Bukan hari ini, tapi 2 hari lepas. Belum basi lagi mungkin. Ramai juga yang mengucapkan selamat hari jadi, dalam beberapa versi bahasa - Arabic, English, Malay, Japanese. Untung juga punya rakan-rakan yang tahu berbagai bahasa, walaupun rata-rata rakan-rakan berbangsa Melayu. Biasalah dalam era muka buku kini, ucapan semua dikirim melalui wall muka buku, malah hadiah hari jadi juga sangat digital. Terima kasih tidak terhingga kepada yang sudi belanja makan tengah hari sempena hari jadi. Bila sudah 29 kali menyambut hari jadi, hati jadi gelisah memikirkan amalan yang masih kurang sedangkan dosa makin bertambah. Setiap tahun semakin hampir dengan kematian, semakin dekat dengan ajal, walhal bekal untuk hidup di sana masih belum cukup. Apa yang mahu dipersembahkan di hadapan Rab al-Jalal nanti? Mudahkah lidah untuk menjawab soalan bocor Munkar dan Nakir?
Siapa Tuhan Kamu?
Siapa Nabi Kamu?
Apa Agama Kamu?
Apa Panduan Kamu?
Siapa Saudara Kamu?
Sebagaimana sabda Nabi yang mulia;
Tidak akan berganjak kedua-dua kaki setiap hamba (ke syurga atau
neraka) pada hari akhirat nanti sehinggalah ditanya tentang umurnya, ke
mana dihabiskan. Ditanya tentang ilmunya, apakah yang diamalkan. Ditanya
tentang hartanya, bagaimana cara memperolehi dan membelanjakannya. Dan
ditanya tentang kesihatan tubuh badannya, apa yang telah dilakukan dalam
kehidupan.
(HR Tarmizi no 2417)
Jarang-jarang saya lupa pada tarikh hari jadi saya, kecuali pada tahun 2003, iaitu semasa hari jadi saya yang ke 19, sepuluh tahun lepas, ketika itu saya baru menerima tawaran menyambung pembelajaran di peringkat ijazah sarjana muda di KUSTEM, Terengganu, sebelum berpindah ke UKM selang sebulan selepas itu. Hanya kurang lebih 3 minggu saya di situ, masih sempat menghadiri kuliah kira-kira 2 minggu. Saya punya teman-teman sebilik yang akrab, kami baru berkenalan tapi seperti sudah lama bersahabat. Kami mesra, kemana jua bersama. Sehingga pada suatu petang, seorang daripada teman sebilik saya, Asma, yang berasal dari Seremban bertanyakan kepada saya bila tarikh lahir saya. Saya memberitahunya tanpa menyedari esoknya adalah tarikh hari jadi saya, kerana saya betul-betul lupa pada tarikh hari itu. Patutlah dia beriya-iya mahu mengesahkannya daripada saya, hingga mahu melihat kad pengenalan saya. Masih dalam keadaan yang tidak cakna akan esok hari jadi saya, kad pengenalan saya hulur padanya untuk memuaskan hatinya.
Malam harinya, saya tidur agak awal daripada teman yang lain. Tempat tidur saya di tingkat atas katil double decker, berkongsi dengan katil Asma yang di tingkat bawah. Kira-kira jam 12 malam teman sebilik saya yang seorang lagi, yang kami panggil Yien, mengejutkan saya untuk menemaninya ke tandas. Mulanya saya agak pelik kerana sebelum ini dia tidak memerlukan teman pun untuk ke tandas, walaupun pada awal pagi. Mahu tak mahu saya turun dari katil membontotinya ke tandas, sementelah saya juga mahu membuang air kecil. Di bilik air masih ada orang, saya masuk ke salah satu tandas. Setelah menyelesaikan urusan didalam, pintu tandas saya buka, dan terjadilah peristiwa yang saya tak akan lupa sampai bila-bila, dan ingatan terhadap peristiwa ini makin mendalam setiap kali tarikh hari jadi saya hampir tiba. Sebaik saja daun pintu saya kuak, sebaldi air sabun tersimbah ke seluruh tubuh saya, dan saya akui memang saya sudah tertelan sedikit air sabun yang disimbah. Saya tergamam, masih terpinga-pinga akan apa sebenarnya yang berlaku, tapi telinga saya dapat menangkap gelak tawa teman-teman sebilik saya, paling ketara tawa Asma. Rasa marah mula membara, dengan kebengangan saya bersuara;
"Korang buat apa ni?"
Saya nampak muka Asma seperti bersalah, lalu dia memberitahu;
"Birthday ko lah..."
Saya sudah tidak boleh terima apa saja alasan mereka berbuat begitu walaupun pada masa yang sama saya baru teringat hari itu hadi jadi saya. Tanpa mempedulikan mereka, saya berlalu keluar bilik air, masuk ke bilik dan menutup pintu bilik kuat-kuat, menggambarkan kemarahan saya diperlakukan demikian. Mujur di bilik tiada sesiapa. Saya menukar tshirt yang sudah basah kuyup, sambil berfikir-fikir, apa salahnya saya meraikan cara sambutan mereka, walaupun pada saya sedikit keterlaluan dengan surprise demikian. Saya cuba menjadi seorang yang open-minded, lalu saya mendapat idea. Saya kunci pintu bilik dari dalam dan buat-buat seperti sedang betul-betul marah dan merajuk. Teman-teman saya cuba masuk ke bilik tapi gagal sebab pintu telah awal-awal saya kunci. Mereka cuba mengetuk-ngetuk pintu sambil memanggil-manggil nama saya dari luar, dan meminta maaf. Saya hanya diam, sambil dalam hati menahan tawa.
Agak lama mereka di luar, saya akhirnya membuka pintu. Sambil menguak daun pintu saya ketawa kuat-kuat, kerana ketika itu mereka sedang berbincang-bincang apa yang harus dilakukan untuk meminta maaf daripada saya. Saya boleh dengar dari dalam bilik setiap perbincangan mereka. Mereka seakan terperanjat, dan mereka juga seakan terkena dengan lakonan saya, walaupun pada awalnya saya memang betul-betul marah. Selepas peristiwa itu kami jadi lebih akrab, kami ke pantai bersama melihat matahari terbit, ronda-ronda keliling kampus, makan sotong goreng di tepian pantai, makan mee goreng setiap malam di kedai hadapan kampus, outing ke Pasar Payang menaiki bot, ah semuanya manis belaka untuk dikenang.
Kini saya terputus hubungan dengan mereka setelah saya berpindah ke UKM. Saya masih mencari-cari jejak mereka, tapi lama-lama jejak itu makin sukar untuk saya jumpa. Saya rindu juga keakraban kami suatu ketika dahulu. Moga Allah mempertemukan kami sekali lagi nanti. Amin.
No comments:
Post a Comment