Tuesday, May 21, 2013

Hujung minggu yang teruji

Hujung minggu lepas bekalan air di rumah sewa saya terputus. Mujur ada 2 tong 10 gallon penuh berisi air memang disimpan untuk saat-saat genting seperti ini. Pagi jam 11 saya tersedar tiada bekalan air apabila saya pulas kepala paip, tidak ada air mencurah turun. Sudahlah waktu itu perut memulas minta hajat dikabulkan. Saya masuk ke bilik air, nampak 2 tong 10 gallon, lega sedikit hati. Tapi bila fikir belum mandi dan untuk berwuduk Zohor nanti hati saya jadi berkecamuk. Saya monolog dalam hati, petang nanti mungkin bekalan air ada seperti biasa, namun saya masih berfikir-fikir backup-plan kalau-kalau bekalan air masih terputus sehingga malam menjelang, atau sehingga esok, atau sehingga Isnin hari bekerja.

Alhamdulillah, Zohor dan Asar usai di Masjid Hasanah, terlintas juga dalam hati, kalau tidak sebab bekalan air terputus di rumah mungkin saya tak berada di Masjid Hasanah sepanjang petang hari Sabtu dan saya lebih selesa bergulung di atas katil memproses tahi mata. Ada hikmah sebenarnya. Lewat petang saya ke rumah kakak di Taman Universiti, berriadah dan memang tujuan untuk mandi malam dan Maghrib di situ. Jam 11 saya bergerak meninggalkan Taman Universiti, setelah sempat lelap di atas kerusi makan semasa sedang melayari internet. Saya kelam kabut bangun dari lelap lepas kakak saya bergurau 'nak tutup kedai dah', bermaksud dia sudah mahu naik ke bilik dan kebiasaannya akan memasang alarm rumah sebelum tidur. Saya bingkas bangun, kesat-kesat mata dan bergegas mengemas laptop dan telekung dan pakaian busuk yang saya pakai semasa berriadah petang tadi. Saya belum bersolat Isya', saya tahu, sebab saya yakin di rumah saya nanti bekalan air sudah disambungkan, saya yakin 100%. 

Sampai ke rumah sewa saya, perkara pertama yang saya buat lepas membuka grill dan pintu rumah adalah memulas paip air di sinki, untuk memeriksa bekalan air sudah disambungkan atau belum. Saya kecewa yang betul-betul kecewa, hanya angin yang keluar dari muncung paip. Hampir-hampir mulut saya menuturkan kata-kata kesat memarahi situasi yang saya kira sangat menyusahkan saya, sebab sebelum itu saya 100% yakin bekalan air telah disambungkan pada waktu-waktu begini. Hati saya makin sakit bila teringat saya masih belum bersolat Isya', gara-gara keyakinan saya yang 100% itu. Saya bergumam dalam hati, menyalahkan takdir yang menyusahkan saya untuk beribadat. Akal saya membisikkan kalimah sabar,

"Baru Allah uji tak ada air, dah nak mengamuk. Nabi dulu bukan takat nak wuduk, nak minum pun tak ada air. Apalah sangat ujian tak ada air berbanding ujian menahan dahaga dalam cuaca panas terik, malah kalau diikutkan ada lagi sumber air yang berdekatan."

Saya cepat-cepat istighfar, saya tunggu lagi sehingga bekalan air disambungkan, sehingga saya tertidur. Hampir jam 5 pagi saya terbangun dari tidur, dan seperti biasa perkara pertama yang saya lakukan adalah memulas kepala paip, dan sekali lagi saya kecewa, dan tambah sakit hati sebab saya belum bersolat Isya'. Saya ambil keputusan untuk ke Masjid Hasanah, namun berkira-kira sebab berfikir mungkin masjid masih berkunci. Saya sarung jubah (pakaian yang mudah untuk dipakai dan ditanggalkan) dan turun ke bawah, menghidupkan kereta, sambil berfikir mahu ke mana untuk berwuduk. Saya tidak mahu ke rumah kakak di Taman Universiti, sebab memikirkan rumahnya yang telah dipasang alarm dan ia kedengaran sangat complicated pada saat ini. Saya terus saja memacu kereta keluar dari petak parkir, dan biar saja kereta bergerak, sambil akal saya juga berencana, dan pantas tangan saya membelok ke kanan untuk memasuki parkir di depan surau apartment. Walaupun saya tidak yakin disitu tidak mengalami masalah air, saya berserah saja pada Allah. Saya menghala ke tempat wuduk perempuan, pulas kepala paip, dan nah, memang tak ada air yang turun mencurah. Saya cuba pulas kepala paip yang lagi satu, dan yang lagi satu, dan yang lagi satu. Saya hampa. Saya bergerak ke kereta untuk pergi dari situ, tapi saya tak tahu ke mana. Saya nampak tempat wuduk lelaki di depan surau, dan akal saya mendesak saya untuk cuba memeriksa kalau-kalau ada air di situ, dan hati saya sedikit lega bila ada air yang mencurah lepas kepala paip saya pulas. Masalah timbul bila saya fikirkan yang tempat itu sangat open untuk seorang perempuan berwuduk, tapi bila saya teringat waktu itu sangat awal pagi dan mustahil untuk sesiapa lalu-lalang di situ, saya beranikan diri berwuduk. Selesai. Saya pulang ke rumah dan lega kerana solat Isya' saya usai juga walaupun pada masa-masa kecederaan, di hujung waktu. Perut yang memulas memaksa saya melepaskan saja angin yang mahu keluar, kalau tidak saya jamin saya akan sentiasa terkepit-kepit sepanjang masa dan sakit perut saya akan bertambah sebab angin yang berpusar-pusar terperangkap di dalamnya. Mahu tidak mahu untuk solat Subuh saya perlu ke Masjid Hasanah untuk berwuduk, dan saya kemas sabun dan ubat gigi untuk saya terus mandi pagi di masjid. Saya harap pihak Masjid Hasanah menghalalkan penggunaan air yang saya pakai untuk mandi pagi itu.

Jam 9 pagi saya perlu hadiri satu program yang agak penting, saya keluar rumah selepas memeriksa paip air kalau-kalau bekalan air sudah disambungkan. Seperti semalam, hanya angin yang keluar dari muncung paip. Saya serabut memikirkan mengapa bekalan air masih belum disambungkan, dan menjadi pelik bila saya dengar air tercurah-curah ke lantai datang daripada rumah lain, tanda ada orang sedang mandi semasa saya menuruni tangga apartment. Tapi akal saya cepat membuat kesimpulan, mungkin mereka guna air simpanan, seperti rumah saya yang juga ada air simpanan. Hampir jam 12 tengah hari saya menghantar sms kepada teman serumah, Yana, bertanyakan bekalan air masih terputus atau sudah disambungkan. Malangnya Yana tidak ada di rumah, dan dia juga terpaksa mandi di pejabat pagi itu. 

Saya berkira-kira untuk terus pulang ke rumah atau terus berada di luar bagi memudahkan saya mendapat sumber air. Kakak saya di Taman Universiti tidak ada di rumah pula. Tidak lama selepas itu Yana menghantar sms, 

"Akak, Yana dah tanya jiran yang 1 tingkat dengan kita. Rumah dia ada air. Kalau akak balik cuba bukak kepala paip kat depan rumah. Kadang-kadang budak-budak yang main kat koridor tu main. Bil air pun tak ada kan? Entah-entah budak-budak ni main jugak."

Saya mula rasa tak sedap hati. Sampai rumah saya terus memeriksa meter air yang memang ada di tepi dinding sebelah kanan pintu, dan saya pulas kepala paipnya. Saya cepat-cepat masuk ke rumah, dan periksa paip air dalam rumah. Air mencurah laju keluar dari muncung paip. Sah memang sebab meter paip di luar rumah itu telah ditutup oleh tangan-tangan kecil yang nakal. Hampeh punya budak-budak. Siaplah kalau jumpa!

 Meter Syabas - 20m³ percuma

No comments:

Post a Comment