Hari 1 - Bertemu Nabi
Jam 3.30 pagi kami berlima sudah memulakan langkah ke Masjid Nabi. Suami anak saudara bapa, Abang Man, lebih selesa ke masjid bersama rakan-rakan sebiliknya. Dia sudah berpengalaman berziarah ke sini, sebenarnya kesemua ahli rombongan kami pun pernah ke sini, cuma aku saja yang baru pertama kali. Walau baru awal pagi, sudah terasa bahang hangat tanah Arab yang mendakap tubuh yang berselubung telekung putih. Angin kadang-kadang berhembus lembut, namun hawanya panas dan kering. Perjalanan ke Masjid Nabi agak berdebu sebab pembinaan bangunan agak giat dijalankan di sepanjang jalan ke masjid. Kami perlu melintas jalan besar yang masih lengang ketika itu, sambil menutup hidung dan mulut kerana tidak selesa dengan debu-debu pembinaan yang berterbangan memenuhi ruang udara. Aku memimpin Emak, kami berpegangan tangan sebab Emak perlu berpaut semasa berjalan dalam jarak yang agak jauh. Sebenarnya, itu pertama kali aku menggenggam tangan Emak, genggam yang sebenar-benar genggam. Ada satu perasaan janggal pada mulanya, namun bila kulihat Emak buat tidak kisah, aku pun jadi biasa dengan keadaan itu, malah Emak memeluk tanganku supaya lebih selesa berjalan. Kaki Emak sudah tidak kuat untuk melangkah laju-laju, dan cepat lenguh dan sakit bila dipaksa begitu, lalu aku pesan pada Emak, jalan perlahan-lahan sajalah agar kaki tidak bermasalah bila mahu beribadat. Emak akur dan kami tertinggal agak terkebelakang daripada rakan-rakan sebilik tadi. Tak apa, yang penting Emak tidak letih.
Sampai di perkarangan masjid, ada banyak gerbang masuk ke dataran masjid yang luas. Kami masuk melalui gerbang bernombor 10. Aku melangkah melewati dataran, dihadapanku saujana mata memandang ke arah masjid yang tersergam gagah. Hati jadi sebak, jiwa jadi pilu. Air mata tiba-tiba mengalir tanpa ada paksaan dari dalam diri. Sungguh dalam dada aku kala itu sesak, macam sedang dihimpit batu. Aku tak mengerti perasaan itu, segalanya di luar kawalan kesedaranku. Cuma yang aku tahu, fikiranku sibuk berdialog : mungkin jalan yang aku sedang lewati ini pernah dilalui oleh Nabi, di tempat itu mungkin Nabi pernah singgah untuk bertemu dengan para sahabat, mungkin tapak kaki aku menjejak bekas pijakan Nabi. Mata pula sibuk melilau memandang kiri kanan atas bawah, tak mahu terlepas mengamati satu apa pun. Aku berpaling muka tatkala air mata mahu melimpah ke pipi, dan aku kesat cepat-cepat, bimbang kalau-kalau dilihat Emak, sungguh aku segan. Aku tahu aku sudah terlalu hampir dengan Nabi, betapa sungguh rasa tak percaya. Aku jadi malu, aku bukanlah orang yang taat mengamalkan sunnah Nabi, aku amat jarang berselawat kepada Baginda, banyak yang aku tak tahu tentang Nabi, malah aku sebenarnya sangat jauh dengan seruan Nabi. Tapi hari itu, aku tahu, Nabi sedang menanti aku, Nabi masih sudi untuk menerima kunjungan aku, Nabi rindu untuk melihat kehadiran aku, Nabi tetap mahu menyambut salam aku. Buktinya, rasa sesak dalam dada ini, rasa sebak dalam hati ini, rasa bersalah yang berumbi dalam diri ini, petanda rupa-rupanya Nabi tak pernah lupakan aku.
Assalamualaikum ya Rasulallah, Habiballah. Saya umatmu ya Rasul, saya datang dari jauh, beribu batu berabad lamanya saya denganmu, sudilah wahai Rasul menerima saya sebagai tetamu. Saya bukanlah umat yang baik, malah sangat sedikit saya mengingatimu. Saya yang berbalut dosa, menagih simpatimu memohon syafaatmu, ya Rasul.
Selawat dan Salam keatasmu ya Rasulallah, dan ke atas ahli keluargamu, dan ke atas para sahabatmu.
Sampai di muka pintu, rupa-rupanya ada pemeriksaan beg untuk masuk ke dalam masjid. Tidak kurang 2 pegawai polis wanita yang lengkap berjilbab dan berpurdah hitam, hanya menampakkan 2 biji mata menanti di setiap pintu, mengawasi setiap jemaah yang mahu masuk. Beg-beg diperiksa kalau-kalau terdapat kamera mahupun telefon bimbit berkamera. Seorang daripada ahli rombongan kami terbawa kamera digitalnya bersama, dan sudah pasti dia ditahan dan tidak dibenarkan masuk melainkan meninggalkan kamera tersebut di rak-rak di tepi pintu masjid. Makcik Ma, jiran Abang Man sudah hilang punca bila disuruh berbuat demikian kerana bimbang kameranya hilang, namun apakan daya, untuk balik ke hotel dan menyimpan di bilik agak mustahil kala itu kerana kurang 20 minit lagi azan Subuh akan berkumandang dan perjalanan pergi dan balik ke masjid memerlukan sekurang-kurangnya 30 minit. Mahu tak mahu terpaksalah ditinggalkan juga kameranya di rak di tepi pintu masjid. Kamera diletakkan dalam karung beg yang berisi kasut, ditindih-tindih dengan kasut-kasut kami agar tidak jelas kelihatan daripada luar. Segala yang berlaku kami terima dengan redha. Mujur pagi itu aku tidak membawa bersama telefon bimbitku yang berkamera. Masuk ke dalam masjid, kami berhenti di tong-tong air zam-zam untuk membasahkan tekak dan sebagai salah satu adab tatkala masuk ke Masjid Nabi. Aku meneguk secawan zam-zam, setelah mengucap selawat dan memohon pada Allah agar air zam-zam yang aku minum itu menjadi penawar kepada segala jenis penyakit yang mahu menyerang tubuh, serta sebagai peluntur untuk menyuci hati daripada kotoran dosa dan noda yang terpalit selama ini. Rasa nikmatnya meneguk air zam-zam setelah sangat lama tidak meminumnya.
Kami mencari tempat untuk solat. Dalam susunan sebaris, sementara menanti azan Subuh berkumandang, kami meneruskan dengan solat sunat, membaca al-Quran atau berzikir setelah solat tahiyatul Masjid. Aku sibuk memerhatikan ragam manusia di dalam masjid. Pelbagai jenis manusia aku lihat, maklumlah, ini pertama kali aku di sini. Macam-macam ragam, macam-macam pakaian. Semua mazhab diamalkan disini, berbanding di Malaysia yang kebiasaannya, dan selalunya hanya mengamalkan mazhab Syafie. Jadi di sini, dapat dilihat pelbagai cara manusia bersolat. Jangan terkejut, maksud aku pada pergerakan-pergerakan yang sunat seperti mengangkat takbir, bagi yang bukan bermazhab Syafie mereka jarang mengangkat tangan ketika takbiratul ihram, mahupun ketika iktidal. Cara qiam semasa berdiri selepas mengangkat takbiratul ihram pun berbagai, ada yang hanya menyilangkan tangan dan diletakkan di bawah perut, ada yang letak di dada, dan ada juga yang tidak menyilangkan tangan pun, tangan dilepaskan ke sisi.
Setelah usai solat Subuh, jemaah berpusu-pusu ke pintu masjid, menjadikan keadaan sesak dan padat. Kami duduk di dalam halaqah membaca al-Quran sementara menantikan suasana sedikit lengang, tambahan pula jam baru menujukkan pukul 5 pagi, masih awal untuk bersarapan. Makcik Ma teringatkan kameranya yang ditinggalkan di luar masjid, bimbang kamera milik anaknya itu diambil orang, atau terambil orang. Dia meminta aku mengambilnya dan membawa ke dalam masjid, dengan jaminan sudah tidak ada pemeriksaan di pintu-pintu yang sesak dengan jemaah yang mahu keluar. Logiknya begitu, namun aku agak berat hati untuk meneruskan niat. Untuk tidak menghampakannya, aku gagahkan jua hati sambil berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusanku ini. Sepanjang perjalanan keluar masjid aku bertasbih, bertakbir, memohon kepada Allah agar terlaksana niatku. Memang benar sangkaan Makcik Ma, pegawai polis yang memeriksa hanya berada di pintu-pintu yang dilalui oleh jemaah yang mahu masuk ke masjid. Seperti lipas kudung aku bawa karung kasut ke tempat Emak, Makcik Ma dan yang lain-lain berkumpul. Makcik Ma sangat terharu kameranya selamat, lantas dia menarikku kedalam pelukannya dan mengucup kepalaku. Aku kaget tika itu, dan segan bila situasi itu berlaku dihadapan Emak. Tak berani aku angkat muka memandang Emak. Makcik Ma tak putus-putus mengucapkan terima kasih kepadaku. Aku hanya tersenyum sambil di dalam hati bersyukur kepada Allah kerana Dialah yang memudahkan urusan kami semua.
Jam 6 pagi, kami punya agenda ziarah oleh agen umrah. Kami pulang ke hotel untuk bersarapan setelah kira-kira setengah jam bertadarus di masjid. Siap bersarapan, kami naik sebentar ke bilik untuk ke tandas dan berwuduk. Aku dan Emak turun dahulu dan tunggu di kafe, sementara menanti yang lain selesai urusan peribadi. Jam sudah melewati 6.10 pagi, namun tidak ada pun kelibat mutawwif atau yang kelihatan seperti mutawwif. Agenda pagi ini sepatutnya dibimbing oleh mutawwif yang diganti temannya sewaktu di lapangan terbang kelmarin. Justeru, tidak ada siapa pun dalam kumpulan penumpang bas bernombor 3 yang mengenali mutawwif berkenaan. Aku mengajak Emak untuk tunggu di lobi hotel bila kulihat ramai yang berkumpul di situ. Di lobi ramai jemaah lain yang turut menanti untuk dibawa mutawwif ke lokasi sepatutnya. Aku meninjau-ninjau ke luar hotel, kulihat banyak deretan bas berbaris di tepi jalan. Aku terpandangkan satu bas yang tertulis nombor 3. Aku jadi kaget, terus kembali ke lobi dan memberitahu Emak. Bimbang ketinggalan bas, Emak terus mengajak aku menaiki bas tersebut. Tanpa berlengah, kami terus memanjat tangga bas sambil tanganku ligat mendail nombor telefon bimbit Abang Man, memberitahu yang kami sudah di dalam bas bernombor 3. Bas bernombor 3 itu sudah penuh tempat duduk, secara logiknya, masakan ada penumpang yang perlu berdiri kerana sudah pastilah jumlah penumpang sudah diserasikan dengan bilangan tempat duduk. Hatiku rasa gusar, lalu aku ringankan mulut bertanyakan seorang makcik di dalam bas itu, ternyata mereka mahu ke ladang kurma, iaitu ziarah luar untuk hari kedua. Saat itu semua kami berenam sudah berada dalam perut bas, dan kala itulah anak saudara bapa yang kupanggil Kak Dah memberitahu agenda pagi ini adalah ziarah dalam iaitu menziarah ke Masjid Nabi, tak perlu menaiki bas. Kami cepat-cepat turun dari bas dan kembali ke hotel, Kak Dah sempat mengomel yang kami telah tersalah naik bas. Aku hanya mendiamkan diri, manalah aku tahu ziarah dalam tak perlu menaiki bas, dan ditambah pula bas yang tersalah naik tadi juga bernombor 3. Ini kali pertama aku ke sini. Dalam hati aku hanya berdoa pada Allah, memohon Allah mengampunkan dosa-dosa aku sebelum ini, serta bersyukur kami sempat turun sebelum bas bergerak.
Kurang 10 minit kami kembali ke hotel, mutawwif yang sepatutnya membimbing kami pun sampai. Sebenarnya penumpang-penumpang bas bernombor 3 perlu sentiasa menaiki bas bernombor 3 apabila berziarah luar, melainkan ada arahan daripada mutawwif untuk menaiki bas lain. Pada pagi itu, agenda kami adalah ziarah dalam, iaitu menziarahi Masjid Nabi serta perkuburan Baqi'. Kami hanya perlu berjalan kaki untuk ke sana. Sementelah Emak yang tidak ampuh untuk berjalan kaki kerana jaraknya lumayan jauh, Abang Man meminta mutawwif menyediakan wheelchair untuk Emak, yang akan ditolak olehku. Mutawwif memperkenalkan dirinya dan memberi penerangan tentang agenda pagi itu sebelum memulakan perjalanan. Kami semua berkumpul di hadapan hotel, tekun mendengar penerangannya. Aku teringat sewaktu di lapangan terbang kelmarin, semasa dalam perjalanan ke hotel, mutawwif yang menjemput kami ada memberitahu nama mutawwif ini, dan semasa aku pertama kali mendengar namanya, aku seakan pernah mengenalinya sebelum ini. Otakku berkerja keras mengimbas senarai kenalan-kenalan yang ada dalam cakera memori, dan cuba memadankan dengan nama yang baru aku dengar. Kala itu ingatan dan perasaan aku macam terpisah, ingatanku mengatakan nama begitu tak pernah ada dalam cakera memori, sementara perasaanku memberitahu aku pernah mengenali si empunya nama. Namun segala-galanya terjawab kini bila orangnya sendiri berada di depan mata, memang aku tak pernah kenal pun. Tapi memang pelik perasaan ketika pertama kali aku mendengar namanya, sepertinya pernah kenal, tapi tak tahu siapa. Itu pertama kali aku merasakan begitu, dan aku tak pernah merasakannya lagi untuk kali kedua atau ketiga. Aku biarkan saja permainan perasaan itu tanpa ada jawapan sampai sekarang. Aku yakin semua itu punya rahsia di sebaliknya, yang belum Allah buka hijabnya.
Setelah kira-kira 15 minit berkumpul, kami memulakan perjalanan ke Masjid Nabi. Kali ini kami menggunakan laluan yang sedikit berbeza, bukan seperti laluan yang kami pakai sewaktu ke masjid untuk bersolat Subuh awal pagi tadi. Laluannya lebih jauh, kerana kami perlu ke bahagian solat lelaki. Tujuan lokasi adalah ke makam Nabi, iaitu di bahagian berkubah hijau. Semua orang yang pernah berumrah atau haji pasti tahu lokasi ini, lokasi yang wajib diziarahi, kalau tidak apalah gunanya berziarah ke Madinah walhal di sinilah jasad Nabi yang mulia disemadikan. Aku dan Emak agak ketinggalan, jauh di belakang rombongan mutawwif. Kudrat yang aku ada tak cukup kuat untuk menolak wheelchair yang diduduki Emak laju-laju, tambahan pula banyak bonggol jalan yang perlu dilangkaui. Matahari terik memancar, walaupun jam baru menunjukkan ke angka 7 pagi. Sekarang sedang musim panas, siangnya lebih panjang, hari sudah cerah sungguhpun baru jam 6 pagi seperti jam 9 pagi di Malaysia. Abang Man ada menemani aku dan Emak yang ketinggalan, sesekali dia bantu aku menolak wheelchair Emak, mungkin kasihan melihat aku yang macam tak berupaya. Akhirnya kami sampai juga ke lokasi rombongan mutawwif. Aku dan Emak berada di belakang sekali, memandangkan kami yang terakhir sampai. Aku tidak dapat memberikan tumpuan seratus peratus kepada penerangan mutawwif, kerana keadaan yang semakin terik, dan aku semacam jakun mengamati kawasan sekeliling. Selalu perhatianku terganggu dengan orang ramai yang lalu-lalang, serta jemaah umrah yang lain yang turut sama berziarah ke situ. Mereka juga dibimbing oleh mutawwif, ada rombongan dari Indonesia, ada yang dari Turki, ada yang dari Pakistan, ada juga dari Malaysia sendiri. Kami berkumpul betul-betul di hadapan bangunan berkubah hijau. Aku masih ingat ucapan mutawwif (kala ini aku memberi tumpuan) : kalau kita cinta pada seseorang itu, apa yang akan kita lakukan? Aku menjawab dalam hati : kita sering teringatkannya kut.. Lalu dia sendiri menjawab : kalau kita cintakan seseorang, pastilah kita sering menyebut-nyebut namanya. Dia lalu menyarankan agar selalulah berselawat kepada Nabi, tanda cinta kita kepada Baginda. Setelah itu mutawwif mengepalai kami memberi salam dan berselawat kepada junjungan Nabi sambil mengadap ke bangunan berkubah hijau.
Berlalu sang waktu, berabad sudah aku jauh darimu
Dalam hitam legam zaman di wajahku
Mendambamu, merindumu, hadir kembali dalam setiap langkah hidupku
Muhammad ya Rasulallah
Ya Nabi, Ya Habibi, semoga Allah selalu merahmatimu
Dengan cinta dengan kasih selamat umatmu
Di wajahmu, di langkahmu, di setiap hela nafas yang terpancar cahaya
Teranglah gelapnya jiwa
Allahumma solli wasallim 'ala Muhammad, ya Rasulallah
Allahumma solli wasallim wabarik 'alaihi
Muhammad, keranamu, tersingkaplah jalan cinta hamba kepadaNya
Terang hati dengan cahaya di jalanmu
Mendambamu, merindumu, hadir kembali dalam setiap langkah hidupku
Hadirlah, gelap kan sirna
Ya Nabi Ya Habibi
Ya Muhammad
[Opick]
Sejurus selepas berselawat kepada Baginda Nabi, kami memusingkan kedudukan mengadap ke perkuburan Baqi' yang terletak tidak jauh dari situ. Mutawwif memberi penerangan tentang sejarah perkuburan ini, dan menyebut beberapa nama yang dimakamkan di sini, antaranya Fatimah R.A. puteri Nabi, serta makam khalifah Islam yang ke tiga iaitu Saidina Uthman bin Affan. Panas yang membahang menyebabkan aku tak senang duduk, sekejap aku ke kanan, sekejap ke kiri, sudahnya aku bertinggung di sebelah wheelchair Emak untuk berlindung daripada terik matahari. Memang kala itu aku tak dapat menahan diri daripada kepanasan 45 darjah celcius, menyebabkan kepalaku juga pening-pening lalat. Sudahnya, segala apa yang disampaikan mutawwif bagai angin lalu menyapa telinga, dan aku tak dapat mengingati apa yang dia sampaikan. Apa yang masih diingatan aku, bilamana mutawwif sekali lagi mengepalai bacaan doa kepada para penghuni perkuburan Baqi', dan terus terang aku katakan yang aku tak menghayati pun bacaan doanya.
Jam baru menunjukkan ke angka 9, usai program ziarah dalam, semua jemaah dibenarkan melakukan aktiviti bebas. Kami berlima memilih untuk ke Raudhah, sementelah Raudhah dibuka untuk jemaah wanita ketika ini, dan akan ditutup sejam sebelum masuk waktu Zohor iaitu kira-kira jam 11.30 pagi. Waktu Zohor akan masuk kira-kira jam 12.30 tengah hari. Abang Man tak punya masalah untuk ke Raudhah, dia punya banyak waktu untuk ke sana kerana kawasan Raudhah terletak di bahagian solat lelaki. Apabila ia dibuka untuk jemaah wanita, kawasan Raudhah dibahagi kepada 2 bahagian. Kawasan jemaah wanita bermula dari tiang ke 3 hingga ke belakang, manakala kawasan jemaah lelaki adalah dari hadapan sehingga ke tiang kedua. Kawasan Raudhah dibuka untuk jemaah wanita hanya pada masa-masa tertentu yang telah ditetapkan oleh pengurusan Masjid Nabi, iaitu selepas solat Subuh bermula jam 7 pagi sehingga 1 jam sebelum masuk waktu Zohor, selepas solat Zohor sehingga sebelum masuk waktu Asar dan selepas solat Isya' sehingga jam 12 tengah malam, dimana masjid akan ditutup selepas itu daripada menerima kunjungan jemaah dan dibuka semula awal pagi sebelum masuknya waktu Subuh.
Kami berlima beransur memasuki masjid, wheelchair Emak aku letak di tepi pintu masuk, disitu terdapat beberapa wheelchair lain jadi aku hanya letakkan wheelchair Emak bersama. Kawasan Raudhah jauh ke dalam masjid, hampir 200 meter kami berjalan untuk ke situ. Emak beberapa kali berhenti mengambil nafas, sambil melegakan kaki yang lenguh. Laluan masuk dan keluar sudah dipisahkan oleh tabir-tabir putih, jadi jemaah yang mahu keluar tidak akan melalui lorong yang sama semasa masuk. Kami perlu menunggu giliran untuk memasuki Raudhah, jemaah sangat ramai dan padat di ruangan menunggu. Mengapa Raudhah menjadi lokasi wajib untuk diziarah bila ke Masjid Nabi? Jawapannya kerana kawasan Raudhah sebenarnya tapak asal Masjid Nabi. Makam Nabi adalah tapak asal rumah Nabi dan isteri Baginda, Ummul Mukminin Aisyah R.A. Nabi pernah bersabda : suatu ruang antara rumahku dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga. Justeru ia dinamakan Raudhah yang bermaksud taman. Jika sudah namanya taman syurga, maka pastilah ia suatu tempat yang sangat mulia dan antara tempat mustajab doa. Jadi jika ke Masjid Nabi, berusahalah untuk masuk ke Raudhah dan berdoalah dengan ikhlas dan bersungguh sungguh, insyaAllah doa akan termakbul.
Kawasan Raudhah ini kecil sahaja, ia bermula dari makam Nabi, membawa ke hadapan hingga ke kawasan mimbar dan tempat muazzin, yakni berdasarkan sabda Nabi. Lautan jemaah menanti di hadapan kawasan Raudhah untuk menunggu giliran dibenarkan masuk. Jemaah dibahagikan kepada beberapa kumpulan, mengikut negara asal masing-masing, dan berkumpul di checkpoint tertentu. Kami berkumpul bersama jemaah Malaysia dan Indonesia yang ditempatkan bersama, yang termasuk dalam kategori kumpulan dari Asia Tenggara. Ruang menunggu di checkpoint adalah kira-kira 10 meter lebar, dan jauh melajur ke hadapan sehingga ke kawasan Raudhah, panjangnya bergantung kepada jumlah jemaah yang menunggu. Lajur ini sendiri dibahagi 2, kami yang dalam kumpulan Asia Tenggara berada di sebelah kanan, sementara kumpulan yang lain seperti kumpulan dari Turki, India, Pakistan dan sebagainya di sebelah kiri. Ada pegawai-pegawai polis yang mengawal setiap giliran kumpulan. Setiap kumpulan diberi masa kira-kira 15 minit sahaja untuk berada di Raudhah, setelah itu mereka akan dipaksa keluar untuk memberi peluang kepada kumpulan jemaah lain yang sedang menunggu. Seorang pegawai polis yang memegang papan tanda bertulis nama negara akan mengangkat papan tanda di tangannya dan menyeru nama negara itu menandakan giliran kumpulan itu sudah sampai dan dibenarkan masuk ke kawasan Raudhah. Sambil duduk menunggu giliran, kami melakukan solat-solat sunat dan membaca al-Quran atau berzikir. Jika ada jemaah Malaysia atau Indonesia yang sedang berdiri, pegawai polis yang menjaga akan menyeru : ibu..duduukk.... sambil membuat isyarat tangan menyuruh duduk. Aku tersenyum-senyum bila ada pegawai polis yang berbuat demikian, kedengaran comel mereka bertutur bahasa Indonesia begitu, kerana huruf d dalam sebutan 'duduk' ditebalkan seperti menyebut huruf dhod (ض).
Setelah kira-kira setengah jam menanti, tiba giliran kumpulan kami masuk ke Raudhah. Papan tanda bertulis 'Indonesia' diangkat, wah negara Indonesia lebih popular di sini, mungkin kerana jumlah jemaah yang lebih ramai daripada jemaah Malaysia, malah di papan tanda untuk masuk ke Raudhah turut tertulis dengan bahasa Indonesia. Indonesia mewakili semua jemaah Asia Tenggara, mereka mudah mengkategorikan demikian, mungkin kerana kebanyakan jemaah pun memang dari Malaysia dan Indonesia yang berkongsi rumpun bahasa yang sama, malah warna kulit dan rupa paras juga tidak jauh berbeza. Memang Malaysia dan Indonesia dalam rumpun yang sama, di Malaysia juga ada keturunan Jawa seperti di Indonesia. Aku dan Emak memang saling berpegangan tangan masuk ke Raudhah. Sebelum kumpulan kami adalah kumpulan dari Turki. Mereka terkenal dengan sikap yang agak kasar dan memiliki tubuh yang besar dan tinggi, berbanding dengan kumpulan kami yang bertubuh kecil dan agak lemah lembut. Ini memang kenyataannya, dan itulah sebabnya juga kumpulan-kumpulan ini dipecahkan mengikut negara asal. Bayangkanlah kalau tidak dibuat demikian, aku yakin kumpulan Asia Tenggara tak dapat peluang langsung masuk ke Raudhah, dan kalau dapat pun pastilah ditepis, ditolak sesuka hati oleh jemaah negara lain yang kebanyakannya bertubuh besar dan tinggi. Buktinya, semasa kami mahu masuk ke Raudhah pun hampir-hampir jatuh dan dipijak kerana ditolak oleh jemaah Turki yang mahu keluar. Aku, Emak, Makcik Ma, Kak Dah dan Emak Kak Dah saling berpegang tangan, risau kalau-kalau ada yang tertinggal di belakang. Tolakan dari belakang menyebabkan kami tak perlu susah-susah melangkah, sedar-sedar sahaja kaki sudah berada di atas karpet berwarna hijau. Sebenarnya mudah saja untuk mengecam kawasan Raudhah, ia dibezakan dengan kawasan lain dengan warna karpet yang berbeza, di Raudhah dihamparkan dengan karpet bercorak berwarna hijau, sementara di kawasan lain digunakan karpet bermotif berwarna merah. Bila kaki sudah di karpet hijau, kami bergilir-gilir solat sunat, seorang demi seorang supaya yang lain memagari yang solat. Sangat perlu sebegini untuk melindungi yang sedang solat daripada dipijak dan disepak semasa sedang sujud atau duduk. Aku orang yang terakhir solat diantara kami, setiap daripada kami hanya sempat bersolat 2 rakaat sahaja, tanpa berdoa. Dalam keadaan yang sesak dan saling bertolak-tolak, memang solat dalam keadaan yang tidak selesa, dan bacaan pun terpaksa dilajukan. Pegawai polis pantas menyuruh kami keluar sebaik sahaja memberi salam. Mereka akan berteriak : ibuu...sudaahh...!
Usai solat, kami bertolak-tolak untuk keluar dari kawasan Raudhah. Aku sempat mengamati kawasan Raudhah, dan aku berdiri sangat hampir dengan makam Nabi. Aku jadi terharu dan sangat sebak, kerana rasa sungguh bertuah terpilih untuk berada dekat dengan jasad Nabi. Air mata laju menitis, aku kesat cepa-cepat, sambil dalam hati memberi salam kepada Nabi, dan tak lupa menyampaikan salam daripada teman-teman yang dikirim kepada nabi. Kesempatan yang ada untuk berdoa di Raudhah adalah ketika kami bertolak-tolak keluar dari kawasan Raudhah, sambil berjalan keluar, selagi kaki di karpet hijau, aku tak henti mengulang-ulang doa. Rasa sebak kerana hanya seketika berada di rumah Nabi yang berkat dan mulia. Sedang berasak-asak sempat seorang pegawai polis menggesa kami keluar segera, dia macam tak faham keadaan sedang sesak sehinggakan nak melangkah pun sukar. Aku lantas mengunjuk tangan ke arah pintu keluar, sambil berkata : khuruj..khuruj..! yang bermaksud keluar. Mujur dia memahami dan mengangguk-menganggukkan kepala laju-laju.
Lorong keluar dari Raudhah juga jauh melajur ke hadapan, di kiri kanan lorong ramai jemaah wanita yang agak tua, kebanyakannya yang berbadan besar, duduk-duduk sambil berborak dan minum air, mereka berada dalam kumpulan-kumpulan kecil. Ada juga yang berbaring-baring melepaskan lelah, sambil memejamkan mata. Setelah agak jauh berjalan, kami mengambil keputusan untuk duduk sebentar di tepi lorong, melepaskan penat berasak di Raudhah. Kak Dah dan Makcik Ma mahu ke bilik air. Emak yang kelihatan penat menghambat belas dalam hatiku, lalu aku menawarkan diri untuk mengambilkan air zam-zam untuk membasahkan tekak, buat Emak dan Emak Kak Dah. Tong-tong zam-zam diletakkan nun jauh di bahagian pintu masuk, sedangkan kami berada di bahagian tengah masjid. Ini bukan masjid di Malaysia, kalau masjid yang paling besar di Malaysia pun jenuh melangkah dari tengah ke pintu masuk, inikan pula di dalam masjid yang merupakan antara yang terbesar dan teragung di dunia. Emak dan Emak Kak Dah menunggu di satu bahagian di tepi lorong, sebelah kanan, sementara aku mengorak langkah mencari tong zam-zam terdekat. Lama aku berjalan, kurang lebih 10 minit. Sampai ke penghujung lorong, barulah terjumpakan deretan tong-tong zam-zam, bersinar-sinar mataku bagai ternampak selonggok emas. Aku cepat-cepat menyerbu deretan tong zam-zam, sambil tangan ligat mencabut susunan cawan polistrin yang dirangkap-rangkap, menadah zam-zam dan terus menyua ke mulut. Lega, nikmatnya bila air zam-zam mengalir melalui kerongkong. Rasa sejuknya menerobos terus ke dada, syukur kurniaan-Mu ya Allah, Alhamdulillah. Dalam hati berdoa semoga air zam-zam yang kuminum ini menjadi penawar kepada segala jenis penyakit yang mahu menyerang tubuh, serta menjadi pencuci hatiku yang kotor hitam dengan noda dan dosa. 2 lagi cawan aku cabut dan kuisi dengan air zam-zam, untuk kubawa kepada Emak dan Emak Kak Dah. Nasib aku kurang baik, aku ditahan oleh pegawai polis yang menjaga di lorong-lorong keluar, baru aku perasan, waktu sudah menjangkau ke pukul 12 lebih, sebentar lagi azan akan berkumandang menandakan masuknya waktu Zohor, jadi waktu melawat Raudhah sudah berakhir, dan mereka sedang dalam persiapan untuk membuka semula lorong-lorong tersebut, untuk menyediakan saf-saf solat jemaah. Pegawai polis yang menahanku bercakap dalam bahasa Arab, dan sememangnyalah aku yang lemah berbahasa Arab tak akan faham butir bicaranya, tapi melihat gayanya yang berdiri betul-betul di hadapanku, sambil mengoyang-goyangkan tangannya di hadapan mukaku, aku fahamlah yang aku tidak dibenarkan masuk melalui lorong keluar itu untuk berpatah balik. Mula-mula aku cuba berbahasa Inggeris dengannya, sambil berkata : my mother is waiting for me there. Pegawai polis itu ku kira tak faham, lalu aku cuba pula berbahasa Arab, sambil berkata : ummi, hunak, bermaksud ibu saya di sana. Mungkin dia faham, sebab dia balas dengan perkataan Arab yang aku langsung tak dapat tangkap apa butirnya, sudahnya aku surrender, dan berpatah balik ke belakang dan duduk di tepi salah satu tiang yang ada di kawasan tong-tong zam-zam. Sebenarnya, 2 cawan berisi air zam-zam yang ingin ku bawa kepada Emak dan Emak Kak Dah aku sorokkan di bawah telekung, jadi pergerakanku agak terbatas, bimbang air zam-zam yang kubawa tertumpah. Sudahnya aku duduk di tepi tiang dan minum air zam-zam yang ku pegang.
Aku jadi penasaran duduk dan tunggu saja Emak dan Emak Kak Dah, dalam hati Allah saja yang tahu betapa aku sangat bimbang akan kedua-duanya, maklumlah, orang tua, kalau jadi apa-apa yang tidak diingini pada siapa mereka mahu minta tolong? Masing-masing pun tak punya telefon bimbit untuk menghubungi aku atau Abang Man. Aku cuba-cuba menyusup tatkala pegawai polis tidak mengawasi kawasan yang sedang aku duduki, dan cuba berjalan ke hadapan sedikit. Tapi malang, di hadapan sana ada ramai pegawai polis yang sedang memerhatikan jemaah. Aku tak jadi meneruskan langkah, lalu terus duduk dalam ruang di tepi lorong. Aku terus menanti dan menanti, sambil dalam hati berdoa semoga Allah mempertemukan semula aku dan Emak. Bimbang tak usah cakap, aku berdoa tak putus-putus. Dalam hati terdetik untuk sama bersolat sunat sambil berdoa kepada Allah, kerana aku teringat bahawasanya jika mahu meminta dengan Allah, pintalah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu'.
Ada sesuatu yang menarik perhatianku semasa aku duduk menunggu. Sambil menunggu sebenarnya aku telek setiap jemaah yang sedang lalu-lalang, mana tahu kalau-kalau ada kelibat Emak dan Emak Kak Dah, dan mata ini tertancap pada seorang wanita yang sedang diusung dengan wheelchair. Wanita ini kukira wanita Arab Saudi, berdasarkan pemakaiannya yang serba hitam dan berjilbab dan berpurdah, yang hanya menampakkan kedua biji mata. Wheelchairnya ditolak oleh wanita Arab yang lain, di atas wheelchairnya dia khusyu' membaca al-Quran yang dipangkunya. Sejenak dia memberhentikan wheelchairnya, lalu dia turun sujud, kukira dia sujud tilawah, sementelah dia sedang membaca al-Quran. Habis bersujud dia lantas duduk semula ke wheelchair, dan ditolak semula oleh wanita yang sebelum itu menolak wheelchairnya, menyambung pembacaannya dan meneruskan perjalanan ke penghujung lorong. Aku cukup terkesan dengan situasi tersebut, kerana sedang dia dalam ketidak mampuan untuk berjalan pun bila ada ayat yang mensunatkan bersujud, maka dia sujud, mengapalah aku yang sihat dan sempurna ini amat culas berbuat demikian. Aku jadi insaf, memanglah sujud tilawah hanya sunat, tapi ia merupakan syiar hamba yang taat pada Allah, kerana apabila disuruh sujud, maka si hamba pun sujud. Aku dapat mengetahui bahawa apabila seseorang hamba itu sujud tilawah, maka syaitan akan berasa sedih kerana hamba ini bila disuruh sujud, dia mahu sujud, sedangkan syaitan yang telah dilaknat tidak sujud apabila disuruh sujud kepada Adam. Ini berdasarkan Hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim : Daripada Abu Hurairah, Nabi bersabda; Apabila anak Adam membaca ayat Sejadah, lalu ia sujud, maka syaitan jatuh sambil menangis, katanya, celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga, aku disuruh sujud, tetapi aku menolak, maka untukku neraka.
Tidak lama selepas itu aku nampak kelibat Emak dan Emak Kak Dah, jalan beriringan, perlahan-lahan. Aku meluru ke arah mereka, syukur ya Allah, Engkau sudi mendengar rintihan hatiku. Rupa-rupanya, jemaah yang duduk-duduk dan berehat-rehat dan berbaling-baring di sepanjang lorong habis dihalau oleh pegawai polis kerana seluruh bahagian itu akan dibuka semula. Tabir putih yang diatur membentuk lorong telah dialihkan. Sebaik bertemu Emak dan Emak Kak Dah, aku terus mengambilkan mereka air zam-zam untuk menghilangkan dahaga. Kak Dah dan Makcik Ma rupa-rupanya sedang duduk membaca al-Quran di tepi tiang tempat aku duduk sebentar tadi sebelum beralih ke ruang di tepi lorong, agak kehadapan sedikit daripada tempat mereka berkumpul. Sekali lagi aku mengucap syukur, Allah betul-betul sudi melayan permintaanku. Aku menyertai Emak dan Emak Kak Dah yang sudahpun melabuhkan punggung di sebelah Kak Dah dan Makcik Ma, lalu menghulurkan 2 cawan zam-zam kepada Emak dan Emak Kak Dah masing-masing. Emak bercerita kepadaku yang dia juga bimbang kami tidak bertemu semula, kerana tidak lama selepas aku meninggalkan mereka berdua untuk mengambilkan air zam-zam, mereka juga telah dihalau oleh pegawai polis supaya beredar dari situ. Mereka berdua mengambil masa yang lama untuk berjalan hingga ke hujung lorong, dan beberapa kali duduk beristerirehat untuk melegakan lenguh di kaki. Kata Emak, sewaktu sedang duduk-duduk meregangkan otot, ada yang menghulurkan wang kepada mereka, ada juga yang menghadiahkan mereka minyak wangi. Rasa lucu pun ada, rasa terharu pun ada, aku tertawa mendengar cerita Emak. Di dalam tempat dan negeri berkah ini semua orang berlumba-lumba melakukan kebajikan, tak peduli sama ada kenal atau tidak, dan bersedekah adalah pekerjaan yang paling mudah, beri saja pada sesiapa. Masing-masing mahu merebut ganjaran berlipat ganda yang Allah janjikan.
Sambil menantikan azan berkumandang, kami membaca al-Quran. Emak kulihat sudah tak mampu menahan kantuknya, dia lalu cuba pejamkan mata. Lama-lama aku juga turut jadi mengantuk. Sempat aku terlelap seketika sambil bersila sementara menanti azan. Bila azan berkumandang dan imam mula mengepalai solat, masjid jadi senyap sunyi, kecuali dengan tangisan dan lolokan anak-anak kecil. Suasananya sama seperti aku bersolat Subuh awal pagi tadi. Usai solat, jemaah berpusu-pusu keluar masjid, dan kami mengambil keputusan untuk tunggu sebentar hingga keadaan sedikit lengang. Apabila keadaan mengizinkan, kami cepat-cepat berpusu ke pintu masjid. Aku teringatkan wheelchair Emak yang aku letak di tepi pintu masjid. Masalah timbul bila aku tak ingat mana satu wheelchair yang Emak naiki pagi tadi, tapi aku amat pasti wheelchair yang masih ada di tempat aku tinggalkannya bukanlah wheelchair yang aku tolak. Ternyata wheelchair Emak sudah tertukar dengan wheelchair orang lain, dan yang paling mengharukan lagi, tayar wheelchair tersebut sudah pancit, seterusnya menyukarkan aku untuk menolaknya. Aku perlu peruntukkan sekuat tenaga untuk menolaknya. Perut yang berkeroncong minta diisi mengurangkan lagi keupayaan aku.
Sekali lagi kami diuji oleh Allah, bilamana kami tidak menjumpai hotel al-Fayroz. Jenuh kami berpusing-pusing sekitar kawasan bangunan hotel, namun masih belum berjumpa. Panas yang semakin terik membuatkan pencarian lebih teruji. Sabar, sabar, sabar, pujuk hatiku. Dalam hati tak henti istighfar aku lantunkan, sambil berdoa supaya Allah menyampaikan kami ke hotel. Tambah pula keadaan roda wheelchair yang tak berfungsi dengan baik, memang buat kesabaran aku betul-betul teruji. Hampir setengah jam kami berlegar-legar mencari bangunan hotel al-Fayroz, dan tambah keliru bilamana rupa-rupanya terdapat 2 hingga 3 hotel yang bernama al-Fayroz, dan kami telah berjalan sampai ke penghujung kawasan hotel, sehinggakan di depan kami hanyalah kelihatan bukit-bukit batu yang menandakan sudah tiada penempatan hotel selepas itu. Kami langsung berpatah balik, dan Kak Dah bersama emaknya cuba mencari ke arah kanan, sementara aku menolak wheelchair Emak ke arah kiri. Makcik Ma kelihatan amat penat, sampai kemerah-merahan kulit mukanya menahan panas yang membahang. Dia nampaknya hanya membuntuti aku dan Emak, sedang di wajahnya jelas dia sedang bingung. Aku menolak Emak ke kaki lima sebuah bangunan, dan melihat-lihat nama hotelnya, namun tetap tak berjumpa hotel al-Fayroz. Aku berdiri di situ, sambil meneduhkan diri daripada terus dibahang panas matahari. Lalu kulihat Kak Dah sedang menghampiri, sambil menunjuk ke arah kanan, aku faham dia mungkin sudah jumpa hotel al-Fayroz. Aku terus berpaling dan menolak wheelchair Emak ke arah Kak Dah dan membuntutinya. Makcik Ma turut serta. Alhamdulillah, sampai juga kami di hotel al-Fayroz setelah lebih setengah jam berlegar dalam panas mentari. Aku redha atas apa yang berlaku, anggap ia ujian dari Allah, semoga dapat menghapuskan dosa-dosa kami.
Aku sedikit gusar bilamana mahu memulangkan wheelchair kepada pihak hotel, kerana ternyata wheelchair itu bukanlah wheelchair yang kupinjam pagi tadi. Kata Kak Dah, beritahu saja kepada receptionist di lobi hotel, dan itulah yang aku lakukan. Aku sebenarnya hanya menggunakan bahasa isyarat, dan receptionist tersebut bagai memahami sambil menyuruh aku meletakkan di sudut sebelah kiri di pintu hotel. Kami tidak sabar untuk ke kafe, kerana perut sedang berkeroncong dan tekak amatlah haus. Di kafe, tidak ramai jemaah yang sedang makan, kerana masa makan tengah hari pun sudah agak lewat sebenarnya. Jemaah yang ada di situ hanya duduk-duduk dan bertukar cerita, atau mungkin saling berkenalan. Aku mencedokkan sepinggan nasi buat Emak, dan setelah itu mencedokkan untukku sendiri. Aku duduk makan di hadapan Kak Dah, kerana tempat duduk sekitar Emak sudah penuh. Kak Dah berkata kepada aku : kenapa tak mahu ikut dia semasa dia ke arah kanan semasa mencari hotel tadi? tak percayakannya kah? Aku terkedu mendengar soalannya, aku tak sangka dia boleh berfikiran sebegitu, walhal sebenarnya aku cuba membantu mencari di kawasan lain. Aku hanya menjawab : tidaklah, hanya cuba tolong cari di sebelah sana. Aku hanya mendiamkan diri dan hanya menyuapkan nasi ke mulut, rasa lapar terus berkurangan bilamana dia bercerita pula kepada Abang Man disebelahnya yang kami telah tersesat, dan aku tak percayakannya. Aku tak mahu memanjangkan perselisihan, lalu hanya tersenyum memandang Abang Man.
Habis makan aku menyertai Emak yang duduk di meja belakang, di hujung meja sebelah sana ada beberapa jemaah sedang rancak bersembang dengan mutawwif. Rupa-rupanya mutawwif ini agak kelakar orangnya, dan pandai mengambil hati. Dia dari Medan, Indonesia, masih kuliah di Mekah. Kak Dah turut menyertai mereka berborak, sedang aku hanya mendengar dari jauh. Sempat Kak Dah bertanya kepada mutawwif : Kenapa tak mahu makan? Jawab mutawwif : saya malu makan di hadapan makcik-makcik semua, sebab saya makan banyak. Kak Dah lalu membalas : Apa yang nak dimalukan, kami pun makan banyak. Lalu berderai tawa antara mereka.
Selesai makan, kami naik ke bilik, membersihkan diri, dan berehat-rehat sambil menantikan Asar. Masa di sini aku rasakan terlalu cepat berlalu. Kurang lebih sejam saja lagi lagi akan masuk waktu Asar, iaitu lebih kurang jam 3.45 petang. Kami hanya sempat berbaring-baring, kerana tepat jam 3.30 petang kami bersama-sama turun ke lobi dan beransur bergerak ke masjid. Usai solat Asar, kami singgah di gerai-gerai sekitar jalan pulang ke hotel, melihat-lihat jubah, tasbih, sejadah, beg, dan pelbagai lagi aksesori lelaki mahupun wanita yang dijual. Aku masih dapat mengawal hati daripada berbelanja di situ, sebab itu aku boleh menasihati Emak, jangan terlalu mengikut rasa untuk membeli itu ini, hari ini baru hari pertama disini, masih berbaki kurang lebih 12 hari lagi di sini dan di Mekah. Bimbang nanti kalau-kalau ada kecemasan yang memerlukan penggunaan wang, tidak perlulah menyusahkan orang lain.
Aku sebenarnya sedang mencari idea bagaimana mahu membawa telefon bimbit ke masjid tanpa dikesan oleh pegawai polis yang menjaga pintu masjid, sebagai langkah berjaga-jaga seandainya peristiwa tersesat berulang kembali, sekurang-kurangnya aku boleh menghubungi Abang Man. Tapi turun solat Asar Abang Man diminta oleh Kak Dah untuk menemani kami, dan menanti kami di gerbang bernombor 10 usai solat Asar. Alhamdulillah, kami tidak lagi tersesat bilamana Abang Man mengepalai kami berjalan pulang ke hotel, walaupun kami sempat singgah ke gerai-gerai jualan di hadapan masjid. Segalanya berada dalam limpah dan rahmat Allah.
Pulang dari masjid, kami bersiap-siap pula untuk menantikan Maghrib. Waktu Maghrib masuk kira-kira jam 7 malam, dan seperti biasa, 15 minit sebelum azan berkumandang kami sudah bergerak turun untuk ke masjid. Memang masa sepenuhnya terisi dengan ibadah, sangat terasa nikmatnya. Waktu diantara Maghrib dan Isya' kami penuhi dengan tadarus al-Quran, solat-solat sunat dan berzikir. Sungguh nikmat ibadah itu jelas terasa di sanubari, meresap langsung ke lubuk hati. Solat didirikan dengan penuh tertib, sehingga menjemput tenang dan khusyu' apabila imam membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Walaupun tidak dapat memahaminya seratus peratus, namun jiwa ini bagai disiram hujan - sejuk, sayu, pilu - namun masih terasa kehangatan cinta Rabbul Izzati dalam bait-bait kalimah yang terlafaz. Bahkan bila mengenangkan yang di masjid tempat aku bersolat ini tersemadinya jasad Nabi yang mulia, bertambah-tambah sayunya mengenang pengorbanan Baginda mengangkat dan mengembangkan agama Allah sehingga sampai kepada aku, dan sangatlah beruntungnya aku kerana dapat merasai kemanisan dan keasyikan dalam memburu cinta Yang Maha Kuasa, sehingga terlupa setiap peristiwa yang berlaku siang tadi, yang Allah uji kepada kami untuk mengesahkan keperihatinan-Nya kepada kami.
Segala puji-pujian pada-Mu ya Allah, dan sesungguhnya Engkau Maha Suci daripada segala ketidaksempurnaan.
Aku sedikit gusar bilamana mahu memulangkan wheelchair kepada pihak hotel, kerana ternyata wheelchair itu bukanlah wheelchair yang kupinjam pagi tadi. Kata Kak Dah, beritahu saja kepada receptionist di lobi hotel, dan itulah yang aku lakukan. Aku sebenarnya hanya menggunakan bahasa isyarat, dan receptionist tersebut bagai memahami sambil menyuruh aku meletakkan di sudut sebelah kiri di pintu hotel. Kami tidak sabar untuk ke kafe, kerana perut sedang berkeroncong dan tekak amatlah haus. Di kafe, tidak ramai jemaah yang sedang makan, kerana masa makan tengah hari pun sudah agak lewat sebenarnya. Jemaah yang ada di situ hanya duduk-duduk dan bertukar cerita, atau mungkin saling berkenalan. Aku mencedokkan sepinggan nasi buat Emak, dan setelah itu mencedokkan untukku sendiri. Aku duduk makan di hadapan Kak Dah, kerana tempat duduk sekitar Emak sudah penuh. Kak Dah berkata kepada aku : kenapa tak mahu ikut dia semasa dia ke arah kanan semasa mencari hotel tadi? tak percayakannya kah? Aku terkedu mendengar soalannya, aku tak sangka dia boleh berfikiran sebegitu, walhal sebenarnya aku cuba membantu mencari di kawasan lain. Aku hanya menjawab : tidaklah, hanya cuba tolong cari di sebelah sana. Aku hanya mendiamkan diri dan hanya menyuapkan nasi ke mulut, rasa lapar terus berkurangan bilamana dia bercerita pula kepada Abang Man disebelahnya yang kami telah tersesat, dan aku tak percayakannya. Aku tak mahu memanjangkan perselisihan, lalu hanya tersenyum memandang Abang Man.
Habis makan aku menyertai Emak yang duduk di meja belakang, di hujung meja sebelah sana ada beberapa jemaah sedang rancak bersembang dengan mutawwif. Rupa-rupanya mutawwif ini agak kelakar orangnya, dan pandai mengambil hati. Dia dari Medan, Indonesia, masih kuliah di Mekah. Kak Dah turut menyertai mereka berborak, sedang aku hanya mendengar dari jauh. Sempat Kak Dah bertanya kepada mutawwif : Kenapa tak mahu makan? Jawab mutawwif : saya malu makan di hadapan makcik-makcik semua, sebab saya makan banyak. Kak Dah lalu membalas : Apa yang nak dimalukan, kami pun makan banyak. Lalu berderai tawa antara mereka.
Selesai makan, kami naik ke bilik, membersihkan diri, dan berehat-rehat sambil menantikan Asar. Masa di sini aku rasakan terlalu cepat berlalu. Kurang lebih sejam saja lagi lagi akan masuk waktu Asar, iaitu lebih kurang jam 3.45 petang. Kami hanya sempat berbaring-baring, kerana tepat jam 3.30 petang kami bersama-sama turun ke lobi dan beransur bergerak ke masjid. Usai solat Asar, kami singgah di gerai-gerai sekitar jalan pulang ke hotel, melihat-lihat jubah, tasbih, sejadah, beg, dan pelbagai lagi aksesori lelaki mahupun wanita yang dijual. Aku masih dapat mengawal hati daripada berbelanja di situ, sebab itu aku boleh menasihati Emak, jangan terlalu mengikut rasa untuk membeli itu ini, hari ini baru hari pertama disini, masih berbaki kurang lebih 12 hari lagi di sini dan di Mekah. Bimbang nanti kalau-kalau ada kecemasan yang memerlukan penggunaan wang, tidak perlulah menyusahkan orang lain.
Aku sebenarnya sedang mencari idea bagaimana mahu membawa telefon bimbit ke masjid tanpa dikesan oleh pegawai polis yang menjaga pintu masjid, sebagai langkah berjaga-jaga seandainya peristiwa tersesat berulang kembali, sekurang-kurangnya aku boleh menghubungi Abang Man. Tapi turun solat Asar Abang Man diminta oleh Kak Dah untuk menemani kami, dan menanti kami di gerbang bernombor 10 usai solat Asar. Alhamdulillah, kami tidak lagi tersesat bilamana Abang Man mengepalai kami berjalan pulang ke hotel, walaupun kami sempat singgah ke gerai-gerai jualan di hadapan masjid. Segalanya berada dalam limpah dan rahmat Allah.
Pulang dari masjid, kami bersiap-siap pula untuk menantikan Maghrib. Waktu Maghrib masuk kira-kira jam 7 malam, dan seperti biasa, 15 minit sebelum azan berkumandang kami sudah bergerak turun untuk ke masjid. Memang masa sepenuhnya terisi dengan ibadah, sangat terasa nikmatnya. Waktu diantara Maghrib dan Isya' kami penuhi dengan tadarus al-Quran, solat-solat sunat dan berzikir. Sungguh nikmat ibadah itu jelas terasa di sanubari, meresap langsung ke lubuk hati. Solat didirikan dengan penuh tertib, sehingga menjemput tenang dan khusyu' apabila imam membacakan ayat-ayat suci al-Quran. Walaupun tidak dapat memahaminya seratus peratus, namun jiwa ini bagai disiram hujan - sejuk, sayu, pilu - namun masih terasa kehangatan cinta Rabbul Izzati dalam bait-bait kalimah yang terlafaz. Bahkan bila mengenangkan yang di masjid tempat aku bersolat ini tersemadinya jasad Nabi yang mulia, bertambah-tambah sayunya mengenang pengorbanan Baginda mengangkat dan mengembangkan agama Allah sehingga sampai kepada aku, dan sangatlah beruntungnya aku kerana dapat merasai kemanisan dan keasyikan dalam memburu cinta Yang Maha Kuasa, sehingga terlupa setiap peristiwa yang berlaku siang tadi, yang Allah uji kepada kami untuk mengesahkan keperihatinan-Nya kepada kami.
Segala puji-pujian pada-Mu ya Allah, dan sesungguhnya Engkau Maha Suci daripada segala ketidaksempurnaan.
Makam Nabi, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar [sumber]
Masjid Nabi [sumber]
Pelan Masjid Nabi [sumber]
Pelan Masjid Nabi [sumber]
Penerangan :
1. Makam Rasulullah
2. Makam Syaidina Abu Bakar as Shiddiq
3. Makam Syaidina Umar ibn Khaththab
4. Tempat yang menurut suatu riwayat disediakan untuk pemakaman Imam Mahdi r.a / Nabi Isa a.s , ada 2 kemungkinan yaitu berada setentang dengan makam Rasulullah atau berada di belakang makam Syaidina Umar ibn. Khaththab
5. Tempat peristirahatan Siti Aisyah ra.
6. Tempat kedatangan malaikat Jibril ketika menyampaikan wahyu kepada Rasulullah.
7. Dinding bilik Siti Aisyah r.a , yang dibina sendiri oleh Rasulullah, hingga saat in tembok tersebut masih berdiri dengan kukuh
8. Dinding makam berbentuk segi lima, yang dibina oleh Khalifah Umar ibn Abd Aziz, agar makam Rasulullah tidak menyerupai ka’bah dan terlalu "sucikan" oleh umat Islam.
9. Dinding segi lima lapis kedua yang dibina oleh sultan Qait bay dari Mesir
10. Tiang-tiang yang memperkukuhkan dinding segi lima lapis kedua
11. Bahagian dari raudhah yang terdapat dibahagian dalam tembok ruangan makam.
12. Bahagian dari raudhah yang terdapat di luar ruangan makam, (nombor 12 tidak terdapat pada plan, kawasan ini adalah tempat yang biasanya dijadikan rebutan oleh ummat Islam)
13. Kawasan dengan nombor 13 adalah bukan bahagian dari raudhah.
14. Kediaman Siti Fathimah ra.
15. Mihrab di dalam kediaman Fatimah, yang dibina oleh sultan Qait bay
16. Mihrab tempat tempat Rasulullah seringkali bertahajud seorang diri
17. Tempat Rasulullah solat tahajud berjamaah bersama ahli suffah, tempat ini berada di belakang kediaman Siti Fathimah. Suffah berarti tempat berteduh. Sahabat Nabi yang miskin dan tidak memiliki rumah, bertempat tinggal di Suffah. Di sini mereka mendapat pendidikan tentang Islam dan mengamalkannya. Jika kita berjalan dari tiang Aisyah berlawanan dengan arah qiblat, Suffah berada setelah tiang ke-5. Namun setelah Nabi memperluas Masjid pada tahun ke-7 Hijriah, Suffah dipindah sekitar sepuluh meter ke arah Timur, seperti yang tergambar pada denah Masjid Nabawi.
18. Lubang besar terletak di bahagian depan, lubang ini lurus searah dengan makam Rasulullah.
19. Lubang kecil terletak dibahagian depan searah dengan makam syaidina Abu Bakar ra
20. Lubang kecil di bahagian depan se arah dengan makam syaidina Umar Ibn Khaththab ra
21. Tempat beberapa baki -baki batu kediaman Rasulullah, yang kemudian dibuang pada masa Khalifah Al Walid ibn Abd. Malik
22. Usthuwanah as Sarir, tempat Rasulullah beriktikaf. Sarir bererti tempat tidur, Rasulullah juga menggunakan tempat ini sebagai tempat tidur semasa Baginda beriktikaf. Platform kayu ditetakkan di sini sebagai tempat tidur Rasulullah.
23. Usthuwanah al Wufud, tempat Rasulullah seringkali menerima tamu-tamu penting. Wufud bermaksud delegasi, bilamana delegasi datang bertemu Rasulullah, Baginda menggunakan tempat ini untuk berbincang dan mengajarkan mereka tentang Islam.
24. Usthuwanah al Hars/Mahras, tempat para shahabat berkawal menjaga Rasulullah, seringkali syaidina Ali ibn Abi Thalib berkawal di situ, oleh itu ia juga dinamakan Usthuwanah Ali. Hars bermaksud mengawasi, dan Rasulullah akan melalui kawasan ini apabila memasuki masjid dari pintu bilik Aisyah.
25. Bab (pintu) Al Taubah, pintu masuk makam dibahagian depan
26. Bab (pintu ) Aisyah, pintu masuk makam dibahagian tepi dari arah raudah
27. Lubang kisi-kisi yang lurus searah dengan kepala Rasulullah yang mulia.
28. Lubang kisi-kisi yang lurus searah dengan kaki Rasulullah yang mulia
29. Beberapa pintu masuk menuju makam Rasulullah.
30. Lingkaran kubah kecil yang berada tepat di atas makam Rasulullah.
31. Lingkaran kubah lapis kedua, yang disebut kubah al zarqa’
32. Lingkaran kubah lapis ketiga, atau kubah al khadra’ (kubah hijau) yang terlihat dari bagian luar makam.
33. Bahagian dari kawasan makam (tertulis dengan nombor 32)
34. Kawasan setinggi kurang lebih 30 cm, tempat para ahl suffah berjamaah solat tahajud bersama Rasulullah.
35. Kawasan setinggi kurang lebih 60 cm, tempat ahl suffah biasa berkumpul
36. Usthuwanah at-Taubah juga dikenali Usthuwanah Abu Lubabah. Abu Lubabah merupakan sahabat Rasulullah yang terkenal. Sebelum Islam, beliau banyak berurusan dengan orang-orang Yahudi Bani Quraizah. Semasa perang Khandak, orang-orang Yahudi Bani Quraizah berpura-pura menyebelahi umat Islam, lalu mereka telah ditangkap sebagai tawanan perang. Secara tidak sengaja, Abu Lubabah telah memberitahu kepada mereka bahawa mereka yang ditawan akan dibunuh dengan membuat gaya memotong leher dengan tangannya. Beliau menyesal atas tindakannya yang terlepas kata itu. Beliau kemudian masuk ke Masjid Nabi dan mengikat dirinya pada batang pokok kurma yang dijadikan sebagai tiang pada masa itu seraya berkata : selama mana Allah tidak menerima taubatku, aku tidak akan melepaskan ikatan ini, dan Nabi sendiri yang akan melepaskan ikatan. Apabila Rasulullah mendengar kata-kata beliau, Baginda bersabda : jika sekiranya dia (Abu Lubabah) datang kepadaku terlebih dahulu nescaya aku akan memohon kepada Allah untuk mengampunkannya. Atas tindakannya, aku tidak boleh melepaskan ikatannya sehinggalah taubatnya diterima Allah. Abu Lubabah terikat di situ selama beberapa hari, kecuali untuk bersolat dan melepaskan hajat. Isteri dan anak perempuannyalah yang melepas dan mengikat semula beliau selama itu. Beliau menolak apabila disuruh makan dan minum, akibatnya, penglihatan dan pendengarannya terjejas. Setelah beberapa hari selepas itu, semasa Rasulullah sedang bersolat tahajjud di rumah Ummu Salamah, Baginda menerima wahyu bahawa taubah Abu Lubabah telah pun diterima. Para sahabat memberitahu Abu Lubabah akan taubatnya telah diterima Allah, dan cuba untuk melepaskan ikatannya tetapi beliau menolak, dengan berkata : selagi Nabi tidak melepaskan ikatan ini dengan tangan Baginda yang berkat, aku tak akan benarkan sesiapa pun melakukannya. Selepas Rasulullah bersolat Subuh, Baginda pun melepaskan ikatan Abu Lubabah.
37. Usthuwanah A’isyah juga dipanggil Usthuwanah Qur'ah, yang bermaksud undian kerana Aisyah pernah berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda : di dalam Masjid ini ada satu tempat yang seandainya diketahui, maka mereka tidak akan bersolat di situ kecuali dengan berganti-gantian (mencabut undi). Rasulullah dikatakan berdoa di sini dan kemudian Baginda beralih ke Usthuwanah Hannanah. Orang ramai bertanyakan Aisyah untuk menunjukkan tempat itu, namun beliau tidak mahu. Setelah desakan daripada Abdullah bin Zubair, Aisyah pun menunjukkan tempat ini. Oleh itu ia dinamakan Usthuwanah Aisyah, kerana hadis berkenaan diriwayatkan oleh Aisyah, dan tempat itu ditunjukkan oleh beliau, buktinya, Abu Bakar dan Umar juga kerap bersolat di sini.
38. Mihrab tempat solat Rasulullah.
39. Usthuwanah al Hannanah juga disebut Usthuwanah Mukhallaqah. Tiang ini adalah yang paling diberkati kerana disinilah tempat Rasulullah bersolat. Di tempat ini dahulu ada sebatang pokok tamar yang ditanam, sebagai tempat Rasulullah bersandar ketika berkhutbah. Tidak lama selepas itu, sebuah mimbar dibina dan diletakkan tidak jauh dari tempat ini, dan sejak itu Rasulullah menggunakan mimbar ini apabila berkhutbah. Namun apabila Rasulullah mula menggunakan mimbar ini, kedengaran suara menangis keluar daripada pokok tamar itu sehinggakan bergema ke seluruh masjid. Rasulullah kemudian bersabda : pokok ini menangis kerana zikir dan bacaan al-Quran berada dekat dengannya, jika aku tidak mengusapnya dengan tanganku nescaya ia akan menangis sehingga hari Kiamat. Tidak lama selepas itu pokok tamar itu kering dan mati.
40. Mimbar Rasulullah.
No comments:
Post a Comment