Tuesday, April 16, 2013

Syukur Ku Sedar - Sebuah Catatan Lama

Catatan ini memang sudah lama, tapi amat terkesan di hati saya setiap kali ia mengusik memori. Ini kisah benar, yang saya tulis sebaik kejadian itu berlaku, kurang lebih 6 tahun lampau. Saya mahu selitkan catatan ini di sini, supaya saya tidak lupa dengan kurniaan nikmat dan rahmat Allah SWT kepada saya, justeru meyakinkan saya akan ayat-ayat Allah itu sesungguhnya benar.

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya(Al-Baqarah : 286)

****************************

"Kami tak boleh beranak normal."


Aku tersedak. ABC yang baru mahu mengalir di kerongkong hampir terhambur keluar, pantas aku telan cepat-cepat.



"Hah?? Serius ke? Kenapa?" Aku bertanya seperti orang tidak cukup ilmu.



"Kami tak boleh kangkang luas-luas sangat. Rahim kami kan dah kacau sikit sebab operate nak masuk besi tu. Lagipun sakit. Masa kami baru-baru boleh berjalan kami tak boleh kangkang langsung. Bertinggung pun tak boleh. Kalau bertinggung je sakit sangat bahagian sini (sambil meraba bahagian pelvis). Guna toilet duduk je la. Bila dah lama baru boleh. Tapi kalau lama-lama bertinggung sakit juga."


Aku menelan liur yang berperisa ABC. Sedikit likat di kerongkong, manis.

"Kalau nak beranak nanti kena scissors. Tu pasal la kami kena cari laki kaya. Boleh support kami masa bersalin. Hehe.." Dia menambah panjang lebar sambil bernada gurau. Aku mendongak memandang matanya. Ada sedikit kesalan disitu, sungguhpun sedaya upaya dia cuba menyembunyi dengan gurauan yang aku fikir sangat ketara logiknya.

"Kalau scissors kena dalam 5 ribu lebih.Ye la, kalau normal pun dah 3 ribu lebih." Dia menokok.

Aku hanya diam, sambil pura-pura berselera menjamah cucuk satay ayam Haji Samuri yang terkenal dengan kuah kacang recyclenya. Satay ayam di dalam mulut yang sudah lumat bercampur amilase amat payah aku telan. Di pangkal kerongkong bagai ada pepasir halus yang menanti masa untuk lalu ke esofagus.

"Oooo..." Hanya perkataan, bukan, huruf itu sahaja yang keluar dari kotak suara aku.

"Sekarang ni kan, kalau kami nak kahwin kena fikir jugak untuk masa selepas kahwin. Maksudnya bila dah pregnant nanti, nak bersalin. Kami kena kumpoi duit bukan setakat untuk kahwin jela. Kami kena ada duit untuk beranak jugak."

Dia masih bercerita, walau gegendang telinga aku sudah mampu menangkap sebak dalam setiap bicaranya.

"Hmm...betul tu..Lagi satu hang kena cari laki yang boleh terima semua tu. Laki nih bukan boleh terima kekurangan sikit pun." Aku bersuara memberi pendapat jengkel. Dalam hati aku cukup diselimuti kesalan kerana menuturkan bicara yang aku fikir sedikit sebanyak menambah warna kelabu dalam contengan masa depannya.

"Hang amek Ahadi la. Dia mesti baik." Aku cuba berseloroh.

"Ahadi? Oooo..budak sekolah kami tu..Kami dah tak ingat la. Sekarang ni kami cepat lupa. Kalau kawan-kawan lama kami tu, memang ambik masa la nak recall balik. Tapi hang kami ingat. Takkan lupa. Hehehe.."

Jawapan berunsur gurauan dari bibirnya merungkai segala macam persoalan yang dari tadi asyik berlegar-legar dalam benak aku bila wajahnya seakan terpinga-pinga sejak pertama kali nama Ahadi meluncur dari kotak suara aku. Kerutan di dahi dia ganti dengan senyuman hambar, mungkin menyedari salah satu nikmat yang Tuhan kurniakan selama ini sudah ditarik. Kebolehannya untuk mengingati perkara yang lepas sudah tidak sehebat dulu. Aku mengalih pandangan, mencerun mata ke gerai satay Haji Samuri yang betul-betul berada kira-kira 20 meter di hadapan meja tempat kami menjamah satay. Aku tidak mahu memandang matanya yang dirundung kesal, tidak mampu.

"Kami risau la kalau besi tu nanti tercucuk baby kami masa pregnant nanti. Tapi dalam perut ada cecair amnion tu kan. Boleh protect." Aku hanya mengangguk, setuju dengan bicaranya. Betapa aku sangat bersyukur aku masih sempurna.

****************************

"Tak dapat kami beranak banyak-banyak. Kami nak anak ramai. 6 orang." Dia memulakan bicara di tepi tasik buatan yang beriak-riak ditimpa pancuran air. Dalam fikiran aku mencongak bila pancuran ini dipasang kerana kali terakhir aku ke situ kira-kira sebulan yang lalu pancuran itu masih belum ada.



"Boleh 3 orang je la kan." Aku mencelah tanpa mengalih mata memandang riak-riak air di dalam tasik.



"Sekarang dah boleh 4 orang." Dia menjawab ringkas. Aku memandang wajahnya yang samar-samar yang hanya diterangi lampu sebesar lampu jalan berketinggian lebih kurang 10 kaki.



"Takpe, hang amek la anak angkat 2 orang. Tak pun hang cari duda anak 2."

Tawa berderai memecah kesunyian pinggir tasik yang sedang diselimuti gelap malam.

"Jom duduk kat kerusi tu." Dia mengajak. Aku menuruti, pelvis kanannya yang telah rosak teruk akibat kemalangan kira-kira 8 bulan lepas sudah tidak mampu menampung berat badannya untuk jangka masa yang lama.

"Hang sedih tak kena semua ni?" Aku bertanya sambil memarahi diri sendiri kerana soalan bodoh itu. "Mestila hang sedih kan. Hehe.." Aku menjawab, menutup kebodohan sendiri.

"Masa mula-mula tu hari-hari kami nangis."

Sambil menundukkan wajah, dia memberitahu. Aku sedikit terperanjat dengan pengakuannya. Dalam setiap pesanan ringkas yang dia hantar melalui telefon bimbitnya ketika dia sedang terlantar di katil rumah sakit, tidak sedikitpun aku hidu berbau kesal dan sebak. Malah bila suaranya melalui corong telinga aku, tiada nada marah dan kecewa aku dengar. Bicaranya sentiasa disulami keyakinan dan keberserahan menerima segala yang berlaku dalam ribaan ketabahan.

"Parent hang macam mana? Diorang sedih tak?" Aku masih mengulangi kebodohan sendiri, lalu memarahi akal kerana membenar lidah bersuara tanpa timbang tara.

"Mak kami tak nangis pun. Dia macam takda apa-apa perasaan pun. Relax je. Mula-mula kami ingat dia tak sayang kami. Tapi rupanya dia sedih jugak. Ba kami memang nampak la sedih." Dia masih menjawab soalan bodoh yang aku utarakan.

"Macam mana hang tau mak hang sedih." Aku bertanya bagai menyoal pesalah.

"Satu hari tu, kami macam marah-marah. Biasala...emosi tengah tak stabil masa tu. Pastu mak kami nangis. Mak kami memang macam tu. Dia memang susah nak menangis. Dia memang susah tunjukkan perasaan. Kalau dia sayang pun, dia tak tunjuk. Ba kami lain. Kalau sayang tu, memang nampak la..Terbalik pulak kan. Selalunya lelaki yang susah tunjukkan perasaan."

"Oooo.."

Aku kehabisan kata-kata. Dalam satu sudut fikiran aku terbayang kedua ibu bapa aku yang sememangnya tidak pernah langsung mempamerkan kasih sayang berbentuk bicara mahupun tingkah laku. Hanya tanggungjawab yang mereka tunaikan terhadap kami, anak-anak yang menjadi bukti kasih sayang mereka sebenarnya tidak pernah berbelah bagi. Lebih-lebih lagi bapa aku yang sememangnya panas baran, kecuali dengan manusia-manusia yang bukan darah dagingnya. Aku cukup terajar dengan sifat semulajadi itu. Akal aku bertimbang tara, mencongak sifat semula jadi aku yang sememangnya tidak pandai menzahirkan perasaan adalah dibentuk oleh corak asuhan kedua ibu bapa aku.

"Kami tak tau la siapa yang kena paling teruk. Kawan kami tu patah dua-dua belah tapi operation dalam 5 jam ja. Kami walaupun sebelah ja sampai lebih 7 jam. Kawan kami tu doktor lambat kesan tulang pelvis dia patah. Doktor cakap tulang kami pecah kecil-kecil, so susah untuk cantumkan balik. Besi tu untuk support tulang tumbuh ikut bentuk dia balik. Tulang kan boleh tumbuh balik. Kalau takda besi tu nanti tulang tu tumbuh ikut suka je. Tak tau la macam mana doktor balik-balikkan kami sebab besar tau doktor bedah." Aku mendengar sambil menelan liur. Ngeri.

"Aah. Hang dah la kecik. Hahaha! Ooo maknanya tulang tu still ada la. Abes tu besi tu nanti dibuang ke kekal?" Giliran aku bertanya. Tapi kali ini aku berpuas hati kerana tiada soalan bodoh.

"Tak, tak boleh buang. Sebab dah bersalut isi. Susah nak buang. Lagipun besi tu akan support pertumbuhan tulang. Masa lepas operation tu, kaki kami tergantung ja, 2 minggu dengan pemberat 7kg. Lenguh. Gerak sikit je sakit sangat. Kalau dah tak tahan sangat kami mintak Ba kami turunkan sekejap pemberat tu." Dia menjawab panjang lebar.

"Kalau nak solat macam mana? Kalau period pulak sapa yang basuh semua dah hang tak boleh gerak?" Aku masih berminat menyoal.

"Kami tayamum syarat je la, atas selimut. Solat baring. Bila kami dah boleh duduk atas wheelchair kami solat duduk la. Kalau period nurse kat situ la tolong cucikan, tukarkan pad. Lap badan ja, tak mandi. Kencing pun pakai tiub."

Aku terlopong mendengar ceritanya. Seluruh inci badan termasuk bahagian sulit diterokai. Memalukan. Namun keadaan memaksa. Dia tiada pilihan lain. Keupayaannya untuk bergerak sendiri amat terbatas.

"Tabahnya hang..." Aku bersuara perlahan.

"Takda la..Haha..." Nadanya rendah.

"Eh betul la..Kalau tak takkan la Tuhan bagi kat hang semua ni. Tuhan takkan bagi something yang kita tak mampu nak tanggung." Aku bersuara, namun hampir tidak ada keyakinan."Hang nih memang tabah la..Boleh kerja, siap beli kereta. Kalau kami mesti dah fadeup, berenti kerja dok umah je. Hehe.."

Suara aku masih rendah, perlahan. Dalam satu sudut fikiran tergambar aku berada di tempat dia, menanggung segala keperitan dan kekesalan, sambil menerima segala ketidaksempurnaan yang Tuhan utuskan melalui kemalangan yang sememangnya tidak pernah aku bayang. Sudah semestinya aku tidak setabah dia.

Azan Isya' memecah kesuraman malam, menyekat perbualan rancak aku dan dia. Langkah aku atur, menuruti langkah dia menuju ke masjid Putrajaya yang tersergam gagah diairi tasik buatan. Memang idea Tun Dr. Mahathir membangunkan masjid gagah itu membanggakan aku, namun rasa gentar mengiringi setiap kali bangga melekat di hati. Dalam hadis sudah nyata antara petanda dekatnya hari kiamat adalah terbinanya masjid-masjid yang berkerawang indah, yang menjadi tarikan pelancong, yang dihias dan dibanggakan, yang manusia bermegah-megah dalam pembinaannya, yang amat sedikit manusia berkunjung untuk tujuan beribadat.

Lengkap bertelekung aku berkira-kira untuk menyertai jemaah yang sedang taat menyembah Tuhan yang Esa. Sempat juga akal bertimbang tara, memilih 1 darjat berbanding 27 darjat atau sebaliknya. Lantas langkah aku atur, mengangkat takbir di sebelah jemaah yang paling akhir di sebelah kanan saf. Ketenangan ibadat menyerap dalam sekalian urat saraf, khusyuk menghalusi detik-detik kemanisan yang menjalar dalam setiap rukuk dan sujud. Sekian lama aku tidak bersama mengimarahkan solat berjemaah, syukur, rasa keasyikan itu masih mahu bertandang setiap kali rumah Allah itu aku ziarah. Tuhan masih sentiasa menyayangi aku. Sejenak aku menjemput keinsafan, menyedari selama ini aku terlalu memburu cinta manusia, lantas mengabai cinta Tuhan yang aku sendiri sudah pasti keagungannya, kesetiaannya, ketulusannya. Rasa berdosa mula berjejer hadir menyelit pada celahan keinsafan yang aku jemput. Sungguh kehinaan menyalut pada selaput tubuh yang aku pakai, berkuping-kuping, meracun setiap inci kesucian yang mahu bertunas. Aku jijik memandang diri sendiri. Betapa alpa aku mengagumi manusia yang tidak pernah ada cinta pada Tuhan. Bila takdir tidak memenuhi kehendak citarasa, kesalahan aku letak pada kenyataan yang aku tidak dapat terima. Dalam kejahilan menyalahkan kenyataan, keangkuhan tetap mahu beraja, menafikan segala yang berlaku bukan berpunca daripada kenaifan sendiri. Bermacam persoalan mula membiak-biak dalam akal waras, memuat padat seluruh saraf fikiran, bertanya kepada Tuhan mengapa takdirkan aku begini dan begitu, walhal aku tidak punya hak walau sebesar kuman pun untuk mempersoal perancangan Tuhan, kerana acara Tuhan itu paling sempurna. Ada manusia lain lebih hebat menanggung derita berbanding aku.

****************************

Masa berputar pantas, sedari sudah hampir 6 tahun perbualan di tasik Putrajaya menghuni memori. Dia sudah pun memiliki seorang puteri yang comel dan cerdas, hasil penyatuan cintanya dengan sang suami kira-kira 4 tahun lalu, dan sekarang sedang hamil anak ke dua. Dia sememangnya bertuah, memiliki keluarga yang indah dan bahagia pada usia yang masih muda. Allah telah menemukan jodohnya, itu yang terbaik untuknya. Dia wanita solehah, begitu ganjaran yang Allah kurniakan, menyempurnakan sifat kewanitaannya dengan mengurniakan sang suami yang terlahir keturunan daripadanya. Aku turut menumpang kebahagiaan dia sekeluarga, merasai kegembiraannya menimang sang puteri, sambil menikmati sifat keibuan yang sememangnya fitrah bagi seluruh wanita. Syukur pada Yang Maha Pemberi Rezeki, keadaan sekarang jauh lebih baik dan lebih sentosa daripada yang digambarkan 6 tahun lepas, di tepi tasik Putrajaya. Alhamdulillah, Maha Suci Engkau Ya Allah yang Maha Mengetahui setiap sesuatu.


فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? (Ar-Rahman : 13)


Nota kaki:'Kami' adalah kata ganti diri pertama yang digunakan oleh orang Utara, seperti Pulau Pinang, manakala 'hang' adalah kata ganti diri untuk orang yang dihadapkan bercakap.

No comments:

Post a Comment