Monday, May 20, 2013

Melankolik [1]

Malam tadi sebuah realiti terungkai. Teka-teki yang selama ini kerap bermain dalam fikiran saya terjawab hanya dengan 1 perkataan. Saya terima seadanya, walaupun pada mulanya saya bagai tak percaya dan tidak mahu percaya. Saya tetap bersyukur, saya yakin semua yang berlaku besar hikmahnya. Saya serah segalanya di tangan Allah yang Maha Kuasa, sebab saya tahu perancangan Dialah yang paling baik dan betul. Saya yakin sebab sudah berkali-kali saya melalui pengalaman seperti ini. Ya benar saya kecewa, saya malu pada diri saya sendiri, dan dalam masa yang sama saya marah. Marah sebab saya terlalu naif semasa menganalisa setiap peristiwa. Marah kerana saya biarkan diri saya hanyut dibawa arus angan-angan yang tak pernah ada harapan.

Harapan setinggi gunung, berderai menjadi debu ...

Tak, saya tak letakkan harapan itu setinggi gunung, malah telah saya gantung harapan saya pada awan gemawan yang bertompok-tompok menghiasi dada langit biru. Bila hujan turun, titik-titik hujan gugur bersama harapan yang telah saya gantung pada awan, dan bila titik-titik hujan sampai ke bumi, harapan saya turut bersepai di tanah, bercampur dengan lumpur yang menjadi injakan manusia untuk lari daripada ditimpa hujan. Bila matahari muncul semula, lumpur kering menjadi tanah, dan harapan saya terus berkubur di situ. Biarlah..

Telah saya ukir setiap impian saya pada kanvas langit yang terbentang luas tanpa sempadan, supaya bila saya berbaring di rumput yang hijau di bumi, saya boleh nampak coretan impian saya di dada langit, lalu hati saya akan berbunga-bunga indah persis bunga-bunga yang liar melata di celahan rumput.Tapi bila langit mendung, saya sukar untuk meneliti setiap inci coretan saya, semuanya nampak samar-samar. Saya berusaha memujuk diri untuk terus berharap matahari akan muncul semula, menyuluh coretan impian saya di dada langit, supaya keyakinan saya terhadap keindahan coretan yang sedang saya tonton akan jadi sebahagian daripada hidup saya. Namun saya silap, matahari tidak lagi muncul selepas itu, malah menjemput rintik-rintik hujan yang lama-lama jadi lebat, dan memaksa saya untuk bangun daripada pembaringan untuk berteduh. Saya masih berharap pelangi akan muncul bila hujan reda.

Besar cita-cita saya, seluas jauh saya tebar ia. Saya tahu risikonya. Tapi bila saban hari pelbagai peristiwa berlaku dalam hidup saya bagai merestui cita-cita saya, keyakinan saya menjadi teguh dan lama-lama menidakkan segala fikiran negatif yang mahu berumah dalam diri. Risiko yang saya rasa menjadi batu penghalang kepada cita-cita saya telah saya tukar kepada cabaran untuk menggapai dan merealisasi cita-cita saya. Pada mulanya saya fikir saya telah berjaya mengharung segala cabaran itu, namun rupa-rupanya saya silap, saya sungguh lemah walau untuk duduk menadah cabaran, usahkan untuk berdiri melawan. Sudahnya, saya akur pada kehendak takdir, saya terima segala ketentuan.

Saya hampir 100% pasti pengalaman seperti ini akan berlaku lagi dalam hidup saya. Semoga saya terus cekal menghadapinya. Semoga saya semakin terpelajar dengan setiap teladannya. Semoga saya boleh hidu aura kemunculannya awal-awal.

No comments:

Post a Comment