Perjalanan yang memakan masa lebih 8 jam aku isi dengan pembacaan yang berkisar tentang tanah haram dan ibadat-ibadat di sana. Bersebelahanku duduk seorang muallaf, perempuan, yang baru beberapa tahun memeluk islam. Maziah namanya. Di sebelah Maziah duduklah suaminya, yang juga baru beberapa tahun memeluk Islam, tetapi lebih awal daripada Maziah sendiri. Emak duduk di sebelah kiri, tempat duduk paling luar dalam barisan tempat duduk kami. Kami berempat duduk pada lajur tengah dalam pesawat Arab Saudi Airlines, yang punya 4 tempat duduk setiap baris, sementara di kiri dan kanan lajur tengah terdapat lajur-lajur tempat duduk yang punya 2 tempat duduk setiap baris. Pesawat ini cukup besar, dan mempunyai ruang solat di bahagian ekor pesawat. Ruangan itu hanya ditutupi tabir kain, untuk membezakannya dengan ruang luar. Aku dan Emak tidak banyak bicara sepanjang perjalanan, sementelah emak lebih kerap memejamkan mata, sambil mulutnya kumat kamit mengalun zikrullah. Maziah di sebelah kulihat sedang membaca dan mengulangkaji cara bersolat (sempat jelinganku singgah pada helaian pembacaannya). Dia ramah menguntum senyum setiap kali mata kami bertemu, dan aku akan membalas senyumannya. Tidak banyak yang kami bualkan, sekadar bertanya berasal dari mana, tinggal di mana - soalan tentang peribadi yang basic. Maziah berketurunan Hindu, sementara suaminya berdarah campuran Cina-India.
Pesawat mendarat di lapangan terbang antarabangsa Prince Mohammed bin Abdul Aziz, Madinah kira-kira jam 10 malam waktu Arab Saudi. Rupa-rupanya pada March 2001, di lapangan terbang ini pernah berlaku peristiwa berdarah yang mengorbankan 3 orang, setelah pesawat Russia yang terbang dari Istanbul untuk ke Moscow dipercayai ditawan oleh pejuang pemisah Chechen, lalu mendarat di lapangan terbang ini dan mendesak kapal terbang itu dibekalkan dengan bahan api yang lebih untuk membolehkan mereka terbang ke Afganistan [sumber]. Setelah urusan memungut bagasi selesai, aku bersama rombongan anak saudara bapa mencari bas bernombor 3 yang telah disediakan oleh agensi umrah. Troli yang sarat berisi bagasi diusung ke pintu bas oleh seorang petugas lapangan terbang, lalu bagasi diatur ke bahagian bawah perut bas. Kami agak kaget tatkala petugas itu meminta wang upahan sebanyak SAR100, sebagai bayaran bantuannya mengusung dan memunggah bagasi. Walaupun kedengaran sangat tidak setimpal, kami ikut sahaja kehendaknya, di tanah suci ini sikap berserah diri dan redha perlu sentiasa ada dalam diri, anggap saja segala yang berlaku ada hikmah disebaliknya. SAR100 kami bahagi-bahagikan antara 6 ahli rombongan, justeru setiap seorang hanya perlu menyumbang sebanyak SAR17 sahaja. Dalam hati aku terus memohon kepada-Nya agar dipermudah segala urusan.
Aku membontoti Emak memanjat tangga bas, lalu duduk di kerusi paling hadapan, betul-betul di belakang pemandu. Tidak seperti di Malaysia, di Arab Saudi, pemandu memandu di bahagian kiri dan tangga untuk naik ke perut bas terletak di sebelah kanan. Sepanjang di sini kerap kali aku tersalah pusing ke sebelah kiri untuk naik ke perut bas kerana sudah biasa dengan orientasi bas di Malaysia. Aku sebenarnya tidak berapa selesa duduk di bangku paling hadapan bila di dalam bas, namun bila Emak lebih suka duduk di situ, aku hanya ikut melabuhkan punggung di sebelah Emak, bagiku itu cuma perkara kecil. Ada hikmahnya aku duduk di hadapan. Aku berpeluang menikmati pemandangan Madinah di kala malam, melalui cermin hadapan bas. Bagai tak percaya aku kini berada di bandar cahaya yang menjadi destinasi hijrah Nabi. Selama ini aku hanya mendengar dan membaca dan melihat di media-media, atau cuma terlopong dengan perkhabaran dan penceritaan dan penghikayatan daripada pengalaman mereka yang pernah berziarah ke sini. Sebelum ini segalanya terlukis di bayangan sahaja, dan tak pernah terfikir langsung untuk menjejakkan kaki ke sini, melihat dan merasai sendiri bagaimana suasananya, dalam usia begini. Syukur, syukur dan syukur yang infiniti. Getar dalam dada memang ada sejak kaki pertama kali mencecah ke tanah Madinah lagi, berbagai perasaan lain turut terkumpul dalam diri - takut, teruja, gembira, gusar, sayu, sebak, riang, risau - semua pun menyatu. Doa di dalam hati aku panjangkan, permudahkan segala urusan ya Allah, permudahkan segala urusan ya Allah, aku serahkan segala urusanku kepada-Mu.
Bas nombor 3 bergerak meninggalkan lapangan terbang setelah semua penumpang ada di dalam perut bas, ternyata Maziah dan suami juga naik bersama. Kira-kira setengah jam kemudian kami sampai ke perkarangan hotel Al-Fayroz, yang terletak kira-kira 300 meter dari Masjid Nabi. Dalam jarak beberapa kilometer untuk sampai ke hotel sudah kelihatan tiang-tiang Masjid Nabi yang bergemerlapan dihiasi butiran neon. Dari kejauhan neon-neon lampu itu kelihatan seperti kelip-kelip yang sedang berterbangan dalam satu kumpulan. Sebenarnya selama setengah jam perjalanan, kami dilayani oleh petugas umrah dengan alunan zikrullah dan penerangan tentang landmark yang terdapat sepanjang perjalanan. Petugas umrah lebih senang digelar mutawwif. Dia merupakan seorang pelajar universiti di Mekah. Pada pengamatanku, usianya masih muda namun perwatakannya terserlah matang, lelaki bujang berasal dari Indonesia, jelas seratus peratus pada loghat pertuturannya. Mutawwif di sini adalah sebagai tour guide, yang akan membimbing jemaah sepanjang berada di Mekah dan Madinah, dari segi ziarah ke tempat-tempat bersejarah di dua tanah haram ini hinggalah kepada hal-hal berkaitan ibadah umrah. Sungguh aku sudah lupa nama mutawwif yang seorang ini, kerana dia hanya bertugas menemani kami hingga ke hotel, atas sebab menggantikan temannya yang masih dalam perjalanan ke Madinah. Sepatutnya temannya itulah yang akan membimbing kami sepanjang kami di sini, dan di Mekah nanti.
Malam itu kami hanya berehat di bilik hotel. Aku dan Emak ditempatkan sebilik dengan 3 lagi ahli rombongan. Sebenarnya, anak saudara bapa membawa bersama suami, ibu dan jirannya, dan kami tinggal sebilik di hotel Al-Fayroz kecuali suaminya, yang tinggal bersama rombongan lelaki yang lain. Aku siap-siap membeli sim kad Arab Saudi supaya nanti mudah untuk berkomunikasi antara kami. Suami anak saudara bapa juga turut membeli sim kad Arab Saudi, agak kecoh sewaktu kami meminta si penjual yang merupakan butler hotel untuk mengaktifkan sim kad di telefon masing-masing. Apa tidaknya, kami tidak faham Bahasa Arab, sementara si penjual tidak fasih berbahasa Inggeris, sudahnya macam itik bercakap dengan ayam. Setelah segalanya selesai, kami turun ke kafe hotel untuk minum malam, walaupun telah terlalu lewat sebenarnya dan semasa di pesawat juga kami telah siap makan malam. Naik ke bilik, bergilir kami menyelesaikan urusan membersihkan diri. Masing-masing menarik selimut setelah usai solat jamak ta'khir. Esok perlu bangun awal untuk berjemaah Subuh di Masjid Nabi. Aku hanya tidur-tidur ayam kerana dalam hati sangatlah teruja untuk melihat keagungan masjid yang dibina oleh tangan Nabi sendiri, yang di dalamnya bersemadi jasad baginda yang mulia.
Kaki lima hotel Al-Fayroz
No comments:
Post a Comment