Rindu pada angin tanah haram menggigit-gigit tangkai memori, membuatkan hati ini sering meronta-ronta untuk bertamu lagi di situ. Aku membayangkan setiap detik di sana - kesyahduan setiap kali azan berkumandang, kenikmatan ruku' dan sujud pada setiap solat, kesegaran zam-zam yang mengalir membasahi tekak, keasyikan meneliti kawanan merpati di dataran al-Haram, kedamaian jiwa saat menatap Baitullah, ketenangan zikrullah dan qiraatul quran, keharmonian seluruh perasaan saat beriktikaf - ah segala-galanya tak terucap di bibir, tak terlukis dengan perkataan. Sudah 2 tahun tanah haram aku tinggalkan, namun suara azan Masjidil Haram masih mendayu-dayu di telinga, betapa jejak memori di tanah haram amat payah untuk aku hapus. Saban hari sering aku mainkan di layar memori, bimbang aku akan terlupa detik-detik di sana, kerana setiap detik-detik itu amat berharga buat aku, malah memori di tanah haram sudah menghuni sebahagian besar cakera memori. Memang aku peruntukkan begitu.
Di tanah haram, Allah telah menemukan aku dengan diriku yang fitrah. Tidak ada anugerah yang lebih agung daripada hidayah ini, sungguh kurnia Allah ini tak ternilai dan tak terbanding dengan apa pun di dunia. Memang aku lah orang yang paling rugi andainya aku mensia-siakan nikmat dan kurniaan-Nya yang satu ini. Justeru hanyalah kepada-Mu ya Allah aku berlindung daripada tersesat kembali ke lorong-lorong jahil masa lampau. Sungguh aku bermohon pada-Mu wahai Tuhan yang Maha memberi hidayah, jangan biarkan aku sendirian lagi, tanpa-Mu sememangnya aku lemah.
Setiap air mataku mengalir, Allah! aku lemah dan tak bererti;
Setiap derai tangis membasahi, Allah! jangan tinggalkan aku lagi.
[Wali Band]
Sememangnya, kadang-kadang orang-orang sekeliling menjadi wasilah untuk Allah memberi hidayah kepada hamba-Nya yang dipilih, dan segala puji-pujian yang tertentu bagi-Mu ya Allah, yang telah memilih aku untuk Engkau berikan hidayah-Mu. Melalui anak saudara bapa, Allah telah menjemput aku menjadi tetamu-Nya di tanah haram. Pada mulanya, aku terima pelawaan mereka atas alasan untuk menemani emak yang uzur ketika itu untuk mengerjakan umrah, seraya dalam hati ini pun sebenarnya tidaklah seratus peratus untuk menjadi tetamu Allah. Hati ini lebih memberati tanggungjawab untuk menjaga emak, sementelahan emak bukanlah sihat dan tegap untuk berumrah, malah untuk berjalan kaki dalam jarak yang sederhana pun sudah tidak ampuh. Mohon keampunan daripada-Mu ya Allah atas ketidak ikhlasan aku (pada mulanya) untuk memenuhi panggilan-Mu, mohon sangat-sangat.
Anta ya Rabb, Astagfiruka wa atuubu ilaika.
Aku jadi kaget tak berhujung pangkal bilamana tarikh keberangkatan ke tanah suci semakin hampir, rasa risau tak menentu, jiwa jadi kacau, fikiran jadi keliru, justeru memikirkan ilmu dan amalan yang sangat minimal untuk aku bekalkan ke tanah suci nanti. Lalu nafsu yang memujuk hati lantaran akal sudah tak dapat menguasai diri, kerap kali bisikan itu menyapa telinga, memberitahu diri yang aku akan ke tanah suci hanyalah sebagai penjaga emak, jadi perlu apa untuk gusar akan ilmu yang sedikit dan amal yang minimal? Bukankah menjaga emak juga satu ibadat? Buat apa bersusah-payah memenuhkan ilmu di dada walhal masa yang ada seharusnya diperuntukkan kepada persiapan kelengkapan barang-barang dan pakaian dan keperluan semasa di sana supaya permusafiran lebih selesa. Allah! Allah! Allah! Maha suci Engkau ya Allah, sudah Engkau zahirkan kasih sayang-Mu itu, bisikan itu tak mampu menyembuhkan jiwa yang kacau dan fikiran yang keliru. Engkau lantas mengirimkan hidayah lagi kepadaku, untuk aku menimba ilmu sebagai bekalan di tanah suci nanti. Biar waktu semakin suntuk, namun masa masih ada untuk aku mempersiapkan diri untuk menjadi tetamu-Mu. Diam tak diam, bisikan jahat tadi hilang bersama kejahilan yang aku halau dengan hidayah Allah yang Dia kirimkan. Lalu hati kudus ini mengadu pada-Nya : terimalah aku sebagai tetamu-Mu yang paling istimewa, yang paling Engkau suka, dan yang paling Engkau sayang. Ya, aku mohon kasih sayang-Mu ya Allah, layanilah aku di tanah suci-Mu dengan keizzahan-Mu, supaya aku menjadi lebih baik daripada sebagaimana diriku sekarang. Jangan relakan aku tenggelam dalam kejahilan dan kealpaan dunia, jangan biarkan aku hanyut bersama keenakan dan kenikmatan yang fana dan sia-sia. Mohon sangat-sangat.
Lewat beberapa hari lagi daripada hari yang ditunggu-tunggu, sekali lagi Allah mempamerkan kasih-Nya yang infiniti, bilamana seorang teman memperkenalkan sebuah buku panduan di tanah suci, katanya buku itu amat popular di kalangan tetamu tanah haram (walhal itu kali pertama aku mendengar tajuk buku itu, sungguh menampakkan ketidak caknaan aku pada keinginan menjadi tetamu tanah haram). Sang teman sungguh-sungguh menyarankan aku untuk memiliki dan mengkaji isi kandungan buku itu, kerana sebagaimana pengalamannya sebelum ini yang sudah ke tanah haram, banyak keberuntungan yang dia peroleh daripada coretan perjalanan si penulis. Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman - begitu bunyi tajuk buku yang dimaksudkan, buat aku tertarik untuk memilikinya. Lantas keesokan harinya beberapa kedai buku aku terokai, namun hampa, semua pun sudah habis terjual. Aku hampir putus asa sehingga Allah menggerakkan aku untuk ke kedai buku yang terakhir, yang pada awalnya aku berkira-kira untuk masuk dan lihat, kerana pada firasat aku kedai buku yang itu tak mungkin menjual genre buku seperti Travelog Haji : Mengubah Sempadan Iman. Syukur, syukur yang infiniti, Allah menemukan aku dengan buku tersebut, dan memang ajaib bila aku dapat menghabiskan pembacaan dalam masa 1 malam, walhal kalau diikutkan pada ketebalan dan isi kandungan buku, pada kebiasaan tahap pembacaan aku yang suam-suam kuku, memakan masa paling cepat seminggu untuk dihabiskan. Sungguh aku terpesona dengan catatan si penulis, sehinggakan setiap helaian yang aku baca membawa bersama deraian air mata, menunjukkan betapa si penulis sangat ikhlas dan tawadduk dan tulus sewaktu menulis. Katanya di helaian penghargaan : kalau ada pembaca yang menangis ketika membaca catatannya, maka ketahuilah, dia menulis dalam keadaan teresak-esak dan tersedu-sedu. Aku akui kata-katanya itu, kerana setiap bait catatannya dapat dirasai keinsafannya, setiap bicara hatinya bagai berbicara dengan Allah, Sang Kuasa, setiap tulisannya boleh diteliti kesungguhannya mengajak pembaca untuk merasai apa yang telah dia lalui.
Ada persamaan antara aku dan si penulis buku tentang pengalaman sebelum ke tanah haram. Sebenarnya, pernah aku terlintas di fikiran suatu ketika dahulu, lama dahulu, lama sebelum ura-ura emak mahu ke tanah haram untuk berumrah, lama hinggakan ketika itu langsung tak terlintas di fikiran untuk ke tanah haram dalam usia semuda ini. Pada fikiran yang jahil yang hanya memikirkan dunia, dunia dan dunia, aku berpendapat biarlah aku begini sahaja - iaitu asalkan aku tidak meninggalkan kefardhuan yang wajib dan tidak melakukan yang terang-terangan haram, asalkan aku bertudung walau berpakaian seksi, asalkan aku tidak campur urusan orang lain dan orang lain tak campur urusan aku - syarat yang sangat minimal untuk menjadi penghuni syurga dan alasan yang cukup baik untuk dicampak ke neraka..Na'uzubillah, na'uzubillah, na'uzubillah! Apa guna aku taat pada suruhan Allah walhal dalam masa yang sama akulah orangnya yang meruntuhkan syiar Islam - tak mahu menuntut ilmu, tak mahu berdakwah, tak mahu menghidupkan sunnah, tak mahu memperbaiki ibadat, tak mahu bersedekah, tak mahu membantu agama, tidak mahu bersabar, malah asyiknya mengejar dunia dan pangkat dan harta, menurut kehendak dan cita-cita nafsu, mengekalkan yang syubahat, memandang ringan pada dosa kecil. Tidak bertaubat, tidak pula berusaha untuk melakukan taubat. Tidak mahu peduli sama ada ibadat yang sedikit itu diterima Allah ataupun tidak, yang penting aku buat. Aku masih ingat kata-kata Ustaz Azhar Idrus : dibolehkan kalau hanya mahu melakukan ibadat wajib, tanpa langsung melakukan yang sunat, tapi pastikan diri langsung tak berbuat dosa. Apakah yakin setiap hari bersih daripada dosa? Bahkan setiap detik pun belum tentu berisi pahala. Allahu Akbar!
Melewati batas waktu, hari yang dinanti pun tiba. Hati ini semakin bergementar. Adakah aku diterima Allah sebagai tetamu-Nya, sedangkan diri ini saban hari berbalut dosa? Masihkah ada ruang untuk aku berteduh di hamparan rahmat dan kasih sayang-Nya, walhal selama ini diri jauh dari agama? Apakah akan terampun dosa-dosa silam yang sedang sarat aku bawa ke rumah-Nya, sedangkan hidup ini selalu lekang daripada mengingati-Nya? Sepanjang perjalanan - bermula daripada kaki melangkah keluar rumah, sehinggalah kaki mencecah tanah Madinah - hati ini tak jemu memohon pada-Nya, mohon sangat-sangat, dipermudahkan segala urusan dan janganlah disusahkan dengan musibah sepanjang perjalanan. Hanya Dia yang tahu betapa seluruh jasad ini terlalu malu untuk menjadi tetamu-Nya. Tak layak diri yang hina ini meminta lebih daripada apa adanya. Lantas keberserahan pada-Nya adalah yang terbaik, sungguh aku menyerah diri pada-Nya, redha atas apa sahaja yang ditakdirkan, sementelahan diri ini bukanlah hamba yang taat, maka tidak selayaknya untuk meminta dan mengumam pada segala ketidak sempurnaan.
Pada perkiraanku, segala-galanya berjalan lancar, ujian kecil sepanjang perjalanan diatasi dengan redha, sebagai peringatan agar selalu berserah pada-Nya dalam apa jua keadaan pun. Sungguh aku tak merasa susah akan ujian kecil itu, Allah bantu aku mengatasinya dengan cara Dia. Aku terlalu kagum dengan kekuasaan-Nya, dan hati kecil ini sangat terharu dengan kasih sayang yang Dia pamerkan, walau aku ini selalu bena tak bena dengan seruan-Nya. Aku mohon pada-Mu ya Allah, ampunkan dosa-dosa silamku. Mohon sangat-sangat.
Baitullah, Mekah
No comments:
Post a Comment