Hari ini tanggal 27 Julai 2011, bersamaan 25 Syaaban 1432H, hari Rabu, hari kedua aku di bumi berkah Madinah. Seperti semalam, jam 3.30 pagi kami sudah bersiap sedia turun ke lobi. Dalam keheningan subuh yang hangat kami berlima beriringan berjalan ke masjid. Ramai juga jemaah yang turut sama ke masjid pada waktu ini. Malam tadi aku hanya tidur kira-kira 4 jam, kerana jam 3 pagi harus bangun untuk bersiap ke masjid. Mata masih mengantuk kesan daripada kesukaran aku untuk melelapkan mata malam tadi. Sambil berpegangan tangan, aku dan Emak bersama melepasi gerbang bernombor 10. Tiba-tiba aku mendapat idea untuk menyimpan telefon bimbit di dalam stokin yang aku pakai. Solat Zohor nanti boleh dicuba, kerana saat ini aku tidak membawa telefon bimbit bersama.
Setelah melepasi pemeriksaan beg di pintu masjid, seperti semalam, kami minum air zam-zam terlebih dahulu sebelum melangkah jauh ke dalam masjid. Kak Dah mencari kawasan di bawah kubah yang akan terbuka selepas solat Subuh. Hasratnya mahu melihat sendiri saat kubah itu dibuka. Aku juga jadi teruja untuk menyaksikannya. Usai solat Subuh, kami menunggu saat-saat kubah dibuka, sambil mendongak-dongak kepala memandang ke atas. Ternyata tiada apa-apa yang berlaku, kerana sebenarnya, kami bukanlah sedang berada di bawah kubah. Lalu kami mencari-cari kawasan yang mungkin berada di bawah kubah, sambil berjalan sambil mendongak-dongak, agak lucu sebenarnya. Mujurlah saat itu jemaah sudah tidak terlalu ramai di tengah masjid, jemaah sedang berasak di pintu masjid untuk keluar. Rupa-rupanya kubah telah pun terbuka, kerana apabila mendongak kami terus nampak langit yang kala itu masih gelap. Sudahnya kami hanya duduk berhalaqah di bawahnya sambil bertadarus bersama-sama.
Agenda pagi ini adalah ziarah luar, agenda yang aku nantikan sejak pertama kali membaca tentatif program yang telah diberikan kepada setiap ahli jemaah oleh agen umrah, semasa di Malaysia lagi. Seperti semalam, tepat jam 6 pagi kami dikehendaki berkumpul di lobi hotel untuk bertemu dengan mutawwif yang akan mengepalai rombongan ziarah. Selesai makan pagi, sempat kami naik ke hotel untuk membersihkan diri dan memperbaharui wuduk. Sebenarnya semalam telah dipesan oleh mutawwif supaya siap-siap berwuduk di hotel sebelum bertolak ke lokasi dalam program ziarah luar ini. Lokasi pertama program ziarah luar adalah Masjid Quba'. Kata mutawwif, Nabi pernah bersabda : sesiapa yang bersuci (berwuduk dengan sempurna) di rumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba' lalu mendirikan solat di dalamnya, ganjarannya samalah dengan pahala ibadat Umrah. Justeru untuk merebut ganjaran pahala ibadat Umrah inilah kami semua terlebih dahulu berwuduk di hotel.
Sementara menantikan bas sampai ke hotel, kami duduk-duduk di tangga kaki lima hotel, sambil mengambil gambar. Buat kali pertama aku menggunakan kamera di sini. Semasa program ziarah dalam semalam, aku malas membawanya kerana memikirkan tempat penyimpanannya nanti. Sedangkan telefon bimbit yang berkamera pun tidak dibenarkan dibawa masuk, inikan pula kamera DSLR yang besar. Lama kami menanti ketibaan bas, kukira hampir 1 jam, sampaikan mutawwif pun sudah tak senang duduk dan asyik membelek telefon bimbitnya, mungkin bertanyakan pemandu bas yang tak sampai-sampai. Aku juga sudah tak tahan dengan kepanasan yang semakin terasa, ditambah pula dengan kenderaan yang lalu lalang di jalan, maklumlah, suasananya berdebu, kering dan panas, berpadu pula dengan asap kenderaan yang hitam berjelaga. Sekejap aku masuk ke lobi untuk menikmati hawa sejuk aircond, sekejap aku berdiri di luar. Di lobi juga sudah dipenuhi dengan jemaah yang sedang menanti untuk dibawa oleh mutawwif masing-masing ke lokasi ziarah. Dalam ramai-ramai jemaah itu aku ternampak beberapa artis Malaysia di lobi, juga sedang menanti untuk ke lokasi ziarah, antaranya Normah Damanhuri, Fauzi Nawawi dan isterinya. Ada juga yang mengelilingi mereka, mungkin ingin berkenalan lebih dekat. Aku menceritakan kepada Emak, lalu Emak seperti teruja dan mahu sama berjumpa mereka. Maklumlah, artis-artis tersebut banyak berlakon dalam drama-drama melayu di kaca tv, dan Emak pula sememangnya peminat setia drama melayu dan memang meminati lakonan artis-artis tersebut. Aku hanya cakap pada Emak : buat apa nak jumpa mereka? Lainlah kalau ulama' atau ustaz ke. Emak hanya diam dan buat-buat menjeling aku. Aku tahu dalam diam Emak membenarkan kata-kata aku, dan aku senyum sendiri.
Mutawwif mengumumkan kepada kami bahawa bas telah pun sampai tetapi kami perlu berjalan kebelakang sedikit kerana di hadapan hotel telah sesak dengan kenderaan, dan tidak ada tempat untuk bas berhenti. Kami menyapu punggung masing-masing dan berjalan membuntuti mutawwif. Rupa-rupanya agak jauh juga mahu sampai ke tempat bas nombor 3 berhenti, sehingga Emak pun tercungap-cungap mahu mengejar langkah mutawwif yang laju sahaja berjalan tanpa toleh belakang. Selamat sampai di dalam bas, mutawwif meminta maaf kepada kami kerana bas yang lambat sampai kerana keadaan jalan raya yang sesak, menyebabkan program kami tidak berjalan lancar seperti yang dijadualkan. Alhamdulillah, segalanya sudah diatasi kini. Kami memulakan perjalanan dengan membaca doa menaiki kenderaan, yang dikepalai oleh mutawwif, dan kami mengikut bacaannya. Dia lalu memperkenalkan dirinya dengan lebih dekat, memberitahu tentang pengajiannya dan kini sedang cuti semester. Rupa-rupanya dia pernah kuliah di Malaysia dan tinggal di Kelana Jaya, betul-betul berdekatan dengan rumah abangku, yang telah aku diami selama 2 tahun lebih. Katanya lagi, dia di Malaysia mengambil diploma, tapi aku sudah lupa jurusan apa dan di pusat pengajian mana, kerana kala itu aku tidak begitu memberikan perhatian kepada ceritanya, kerana mataku sibuk meneliti dan menjamu pemandangan di luar bas, yang sangat berbeza dengan yang ada di Malaysia. Cuma bila sampai cerita dia pernah tinggal di Kelana Jaya selama 3 tahun, perhatianku teralih kepadanya dan bercakap-cakap dengan Emak yang tempat tinggalnya itu hampir sangat dengan rumah abang. Tambah mutawwif itu lagi, dia kini di tahun akhir ijazah sarjana muda, dan memohon doa kami semua supaya kuliahnya dapat diselesaikan dengan cemerlang, kerana katanya, orang yang sedang berumrah doanya lebih mudah dimakbulkan Allah kerana sedang dalam perjalanan membuat kebaikan dan menjadi tetamu Allah. Aku mengira-mengira berapa umurnya, congak-congak mungkin paling tua pun sebaya dengan umurku.
Bas berhenti di tempat letak kenderaan berhampiran Masjid Quba' kira-kira setengah jam kemudian. Mutawwif berpesan kepada kami supaya selepas masuk ke dalam Masjid, bersolatlah tahiyatul masjid 2 rakaat, setelah itu bersolat taubat 2 rakaat dan akhir sekali bersolat Dhuha 2 rakaat. Turun dari bas, kami perlu berjalan kira-kira 100 meter dan perlu menaiki beberapa anak tangga untuk ke pintu masjid. Masjid Quba' tidaklah besar, keluasannya lebih kurang sama seperti masjid-masjid bandar yang terdapat di Malaysia. Masjid ini berbelang putih dan kelabu, dicat putih di bahagian atas dan kelabu pada bahagian bawah, sehinggakan kubah-kubahnya pun berwarna putih, kecuali 4 kubah menara yang berwarna kelabu. Pintu masuk bagi lelaki dan wanita adalah berbeza. Ruang solat lelaki dan wanita dipisahkan dengan rak-rak al-Quran yang diperbuat daripada kayu, tingginya sehingga pertengahan tinggi masjid, sehinggakan jemaah wanita tidak akan terlihat jemaah lelaki yang sedang solat di sebelah sana.

Diceritakan oleh mutawwif semasa dalam perjalanan ke sini tadi, Masjid Quba' adalah masjid pertama yang dibina oleh Nabi sebaik sampai di Madinah, justeru ia menjadi masjid pertama yang dibina dalam sejarah Islam. Masjid ini dibina berasaskan taqwa, sebagaimana firman Allah dalam al-Quran surah at-Taubah ayat 108 yang bermaksud : sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Berdasarkan firman Allah ini jugalah kita mesti cuba untuk bersolat di dalam Masjid Quba' sekiranya datang berziarah ke Madinah. Cerita mutawwif lagi, Nabi telah sama-sama menghulurkan kudrat Baginda membina Masjid Quba'.
Jemaah agak padat memenuhi tempat solat. Ada sesuatu yang memberi pengajaran berlaku kepada aku semasa kami mahu masuk ke dalam masjid. Kami berlima masuk ke dalam masjid dalam satu barisan, dan aku di belakang sekali. Pada mulanya di hadapanku Emak, dalam keadaan berasak-asak entah macam mana ada seorang wanita Indonesia ku kira, yang sedang mendukung bayi dan memimpin seorang kanak-kanak lelaki lingkungan 7-8 tahun, mahu menyelit di antara aku dan Emak. Lantas aku cepat-cepat merapatkan langkahku dengan Emak di hadapan, untuk menghalang wanita tadi memecahkan barisan kami, kerana bimbang aku akan ketinggalan di belakang. Sebenarnya ada perasaan tidak puas hati terhadap wanita itu kerana dia seperti tidak mahu mengikut giliran dan mahu redah sesiapa sahaja yang berada di hadapannya. Bila aku merapatkan diri ke arah Emak, dia tidak dapat menyelit di antara aku dan Emak. Secara tiba-tiba kanak-kanak yang bersamanya telah memukul belakangku dengan kuat sekali, aku kata kuat sebab sangat terasa sakitnya, pedih. Wanita itu menegur kanak-kanak yang memukul belakangku, seraya memegang tangannya, namun aku tidaklah menoleh kebelakang untuk menjerkah kanak-kanak itu, kerana dalam masa yang sama hadir dalam hati aku semacam keinsafan dan rasa ditegur oleh Allah kerana berasa tidak puas hati dengan sikap wanita itu yang ingin menyelit di antara aku dan Emak. Masjid ini adalah yang pertama dibina Nabi, jadi amatlah tidak layak untuk aku bersikap tidak sabar dan sombong di dalamnya, kerana kemuliaan dan keberkatannya, air tangan Nabi sendiri. Lalu semasa solat kupanjatkan jutaan keampunan kepada Allah supaya Allah mengampunkan kekhilafan dan kealpaan aku tadi, serta mensucikan aku daripada dosa-dosa lalu.
Usai solat dan urusan di dalamnya, kami keluar dari masjid dan sempat bergambar kenangan di hadapan masjid. Rupa-rupanya ada pili-pili air zam-zam di sekitar perkarangan masjid. Kami sempat membasahkan tekak dengan air zam-zam, sebelum turun semula ke tempat letak kenderaan. Sepanjang kaki lima di luar pagar masjid, terdapat penjual-penjual yang membuka hamparan menjual pelbagai barangan dan makanan, termasuk ulam-ulaman yang aku tak tahu apa namanya. Kami sempat singgah pada seorang penjual wanita yang menjual pelbagai barangan seperti kekacang, inai, dan kurma. Sedang Emak, Kak Dah dan Makcik Ma sibuk melihat-lihat barangan itu, kami didatangi mutawwif, seraya mutawwif memberitahu tak perlu singgah disini kerana nanti kita akan ke pasar kurma. Di sana nanti ada macam-macam barangan dan memang tujuan ke sana untuk membeli-belah. Di Masjid Quba' ini adalah untuk bersolat dan menziarahi masjid sahaja, lagipun masa sudah suntuk akibat keterlewatan bas sampai ke hotel tadi. Aku juga menyetujui pandangan mutawwif, tambahan pula pastilah harga barangan di sini lebih mahal berbanding di pasar kurma nanti. Namun nasihat mutawwif kurang digunapakai oleh mereka, kerana masing-masing ada barang tersangkut di tangan apabila sekembali menaiki bas. Emak sendiri telah membeli beberapa gram kurma yang belum masak, berwarna coklat muda dan berbentuk sedikit bulat iaitu tidak sebujur kurma biasa yang telah masak ranum. Kata Emak itu kurma telur, mungkin berdasarkan bentuknya yang bujur gemuk seperti telur.
Apabila semua penumpang sudah berada dalam bas, barulah kami tersedar bahawa Emak Kak Dah masih belum berada dalam bas. Aku membayangkan Emak Kak Dah bersama Kak Dah, dan Kak Dah tahu dan maklum dimana Emaknya ketika itu. Suasana agak panik ketika itu, rupa-rupanya Emak Kak Dah sudah ketinggalan, dan Kak Dah sendiri baru tersedar yang Emaknya masih belum menaiki bas. Kak Dah pantas turun dari bas dan mencari Emaknya, dan dibantu oleh mutawwif. Mujurlah bertemu akhirnya, dan nyaris-nyaris Emak Kak Dah tersalah menaiki bas. Berjuta kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah kerana mempertemukan semula Emak Kak Dah, dan nampaknya ini satu cabaran dan ujian buat mutawwif juga, agar lebih sensitif terhadap setiap keadaan penumpang. Bas bergerak meninggalkan Masjid Quba', sambil mutawwif mendendangkan lagu tentang ibu, yang aku tak pernah dengar. Senikatanya agak menyentuh hati, berkisar kerinduan dan kasih sayang seorang anak kepada seorang ibu, mungkin peristiwa tadi menyentuh hati mutawwif, maklumlah dia di perantauan yang jauh beribu batu dari Emaknya.
Destinasi seterusnya adalah ladang kurma. Di sini pelbagai jenis kurma dijual, daripada yang berharga SAR30 sekilogram, hinggalah yang berharga SAR120 sekilogram. Kami melawat-lawat sekitar ladang kurma sambil bergambar kenangan, nampaknya sekarang bukanlah musim kurma sedang masak. Pokok-pokok kurma hanya dipenuhi pelepah-pelepahnya yang bercabang-cabang, tak ubah seperti pokok kelapa sawit. Buah-buahnya masih memutik di tangkai, masih kecil-kecil dan berwarna coklat muda, kebanyakannya tersorok di celah-celah pelepah. Kebun kurma ini dinamakan Kebun Kurma Abdul Aziz, tidak pula aku tahu mengapa ia dinamakan sedemikian. Di sini turut disajikan air buah kurma yang dihidangkan di meja-meja di pinggir ladang. Tapi sayang, sewaktu kami sampai hanya tinggal jag-jag air yang kosong. Tidak ada rezeki kami untuk menikmati air buah kurma yang asli di sini. Sebenarnya, ladang kurma ini memiliki sebuah pusat untuk memasarkan kurma daripada ladang ini, yang boleh dikatakan seperti gudang empat segi yang sederhana besar, elok berbumbung dan dilengkapi pendingin hawa. Di setiap persegi dinding terdapat rak-rak untuk menempatkan pelbagai hasil tanah Arab untuk dijual, daripada kurma yang pelbagai jenis hinggalah kepada kekacang, coklat dan manisan. Kebanyakannya dijual dalam bentuk timbang. Jadi berhati-hatilah bila memungut apa-apa yang teringin dibeli, takut-takut nanti selepas ditimbang tak mampu untuk membayar harganya. Memang bila dah berada di situ rambang mata melihat barang-barang makanan yang dipamerkan, semua pun mahu diborong. Aku memilih-milih dan berbincang dengan Emak perihal apa yang patut dan tidak sepatutnya dibeli dan dibawa pulang ke Malaysia, namun penuh juga bakul dengan uncang-uncang kurma, kekacang, coklat dan manisan. Paling seronok ialah kurma-kurma yang dilambakkan di atas pelantar marmar boleh dicuba bagaimana rasanya, kata penjual-penjual kurma : halal..halal... maksudnya halal dimakan, tak perlu bayar. Aku dan Emak tidak lepaskan peluang untuk merasa jenis-jenis kurma yang terdapat di situ, dari satu penjual ke penjual yang lain, dari kurma Ajwa ke kurma Safawi, tetapi aku paling suka kurma Ajwa, teksturnya tidak terlalu lembut dan tidak pula keras, kemanisannya serasi dengan lidahku, bila makan sebiji pasti mahu sebiji lagi. Kurma Ajwa paling mahal, SAR120 sekilogram. Aku dan Emak setuju memborong sekilogram kurma Ajwa dan sekilogram kurma Hulwa.
Di tepi pintu masuk gudang masih ada lagi penjual menjual kurma muda yang masih ditandan, berwarna merah bata, rasanya manis-manis kelat dan teksturnya memang keras tapi rangup. Aku tidak menyukai kurma ini, tapi Emak mahu membelinya kerana Emak suka rasa manis-kelatnya. Kata mutawwif kurma itu baru dipetik dan masih belum dikeringkan. Selepas membayar harga setengah kilogram kurma muda itu, kami beransur ke tempat letak kenderaan dan langsung menaiki bas kerana di luar udara sangatlah panas dan berdebu, tak tertanggung rasanya menahan terik matahari. Di dalam bas aku mula mengatur segala barang-barang yang dibeli tadi ke dalam beg beroda yang memang siap kubawa, memang tahu akan berbelanja dan memudahkanlah apabila membawa beg bersama untuk diisi barangan yang dibeli. Sambil menanti seisi bas dinaiki ahli kumpulan rombongan, aku dan Emak sempat menjamah beberapa biji kurma yang dibeli tadi. Teringat akan Nabi yang memang suka makan kurma, sehinggakan kita ummatnya disunatkan berbuka puasa dengan 3 biji kurma terlebih dahulu sebelum memakan makanan lain, kerana kandungan gula dalam kurma adalah daripada jenis yang paling pantas diserap dan diproses oleh badan, jadi dapat memberikan tenaga kepada badan dengan segera. Kurma banyak khasiatnya, antaranya menguatkan memori, memudahkan wanita bersalin, penawar racun dan mengubati sembelit. Semua khasiat ini diperoleh daripada hadis-hadis Nabi yang soheh, dan ternyata dapat dibuktikan secara saintifik. Betapa besarnya hikmah mengamalkan sunnah Nabi ini, walaupun pada dasarnya kelihatan seperti perkara yang remeh. Di dalam bas, sempat suami Maziah mengedarkan kurma Ajwa kepada setiap penumpang, pantas saja dia bersedekah untuk mengumpul pahala. Kata mutawwif, kalau makan 7 biji kurma Ajwa dapat menghindarkan diri daripada terkena sihir. Ini berbetulan dengan sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari : sesiapa yang memakan 7 biji tamar Ajwa dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu. Lalu ada saja penumpang yang mengambil 7 biji kurma (yang pada pandangan umum agak banyak bilangannya, bila ada yang memberi), dan kemurahan hati suami Maziah memang termaklum dan dia tidak kisah pun kalau mahu ambil lebih daripada itu.
Bas meluncur meninggalkan ladang kurma, menuju ke bukit Uhud. Mutawwif ada menceritakan serba sedikit tentang bukit Uhud sepanjang perjalanan ke sana, selebihnya dia bercerita tentang pemandangan di kiri kanan jalan yang kebanyakannya ditanam dengan pokok kurma, sayangnya pokok-pokok kurma semuanya masih belum berbuah ranum, buah-buah kurma masih muda di celah-celah pelepah. Kata mutawwif, kurma-kurma ini akan ranum akhir Ogos nanti. Sampai di tempat letak kenderaan di kawasan bukit Uhud, kami turun dari bas. Emak nampaknya sudah tidak upaya untuk melangkah, keadaan terlalu panas dan badan juga sudah letih. Aku memimpin Emak perlahan-lahan, mengikuti kumpulan mutawwif yang telah jauh ke hadapan. Untuk sampai ke kaki bukit memakan jarak 100 meter lagi, lalu Emak dan Emak Kak Dah mengambil keputusan untuk duduk berehat saja di perkuburan para syuhada' perang Uhud, yang kira-kira 50 meter dari tempat letak kenderaan. Aku merakam foto Bukit Uhud dari situ, sambil turut merakam gambar Emak dan Emak Kak Dah berlatar belakangkan Bukit Uhud. Dari situ aku nampak kumpulan rombongan kami di atas bukit yang satu lagi, yang bertentangan dengan Bukit Uhud, yang kira-kira 50 meter jaraknya dari tempat aku berdiri. Bukit itu dinamakan Bukit Ar-Rummah, iaitu lokasi pemanah perang Uhud sewaktu perang Uhud berlaku. Lalu aku meminta izin Emak untuk ke sana, untuk berfoto dan menyertai kumpulan rombongan. Rupa-rupanya mutawwif sedang menceritakan sejarah perang Uhud kepada ahli rombongan, sambil memberitahu lokasi dan menceritakan rentetan peristiwa yang amat bersejarah itu. Aku tidak sempat mendengar ceritanya, kerana sesampainya aku di situ, mutawwif sedang membacakan doa kepada syuhada' perang Uhud yang terdapat makam mereka di tempat Emak dan Emak Kak Dah duduk berehat. Di sebelah kiri perkuburan syuhada' Uhud terdapat sebuah masjid yang dinamakan Masjid Sayyid Asy-Syuhada'. Kalau berdiri di atas Bukit Ar-Rumah sambil mengadap ke arah masjid ini, dapat dilihat hamparan medan perang Uhud di bawah yang sekarang sudah bertukar menjadi medan berjual-beli oleh masyarakat setempat. Sepanjang kaki bukit Uhud berjajaranlah para penjual menjual pelbagai jenis barangan, daripada kurma, kekacang, inai hinggalah kepada tasbih, kopiah dan jubah. Panas terik 50 darjah selsius tidak langsung menghambat para penjual daripada berjualan di situ.
Sejarah perang Uhud amatlah menyayat hati, sehinggakan Nabi sendiri berduka cita atas kematian bapa saudara Baginda dalam perang ini, iaitu Saidina Hamzah b. Abdul Muttalib, yang sangat Baginda sayangi. Peristiwa perang Uhud banyak memberi pengajaran kepada umat Islam agar sentiasa mendengar arahan Nabi dan tidak cepat tertarik dengan habuan dunia yang hanya pura-pura.
Sebenarnya Bukit Uhud adalah bukit terbesar dan terpanjang di Madinah dan terletak di bahagian utara Madinah, kira-kira 5 kilometer dari pusat bandar. Nabi pernah bersabda : Bukit Uhud ini mencintai kami dan kami mencintainya. Kata mutawwif, InsyaAllah kita dapat melihat Bukit Uhud ini di dalam syurga nanti. Bukit ini terpisah daripada bukit-bukit lain di Madinah, sebab itulah ia dinamakan Bukit Uhud, uhud berasal daripada perkataan ahad (أحد) dalam bahasa Arab yang bermaksud satu atau tunggal. Aku turun dari Bukit Ar-Rumah setelah puas merakam foto-foto sekitar Bukit Uhud, dan mencari Emak dan Emak Kak Dah. Mereka berada di salah satu gerai yang menjual kurma. Kurma lagi? Aku cepat-cepat menyertai mereka yang sedang melihat-lihat dan mencuba kurma daripada penjual gerai tersebut. Kata Emak, kurmanya terlalu kering, dan rasanya sudah tidak segar, mungkin akibat terjemur di tengah terik mentari, hingga tersejat air yang terkandung dalam buah. Aku memberi cadangan untuk tidak membeli kurma itu, dan berasa lega kerana Emak menyetujui cadangan aku. Kami lantas meneruskan langkah menuju ke tempat letak kenderaan, untuk berkumpul semula di dalam bas. Setelah semua ahli kumpulan berada dalam bas, kami meninggalkan Bukit Uhud yang penuh sejarah perit para pejuang perang Uhud dan Nabi sendiri.
Kami bertolak ke pasar kurma pula. Kurma lagi? Di pasar kurma ini lebih banyak kedai-kedai menjual kurma, kekacang, buah zaitun, aprikot kering dan bermacam-macam lagi khazanah tanah Arab. Pasar kurma ini merupakan kedai sederet seperti bazar, boleh jadi deretannya memanjang ke kiri hingga 100 meter. Aku nampak Emak sudah tidak upaya untuk berjalan hingga ke penghujung deretan kedai, kedai yang terakhir nampak sayup saja dari kedai yang pertama. Lalu kami hanya berlegar di kedai pertama hingga ketiga sahaja, sambil membandingkan harga. Abang Man, Kak Dah, Emak Kak Dah dan Makcik Ma langsung saja ke kedai-kedai keempat, kelima dan seterusnya, mencari lebih banyak perbandingan dan pilihan. Peniaga-peniaga di sini kebanyakannya lelaki warga Pakistan, Iran dan India, yang lebih ramah berbanding dengan yang di ladang kurma tadi, hinggakan mahu bertepuk tampar dengan Emak, dan mahu berdiri dekat-dekat dengan aku. Aku agak kaget dengan situasi itu lalu segera menjarakkan diri setiap kali dia berbuat demikian. Hati manusia tak boleh diramal, biarpun di tanah yang suci ini, kerana nafsu dan syaitan tak kenal dan tak bena di mana kita berada, asalkan dapat mengajak ke arah dosa. Kurma-kurma yang dijual di sini kebanyakannya daripada jenis Ajwa, tetapi terdapat dalam beberapa gred, seperti gred A+, A, B+, B dan C, harganya bergantung kepada gred, semakin rendah gred maka makin murahlah harganya. Jadi janganlah tertarik dengan harga kurma Ajwa yang murah, mungkin ia bergred C yang kurang enak berbanding gred A+. Peniaga-peniaga ini menggredkan kurma-kurma yang dijual kerana kondisi kurma yang tidak sama, mungkin yang bergred C sudah lama tersimpan dalam stok, jadi bila di bawa pulang ke Malaysia tidak dapat bertahan lama, berbanding yang bergred A+ mungkin baru saja dikeringkan dan memasuki pasaran. Setiap kedai pasti akan menjual kurma, pelbagai jenis kekacang, buah-buahan tanah Arab yang telah dikeringkan seperti aprikot dan zaitun, makanan yang telah dibungkus dan ditinkan malah ada juga yang menjual buah-buahan tropika seperti pisang. Disini pun banyak juga yang diborong - kurma, kekacang, coklat - sehingga penuh beg yang aku bawa. Jenuh juga mengheret beg yang sudah penuh dengan macam-macam khazanah, nak digalas terlalu berat, bila diseret tak seimbang pula asyik terpesong ke kiri ke kanan.
Selesai urusan membeli-belah, kami beransur melangkah ke tempat bas menunggu, dari kedai ke situ tidak jauh pun. Aku nampak kelibat mutawwif yang sedang menanti, terus saja dia menyertai kami yang sedang melangkah ke arah bas. Dia seperti melihat-lihat barangan yang kami borong, tiba-tiba datang seorang penjual minyak wangi mempromosikan minyak wanginya kepada kami, sambil cuba mencalit minyak wanginya ke atas baju kami. Aku sempat lari ke belakang Emak untuk mengelak daripada terkena calitan minyak wangi. Kami tidaklah berminat dengan minyak wangi yang dipromosikan, tetapi penjual itu bersungguh-sungguh mahu menunjukkan minyak wanginya kepada kami, dan sudahnya Abang Man dan Kak Dah melayaninya dan melihat-lihat minyak wangi yang ada. Aku dan Emak sudah mahu meninggalkan mereka melayani penjual minyak wangi itu, dan aku nampak mutawwif bercakap-cakap dengan penjual itu dalam bahasa Arab pasar yang memang aku tak dapat tangkap langsung butir bicaranya. Dia lalu menghampiri kami dan memberitahu kalau tidak mahu beli jangan dilayan langsung penjual-penjual sebegini, kerana kalau kita sudah membelek barang-barangnya, tetapi tak mahu beli, kemungkinan kita akan dimarahi oleh si penjual. Mujur Kak Dah ada membeli minyak wangi daripada penjual itu, jadi tidaklah percuma saja kena marah.
Pasar Kurma merupakan destinasi terakhir kami untuk program ziarah luar hari ini. Sebenarnya semasa dalam perjalanan ke Pasar Kurma tadi sempat kami lalu di hadapan Masjid Qiblatain, tetapi bas tidak berhenti di situ memandangkan masa yang sudah tidak mengizinkan. Kami hanya melihat-lihat dari dalam bas, sambil mutawwif menceritakan sejarah Masjid Qiblatain yang menjadi tempat penurunan wahyu kepada Nabi untuk menukar arah kiblat yang mengadap ke arah Masjidil Aqsa pada ketika itu ke arah Masjidil Haram di Mekah. Namanya pun bermaksud 2 kiblat (Qiblatain/قبلتين), cerita mutawwif lagi, ketika wahyu diturunkan, Nabi sedang bersolat di dalamnya, dengan mangadap ke arah Masjidil Aqsa, apabila turun wahyu menukar arah kiblat ke arah Masjidil Haram, serta merta Nabi memusingkan badannya 180 darjah mengadap ke arah Masjidil Haram, memandangkan Madinah terletak tengah-tengah diantara Mekah dan Baitul Maqdis. Allah memerintahkan sedemikian dalam surah al-Baqarah ayat 114 yang bermaksud : sungguh Kami melihat mukamu (Muhammad) menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberi al-Kitab memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan. Peristiwa pertukaran kiblat ini berlaku pada tahun kedua selepas hijrah Nabi ke Madinah, iaitu setelah 16 atau 17 bulan Nabi bersolat mengadap Masjidil Aqsa. Sejak hijrah Nabi lagi ibadat solat dilakukan mengadap ke Masjidil Aqsa di Palestin, yang sekarang menjadi rebutan Israel terlaknat untuk membina kuil Solomon yang didakwa mereka sebagai tempat suci mereka. Nabi lebih suka mengadap ke Masjidil Haram, iaitu kiblat moyang Baginda Nabi Ibrahim, lebih-lebih lagi apabila orang-orang Yahudi di Madinah sering mengejek-ejek Nabi dan umat Islam kerana menggunakan kiblat yang mereka anggap kepunyaan mereka (Masjidil Aqsa) tanpa ada sebarang bukti yang dapat diterima akal.
Abu Dzar telah meriwayatkan : saya telah bertanya kepada Rasulullah SAW : "Apakah masjid yang pertama dibina di atas muka bumi ini?" Rasulullah SAW menjawab : "Masjid al-Haram", saya bertanya lagi : "Kemudiannya...?" Balas Rasulullah SAW : "Masjid al-Aqsa". Saya bertanya lagi : "Berapakah jarak di antara keduanya (tempoh dibina kedua-duanya)?" Balas Rasulullah SAW : "40 tahun, di mana sahaja kamu dapat bersolat pada keduanya, maka bersolatlah (di sana), di sana ada kelebihan (untuk mereka yang bersolat di kedua-dua masjid tersebut)" - HR Bukhari [sumber]
Daripada pelbagai sumber sejarah, sebenarnya diketahui tapak kedua-dua masjid ini sudah terbina, sedangkan Nabi Ibrahim menaikkan binaan masjid-masjid tersebut. Lanjutan pembacaan dan pemerhatian tentang sejarah kedua-dua masjid ini perlu dilakukan sekiranya mahu memahami rentetan pembinaannya.
Kami meninggalkan pasar kurma dengan hasil beli-belah yang sendat dalam beg masing-masing. Bas terus menuju ke hotel, kerana program ziarah luar tamat di situ. Badan juga sudah penat minta rehat, ditambah pula dengan rembang matahari jam 11 pagi yang tidak langsung berkompromi, memang mampu membuatkan kepala pusing mahu pitam. Mujur bas berhenti betul-betul di hadapan kaki lima hotel, jadi tak perlu berjalan jauh untuk sampai ke hotel. Kami cepat-cepat memasuki lobi hotel kerana tidak tahan dengan kepanasan 50 darjah, dan duduk sekejap di lobi menghilangkan lelah sambil menanti giliran menaiki lif. Sampai di bilik, buah-buah kurma perlu dikeluarkan daripada beg untuk mengelakkannya daripada berkuap dan cepat busuk, terutama kurma muda yang Emak beli di ladang kurma tadi. Sedikit masa lagi perlu persiapkan diri untuk ke masjid menunaikan solat Zohor. Kali ini aku mahu mencuba membawa telefon bimbit bersama, letak di dalam stokin yang aku pakai.
Siap berpakaian dan bertelekung, Aku, Emak, Kak Dah, Emak Kak Dah dan Makcik Ma sama-sama turun ke lobi untuk ke masjid. Sampai di gerbang bernombor 10, aku simpan telefon bimbit di dalam stokin yang aku pakai, sambil dalam hati berdoa semoga telefon bimbitku tidak dapat dikesan oleh pegawai polis di pintu masjid. Kalau ditakdirkan oleh Allah ia dapat dikesan, aku redha sahaja segalanya, dan segala puji bagi-Nya yang telah memudahkan segala urusan, telefon bimbit dalam stokin selamat, kami dapat masuk ke dalam masjid dengan aman. Telefon bimbit aku pindahkan ke dalam beg. Seperti biasa selepas meneguk zam-zam, kami mencari tempat yang sesuai untuk menunaikan solat, dan sambil menunggu azan berkumandang, kami penuhi dengan membaca al-Quran. Usai solat, kami kembali ke hotel, mengisi perut dengan juadah makan tengah hari yang telah disediakan oleh pihak hotel. Setiap kali waktu makan kami dihidangkan dengan masakan Malaysia seperti rendang ayam, masak asam, ulam-ulaman dan sebagainya. Sewaktu makan tengah hari aku tercari-cari kelibat mutawwif kalau-kalau dia ada duduk makan bersama di kafe, tapi tidak kutemukan. Lepas makan, aku dan Emak mahu naik ke bilik, rupa-rupanya dia duduk di satu sudut berhampiran lif yang agak terlindung.
Naik ke bilik, jam sudah menunjukkan ke angka 2, kurang 2 jam lagi perlu bersiap-siap untuk solat Asar pula. Sungguh masa di sini terasa amat cepat berlalu. Sempat aku berbaring-baring di katil seketika, sebelum bangun mempersiapkan diri ke masjid. Aku berbincang dengan Emak untuk terus duduk di masjid sehingga waktu Magrib dan hanya akan pulang semula ke hotel selesai solat Isya'. Sebenarnya aku lebih memikirkan keadaan Emak yang uzur kerana untuk berulang-alik dari hotel ke masjid sebenarnya agak memenatkan Emak. Lagipun jika terus beriktikaf sehingga Isya', masa tidaklah terbuang dengan perjalanan ulang-alik hotel-masjid. Lalu usai solat Asar, aku dan Emak tinggal di masjid, sementara Kak Dah, Emak Kak Dah dan Makcik Ma pulang ke hotel. Sepanjang di masjid aku dan Emak lebih banyak membaca al-Quran, bila sudah letih aku dan Emak berhenti seketika dan kadang-kadang aku bangun mengambilkan zam-zam untuk Emak. Bila hari beransur malam, perut pula terasa lapar, hanya zam-zam yang memenuhi perut, lama-lama memang rasa mahu ke tandas, tapi sedaya upaya ditahan kerana kedudukan tandas yang jauh dan jemaah pula semakin ramai memenuhi masjid. Wuduk juga perlu dipelihara daripada terbatal, rasa mengantuk terpaksa ditahan kerana bimbang kalau berbaring, kemungkinan untuk wuduk batal adalah tinggi. Hingga masuk waktu Maghrib, aku dan Emak berjaya memelihara wuduk dan dalam masa yang sama menahan rasa lapar yang menjentik-jentik perut. Senang pula Kak Dah, Emak Kak Dah dan Makcik Ma yang baru sampai di masjid menjumpai aku dan Emak, lalu kami bersatu duduk di tepi tiang menanti azan Maghrib berkumandang. Kak Dah bertanyakan aku, ok kah dari Asar tadi tak keluar masjid? Aku hanya cakap lapar sambil tersenyum.
Selesai solat Isya', kami pulang ke hotel bersama-sama. Makan malam sudah tersedia di kafe hotel. Selesai mengisi perut, masing-masing pulang ke hotel untuk berehat. Esok tidak ada apa-apa program pada sebelah pagi, namun kami semua akan bertolak ke Mekah selepas solat Zohor. Semasa program ziarah luar siang tadi mutawwif ada berpesan kepada kami untuk bersolat Zohor di masjid esok, kemudian terus disambung dengan solat jamak Asar 4 rakaat, tidak boleh diqasarkan kerana kami sedang musafir yang duduk setempat. Mutawwif juga sudah berpesan untuk mandi sunat Ihram dan siap-siap memakai pakaian Ihram sebelum memulakan perjalanan ke Mekah. Malam ini aku tidur lena, kerana siangnya agak penat menjalani program ziarah luar sambil membeli belah. Aku tidak sabar untuk bermusafir ke Mekah dan mengerjakan umrahku yang pertama esok, namun dalam masa yang sama aku sayu untuk meninggalkan segala yang ada di bumi Madinah ini, lebih-lebih lagi untuk berjauhan dengan Nabi tercinta. Rasa rindu kepada tempat-tempat yang aku ziarah siang tadi sudah membiak dalam hati, sungguh aku mahu mengulangi menziarahi tempat-tempat suci itu, terutama ke masjid-masjid dan Bukit Uhud yang menjadi ikon dalam sejarah perjuangan Nabi di Madinah. Kalau boleh aku ingin terus berada di sini, dekat dengan Nabi.
"Biasanya apabila kita merindukan sesuatu...yang kita rindukan pun merindukan kita juga. Dengan begitu rindu-rindu yang dipendam pun akan selalu berdoa kepada si pemilik rindu dan yang merindukan." - begitu tintanya bila bicara tentang rindu...

Pasca kemenangan kaum muslimin dalam Perang Badar membawa kepada pakatan kaum musyrikin untuk mengadakan serangan balas. Mereka mengumpulkan jumlah tentera yang besar dan mengeluarkan belanja yang banyak bagi tujuan tersebut. Jumlah tentera musyrikin adalah 3000 orang, 200 daripadanya adalah pasukan berkuda dan 700 buah perisai pertahanan. Pasukan berkuda dipimpin oleh Khalid bin al-Walid dan Ikramah bin Abu Jahal. Komandan tentera musyrikin adalah dari Bani Abdud Dar yang diketuai oleh Abu Sufyan. Mereka bergerak dari Makkah hingga sampai ke Zulhulaifah dan Lembah Qanat, di selatan Bukit Uhud dan Timur Bukit ar-Rumah (Bukit Ainain).
Setelah mendapat maklumat tentang kemaraan tentera kuffar, Rasulullah SAW mengumpul para sahabat untuk berbincang tentang tindakan yang harus dilakukan. Rasulullah SAW berpendapat agar kaum muslimin mempertahankan diri di bandar Madinah. Tetapi ramai sahabat memilih untuk keluar Madinah dan menyekat tentera musyrikin di sana. Baginda menerima pendapat majoriti sahabat walaupun pendapat baginda adalah lebih munasabah kerana mustahil tentera musyrikin dapat menawan Madinah dalam masa yang singkat. Sudah tentu tentera Islam dapat mengalahkan mereka dengan mudah kerana tentera Islam lebih tahu selok belok kota Madinah.
Jumlah tentera muslimin adalah 700 orang dan 50 daripadanya adalah pasukan berkuda dan 100 perisai pertahanan. Komandan tentera muslimin adalah Mus’ab bin Umair r.a , kemudiannya Ali bin Abi Thalib kwh.Tentera Islam berkhemah di celah antara dua bukit. Bukit Uhud di belakang, Bukit ar-Rumah (Ainain) di kiri dan bandar Madinah di hadapan.
Sebelum berlaku pertempuran, Rasulullah SAW mengarahkan 50 orang pemanah untuk membantu pertahanan dari puncak Bukit Ainain bagi melindungi bahagian belakang tentera Islam yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair al-Ansari r.a. Rasulullah Saw telah mengeluarkan arahan kepada mereka;
Pertempuran pertama berlaku di sebelah barat Bukit Uhud. Tentera muslimin telah menunjukkan keberanian yang hebat sehingga dapat mengalahkan tentera musyrikin yang jauh lebih ramai. Meraka dapat mengawal keadaan dan mengejar tentera musyrikin agar keluar dari medan perang dan kembali ke kawasan perkhemahan mereka.“Jika kamu melihat kami beroleh kemenangan, JANGAN SEKALI-KALI TURUN kepada kami dan jika kamu melihat kami dibunuh pun, JANGAN CUBA TURUN untuk menolong kami. JANGAN TINGGALKAN TEMPAT KAMU itu sekalipun kamu melihat tentera Islam dipatuk (dimakan mayatnya) oleh burung-burung.”
Apabila pasukan pemanah melihat tentera musyrikin kalah dan lari meninggalkan medan perang, mereka berpusu-pusu turun dari tempat pertahanan mereka untuk mengumpul harta rampasan yang ditinggalkan musuh. Yang masih kekal hanyalah ketua mereka, Abdullah bin Jubair r.a dan 10 yang lain untuk tetap berada di tempat yang diarahkan oleh Rasulullah SAW. Inilah KESILAPAN BESAR yang membawa kepada kekalahan tentera muslimin. Terdapat satu lagi KESILAPAN yang dilakukan oleh tentera muslimin iaitu tidak mengejar tentera musyrikin untuk berundur lebih jauh dari medan perang.
Memerhati situasi tersebut, Khalid al-Walid dan Ikramah Abu Jahal mengambil kesempatan untuk menyerang tentera pemanah Islam dari arah belakang dan berjaya membunuh ke semua baki pemanah yang masih bertahan di Bukit Ainain tersebut. Tentera musyrikin yang telah berundur, maju semula apabila menyaksikan kemaraan tentera berkuda mereka yang dapat menawan Bukit Ainain. lalu mengepung tentera Islam dari segenap penjuru. Mereka menyebarkan khabar angin bahawa Rasulullah SAW telah terbunuh. Tentera Islam mulai berpecah dan kelam kabut.
Rasulullah mengalami kecederaan di kepala dan muka. Gigi hadapan baginda patah dan bibirnya luka. Rasulullah berteriak memanggil tentera Islam agar datang kepadanya. Ini menyedarkan tentera Islam bahawa Rasulullah masih hidup dan mereka bergegas kepada Rasulullah untuk melindungi baginda. Rasulullah memberitahu, cara terbaik untuk keluar dari kepungan tentera musyrikin adalah mencari tempat perlindungan yang tinggi.
Lalu baginda mengarahkan mereka berundur hingga sampai ke tempat tinggi di atas Bukit Uhud.Tempat yang strategik itu memberi perlindungan dari tiga arah sehingga menyebabkan tentera musyrik hanya dapat menyerang dari arah selatan sahaja. Melihat keadaan itu, tentera musuh terpaksa berundur pulang ke Makkah.
Tentera Islam kemudiannya menyemadikan jasad para syuhada yang gugur di medan terjadinya pertempuran di mana dua atau tiga orang di kuburkan di dalam satu liang lahad. Kuburan ini terletak berdekatan dengan Bukit ar-Rumah dan sunat menziarahnya. Dalam pertempuran tersebut Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib telah berjaya dibunuh oleh hamba bernama Wahsyi dengan lontaran lembingnya sebagai syarat kemerdekaannya. Wahsyi adalah seorang pelontar lembing yang mahir.
Saidina Hamzah yang digelar Asaadullah (Singa Allah) juga dikenali sebagai Sayyid asy-Syuhada’ (penghulu kepada orang yang mati syahid). Rasulullah saw sangat sedih melihat keadaan jenazah bapa saudaranya. Mayat Saidina Hamzah dikebumikan di kaki bukit di pinggir Wadi Qanat iaitu di selatan Bukit Uhud dan di barat laut Bukit ar-Rumah iaitu di kawasan Masjid asy-Syuhada’. Pada tahun 46 H sewaktu pemerintahan Muawiyah, berlaku banjir di kawasan tersebut yang menyebabkan jasad beliau timbul. Jasadnya dipindahkan ke tempat yang ada sekarang.
Menurut pendapat ahli sejarah, terdapat 70 orang tentera muslimin yang gugur syahid. 64 orang dari golongan Ansar dan 6 orang dari golongan Muhajirin. Manakala tentera musyrikin hanya 22 orang sahaja. Tempat persemadian tentera yang syahid ini dinamakan Perkuburan Syuhada’ Uhud. mereka dikebumikan di Wadi Qanat yang dikenali sebagai Wadi Saidina Hamzah, Sayyid Syuhada’.
Ubadah bin Somit r.a berkata, Rasulullah saw selalu menziarahi perkuburan syuhada Uhud dan memberi salam kepada mereka dengan ucapan:
[sumber]“Salam sejatera ke atas kamu di atas kesabaran kamu dan nikmatilah sebaik-baik tempat tinggal (syurga).”
Sebenarnya Bukit Uhud adalah bukit terbesar dan terpanjang di Madinah dan terletak di bahagian utara Madinah, kira-kira 5 kilometer dari pusat bandar. Nabi pernah bersabda : Bukit Uhud ini mencintai kami dan kami mencintainya. Kata mutawwif, InsyaAllah kita dapat melihat Bukit Uhud ini di dalam syurga nanti. Bukit ini terpisah daripada bukit-bukit lain di Madinah, sebab itulah ia dinamakan Bukit Uhud, uhud berasal daripada perkataan ahad (أحد) dalam bahasa Arab yang bermaksud satu atau tunggal. Aku turun dari Bukit Ar-Rumah setelah puas merakam foto-foto sekitar Bukit Uhud, dan mencari Emak dan Emak Kak Dah. Mereka berada di salah satu gerai yang menjual kurma. Kurma lagi? Aku cepat-cepat menyertai mereka yang sedang melihat-lihat dan mencuba kurma daripada penjual gerai tersebut. Kata Emak, kurmanya terlalu kering, dan rasanya sudah tidak segar, mungkin akibat terjemur di tengah terik mentari, hingga tersejat air yang terkandung dalam buah. Aku memberi cadangan untuk tidak membeli kurma itu, dan berasa lega kerana Emak menyetujui cadangan aku. Kami lantas meneruskan langkah menuju ke tempat letak kenderaan, untuk berkumpul semula di dalam bas. Setelah semua ahli kumpulan berada dalam bas, kami meninggalkan Bukit Uhud yang penuh sejarah perit para pejuang perang Uhud dan Nabi sendiri.
Kami bertolak ke pasar kurma pula. Kurma lagi? Di pasar kurma ini lebih banyak kedai-kedai menjual kurma, kekacang, buah zaitun, aprikot kering dan bermacam-macam lagi khazanah tanah Arab. Pasar kurma ini merupakan kedai sederet seperti bazar, boleh jadi deretannya memanjang ke kiri hingga 100 meter. Aku nampak Emak sudah tidak upaya untuk berjalan hingga ke penghujung deretan kedai, kedai yang terakhir nampak sayup saja dari kedai yang pertama. Lalu kami hanya berlegar di kedai pertama hingga ketiga sahaja, sambil membandingkan harga. Abang Man, Kak Dah, Emak Kak Dah dan Makcik Ma langsung saja ke kedai-kedai keempat, kelima dan seterusnya, mencari lebih banyak perbandingan dan pilihan. Peniaga-peniaga di sini kebanyakannya lelaki warga Pakistan, Iran dan India, yang lebih ramah berbanding dengan yang di ladang kurma tadi, hinggakan mahu bertepuk tampar dengan Emak, dan mahu berdiri dekat-dekat dengan aku. Aku agak kaget dengan situasi itu lalu segera menjarakkan diri setiap kali dia berbuat demikian. Hati manusia tak boleh diramal, biarpun di tanah yang suci ini, kerana nafsu dan syaitan tak kenal dan tak bena di mana kita berada, asalkan dapat mengajak ke arah dosa. Kurma-kurma yang dijual di sini kebanyakannya daripada jenis Ajwa, tetapi terdapat dalam beberapa gred, seperti gred A+, A, B+, B dan C, harganya bergantung kepada gred, semakin rendah gred maka makin murahlah harganya. Jadi janganlah tertarik dengan harga kurma Ajwa yang murah, mungkin ia bergred C yang kurang enak berbanding gred A+. Peniaga-peniaga ini menggredkan kurma-kurma yang dijual kerana kondisi kurma yang tidak sama, mungkin yang bergred C sudah lama tersimpan dalam stok, jadi bila di bawa pulang ke Malaysia tidak dapat bertahan lama, berbanding yang bergred A+ mungkin baru saja dikeringkan dan memasuki pasaran. Setiap kedai pasti akan menjual kurma, pelbagai jenis kekacang, buah-buahan tanah Arab yang telah dikeringkan seperti aprikot dan zaitun, makanan yang telah dibungkus dan ditinkan malah ada juga yang menjual buah-buahan tropika seperti pisang. Disini pun banyak juga yang diborong - kurma, kekacang, coklat - sehingga penuh beg yang aku bawa. Jenuh juga mengheret beg yang sudah penuh dengan macam-macam khazanah, nak digalas terlalu berat, bila diseret tak seimbang pula asyik terpesong ke kiri ke kanan.
Selesai urusan membeli-belah, kami beransur melangkah ke tempat bas menunggu, dari kedai ke situ tidak jauh pun. Aku nampak kelibat mutawwif yang sedang menanti, terus saja dia menyertai kami yang sedang melangkah ke arah bas. Dia seperti melihat-lihat barangan yang kami borong, tiba-tiba datang seorang penjual minyak wangi mempromosikan minyak wanginya kepada kami, sambil cuba mencalit minyak wanginya ke atas baju kami. Aku sempat lari ke belakang Emak untuk mengelak daripada terkena calitan minyak wangi. Kami tidaklah berminat dengan minyak wangi yang dipromosikan, tetapi penjual itu bersungguh-sungguh mahu menunjukkan minyak wanginya kepada kami, dan sudahnya Abang Man dan Kak Dah melayaninya dan melihat-lihat minyak wangi yang ada. Aku dan Emak sudah mahu meninggalkan mereka melayani penjual minyak wangi itu, dan aku nampak mutawwif bercakap-cakap dengan penjual itu dalam bahasa Arab pasar yang memang aku tak dapat tangkap langsung butir bicaranya. Dia lalu menghampiri kami dan memberitahu kalau tidak mahu beli jangan dilayan langsung penjual-penjual sebegini, kerana kalau kita sudah membelek barang-barangnya, tetapi tak mahu beli, kemungkinan kita akan dimarahi oleh si penjual. Mujur Kak Dah ada membeli minyak wangi daripada penjual itu, jadi tidaklah percuma saja kena marah.
Pasar Kurma merupakan destinasi terakhir kami untuk program ziarah luar hari ini. Sebenarnya semasa dalam perjalanan ke Pasar Kurma tadi sempat kami lalu di hadapan Masjid Qiblatain, tetapi bas tidak berhenti di situ memandangkan masa yang sudah tidak mengizinkan. Kami hanya melihat-lihat dari dalam bas, sambil mutawwif menceritakan sejarah Masjid Qiblatain yang menjadi tempat penurunan wahyu kepada Nabi untuk menukar arah kiblat yang mengadap ke arah Masjidil Aqsa pada ketika itu ke arah Masjidil Haram di Mekah. Namanya pun bermaksud 2 kiblat (Qiblatain/قبلتين), cerita mutawwif lagi, ketika wahyu diturunkan, Nabi sedang bersolat di dalamnya, dengan mangadap ke arah Masjidil Aqsa, apabila turun wahyu menukar arah kiblat ke arah Masjidil Haram, serta merta Nabi memusingkan badannya 180 darjah mengadap ke arah Masjidil Haram, memandangkan Madinah terletak tengah-tengah diantara Mekah dan Baitul Maqdis. Allah memerintahkan sedemikian dalam surah al-Baqarah ayat 114 yang bermaksud : sungguh Kami melihat mukamu (Muhammad) menengadah ke langit, maka sungguh Kami akan memalingkan kamu ke kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana saja kamu berada, palingkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberi al-Kitab memang mengetahui, bahawa berpaling ke Masjidil Haram itu adalah benar dari Tuhannya dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang mereka kerjakan. Peristiwa pertukaran kiblat ini berlaku pada tahun kedua selepas hijrah Nabi ke Madinah, iaitu setelah 16 atau 17 bulan Nabi bersolat mengadap Masjidil Aqsa. Sejak hijrah Nabi lagi ibadat solat dilakukan mengadap ke Masjidil Aqsa di Palestin, yang sekarang menjadi rebutan Israel terlaknat untuk membina kuil Solomon yang didakwa mereka sebagai tempat suci mereka. Nabi lebih suka mengadap ke Masjidil Haram, iaitu kiblat moyang Baginda Nabi Ibrahim, lebih-lebih lagi apabila orang-orang Yahudi di Madinah sering mengejek-ejek Nabi dan umat Islam kerana menggunakan kiblat yang mereka anggap kepunyaan mereka (Masjidil Aqsa) tanpa ada sebarang bukti yang dapat diterima akal.
Abu Dzar telah meriwayatkan : saya telah bertanya kepada Rasulullah SAW : "Apakah masjid yang pertama dibina di atas muka bumi ini?" Rasulullah SAW menjawab : "Masjid al-Haram", saya bertanya lagi : "Kemudiannya...?" Balas Rasulullah SAW : "Masjid al-Aqsa". Saya bertanya lagi : "Berapakah jarak di antara keduanya (tempoh dibina kedua-duanya)?" Balas Rasulullah SAW : "40 tahun, di mana sahaja kamu dapat bersolat pada keduanya, maka bersolatlah (di sana), di sana ada kelebihan (untuk mereka yang bersolat di kedua-dua masjid tersebut)" - HR Bukhari [sumber]
Daripada pelbagai sumber sejarah, sebenarnya diketahui tapak kedua-dua masjid ini sudah terbina, sedangkan Nabi Ibrahim menaikkan binaan masjid-masjid tersebut. Lanjutan pembacaan dan pemerhatian tentang sejarah kedua-dua masjid ini perlu dilakukan sekiranya mahu memahami rentetan pembinaannya.
Kami meninggalkan pasar kurma dengan hasil beli-belah yang sendat dalam beg masing-masing. Bas terus menuju ke hotel, kerana program ziarah luar tamat di situ. Badan juga sudah penat minta rehat, ditambah pula dengan rembang matahari jam 11 pagi yang tidak langsung berkompromi, memang mampu membuatkan kepala pusing mahu pitam. Mujur bas berhenti betul-betul di hadapan kaki lima hotel, jadi tak perlu berjalan jauh untuk sampai ke hotel. Kami cepat-cepat memasuki lobi hotel kerana tidak tahan dengan kepanasan 50 darjah, dan duduk sekejap di lobi menghilangkan lelah sambil menanti giliran menaiki lif. Sampai di bilik, buah-buah kurma perlu dikeluarkan daripada beg untuk mengelakkannya daripada berkuap dan cepat busuk, terutama kurma muda yang Emak beli di ladang kurma tadi. Sedikit masa lagi perlu persiapkan diri untuk ke masjid menunaikan solat Zohor. Kali ini aku mahu mencuba membawa telefon bimbit bersama, letak di dalam stokin yang aku pakai.
Siap berpakaian dan bertelekung, Aku, Emak, Kak Dah, Emak Kak Dah dan Makcik Ma sama-sama turun ke lobi untuk ke masjid. Sampai di gerbang bernombor 10, aku simpan telefon bimbit di dalam stokin yang aku pakai, sambil dalam hati berdoa semoga telefon bimbitku tidak dapat dikesan oleh pegawai polis di pintu masjid. Kalau ditakdirkan oleh Allah ia dapat dikesan, aku redha sahaja segalanya, dan segala puji bagi-Nya yang telah memudahkan segala urusan, telefon bimbit dalam stokin selamat, kami dapat masuk ke dalam masjid dengan aman. Telefon bimbit aku pindahkan ke dalam beg. Seperti biasa selepas meneguk zam-zam, kami mencari tempat yang sesuai untuk menunaikan solat, dan sambil menunggu azan berkumandang, kami penuhi dengan membaca al-Quran. Usai solat, kami kembali ke hotel, mengisi perut dengan juadah makan tengah hari yang telah disediakan oleh pihak hotel. Setiap kali waktu makan kami dihidangkan dengan masakan Malaysia seperti rendang ayam, masak asam, ulam-ulaman dan sebagainya. Sewaktu makan tengah hari aku tercari-cari kelibat mutawwif kalau-kalau dia ada duduk makan bersama di kafe, tapi tidak kutemukan. Lepas makan, aku dan Emak mahu naik ke bilik, rupa-rupanya dia duduk di satu sudut berhampiran lif yang agak terlindung.
Naik ke bilik, jam sudah menunjukkan ke angka 2, kurang 2 jam lagi perlu bersiap-siap untuk solat Asar pula. Sungguh masa di sini terasa amat cepat berlalu. Sempat aku berbaring-baring di katil seketika, sebelum bangun mempersiapkan diri ke masjid. Aku berbincang dengan Emak untuk terus duduk di masjid sehingga waktu Magrib dan hanya akan pulang semula ke hotel selesai solat Isya'. Sebenarnya aku lebih memikirkan keadaan Emak yang uzur kerana untuk berulang-alik dari hotel ke masjid sebenarnya agak memenatkan Emak. Lagipun jika terus beriktikaf sehingga Isya', masa tidaklah terbuang dengan perjalanan ulang-alik hotel-masjid. Lalu usai solat Asar, aku dan Emak tinggal di masjid, sementara Kak Dah, Emak Kak Dah dan Makcik Ma pulang ke hotel. Sepanjang di masjid aku dan Emak lebih banyak membaca al-Quran, bila sudah letih aku dan Emak berhenti seketika dan kadang-kadang aku bangun mengambilkan zam-zam untuk Emak. Bila hari beransur malam, perut pula terasa lapar, hanya zam-zam yang memenuhi perut, lama-lama memang rasa mahu ke tandas, tapi sedaya upaya ditahan kerana kedudukan tandas yang jauh dan jemaah pula semakin ramai memenuhi masjid. Wuduk juga perlu dipelihara daripada terbatal, rasa mengantuk terpaksa ditahan kerana bimbang kalau berbaring, kemungkinan untuk wuduk batal adalah tinggi. Hingga masuk waktu Maghrib, aku dan Emak berjaya memelihara wuduk dan dalam masa yang sama menahan rasa lapar yang menjentik-jentik perut. Senang pula Kak Dah, Emak Kak Dah dan Makcik Ma yang baru sampai di masjid menjumpai aku dan Emak, lalu kami bersatu duduk di tepi tiang menanti azan Maghrib berkumandang. Kak Dah bertanyakan aku, ok kah dari Asar tadi tak keluar masjid? Aku hanya cakap lapar sambil tersenyum.
Selesai solat Isya', kami pulang ke hotel bersama-sama. Makan malam sudah tersedia di kafe hotel. Selesai mengisi perut, masing-masing pulang ke hotel untuk berehat. Esok tidak ada apa-apa program pada sebelah pagi, namun kami semua akan bertolak ke Mekah selepas solat Zohor. Semasa program ziarah luar siang tadi mutawwif ada berpesan kepada kami untuk bersolat Zohor di masjid esok, kemudian terus disambung dengan solat jamak Asar 4 rakaat, tidak boleh diqasarkan kerana kami sedang musafir yang duduk setempat. Mutawwif juga sudah berpesan untuk mandi sunat Ihram dan siap-siap memakai pakaian Ihram sebelum memulakan perjalanan ke Mekah. Malam ini aku tidur lena, kerana siangnya agak penat menjalani program ziarah luar sambil membeli belah. Aku tidak sabar untuk bermusafir ke Mekah dan mengerjakan umrahku yang pertama esok, namun dalam masa yang sama aku sayu untuk meninggalkan segala yang ada di bumi Madinah ini, lebih-lebih lagi untuk berjauhan dengan Nabi tercinta. Rasa rindu kepada tempat-tempat yang aku ziarah siang tadi sudah membiak dalam hati, sungguh aku mahu mengulangi menziarahi tempat-tempat suci itu, terutama ke masjid-masjid dan Bukit Uhud yang menjadi ikon dalam sejarah perjuangan Nabi di Madinah. Kalau boleh aku ingin terus berada di sini, dekat dengan Nabi.
"Biasanya apabila kita merindukan sesuatu...yang kita rindukan pun merindukan kita juga. Dengan begitu rindu-rindu yang dipendam pun akan selalu berdoa kepada si pemilik rindu dan yang merindukan." - begitu tintanya bila bicara tentang rindu...
Mutawwif yang manis sedang menasihati untuk tidak berbelanja di sini.
Masjid Quba' [sumber]
Kebun Kurma Abdul Aziz
Meja-meja untuk berehat sambil minum jus kurma yang segar.
Maziah dan suami sedang memilih kurma.
Bukit Uhud dan sekitarnya
Mutawwif sedang bercerita kisah perang Uhud di atas Bukit ar-Rummah
Bukit ar-Rummah, lokasi pasukan pemanah perang Uhud
Peta rentetan perang Uhud [sumber]
Peta rentetan perang Uhud [sumber]
Masjid Qiblatain [sumber]
Pasar kurma [sumber]

No comments:
Post a Comment