatan lebih besar daripada biasa megah tergantung di dada langit, sehingga menerangi hutan belantara yang sedang kami rentasi. Aku boleh nampak hijaunya dedaun pokok dalam kelam malam bersiram cahaya bulan, walhal sudah tengah malam. Kalau tidak kerana cahaya bulan pastinya di luar sana hanya pemandangan gelap pekat yang terhidang. Saat mata tertancap pada Gunung Kerinci, kami semua teruja dan terpaku dengan keagungan ciptaan Allah itu. Walaupun hanya samar-samar bersuluh cahaya bulan, Gunung Kerinci tetap gagah tersergam indah menghiasi Bumi Jambi. Tidak terucap dengan kata-kata saat pertama kali melihatnya, sebelum ini hanya membaca di website tentang keindahannya. Perasaannya seperti sedang bertemu dengan pujaan hati yang selama ini hanya melihat fotonya sahaja. Over tau. Berhadapan dengan Gunung Kerinci adalah Gunung 7 yang akan kami daki esok. Bila nampak kedua-dua gunung ini maksudnya destinasi kami telah hampir, kira-kira setengah jam lagi perjalanan.
Tiba di guesthouse, masing-masing sudah penat dan mengantuk. Perjalanan separuh hari yang memenatkan akhirnya berakhir juga. Kira-kira jam 12.30 pagi kedatangan kami disambut oleh tuan punya guesthouse yang telah menanti kami sejak malam tadi. Guesthouse ini terletak dalam kebun teh Kayo Aro, di desa Kersik Tuo. Udara tersangatlah dingin di sini, jatuh sehingga 16 darjah Celcius. Guesthouse ini sangat sederhana, membandingkan kemudahannya dengan hotel 2 bintang pun usah. Kami bertujuh disediakan dengan 3 bilik. 2 bilik bertiga dan yang lagi satu bilik berdua. Aku sebilik dengan Maria di bilik tengah walaupun biliknya untuk 3 orang. Pak Phili dan Pak Yas juga menginap di guesthouse yang sama, tapi di bilik belakang. Aku tidak pasti berapa jumlah bilik dalam guesthouse ini kerana ia memanjang ke belakang dan tidak sesuai rasanya untuk aku mengintai hingga ke hujung sana. Walaupun kelihatan sangat sederhana, keadaan dalam guesthouse ini sangat teratur dan bersih. Lantainya berjubin corak berwarna coklat. Yang paling penting bilik mandinya juga bersih dah cadar katilnya berbau wangi. Air di bilik mandi ditakung dalam kolah, bertambah sejuklah dengan udara sekeliling yang sedia dingin. Aku tetap mahu mandi walaupun dalam keadaan dingin begitu kerana kurang selesa dengan keadaan badan yang panas di dalam. Sebenarnya sehari sebelum trip ke sini aku demam tapi tidaklah begitu teruk. Lepas pakai Kool Fever dan minum 100 Plus badan pun beransur sihat. Lepas mandi air pergunungan yang dingin badan rasa lebih segar walaupun saat air terkena kulit sejuknya hanya Tuhan yang tahu. Memang menggigil usah cakap la tapi aku tahan demi mahu keluarkan panas badan, dan ternyata berkesan sebab lepas mandi memang rasa badan lebih ringan dan sihat. Usai solat apa lagi yang mahu dibuat selain tidur. Nikmatnya usah cakap bila dapat berbaring, tapi aku hanya tidur-tidur ayam hinggalah menjelang subuh. Biasalah, kalau di tempat baru aku memang sukar untuk melelapkan mata. Tambah pulak dengan cuaca yang sangat sejuk dan perasaan teruja untuk mendaki Gunung 7.
Pondok bunian hunian a.k.a guesthouse Pak Subandi
Bahagian dalam - ruang tamu
as salam, ada contact no pak phili tu x?
ReplyDeletewsalam ..ada..
Delete+62 813-6349-9626
boleh wasap je.. :)