Tuesday, March 31, 2015

Melankolik [2]

lima

Benar. Aku tidak langsung perlukan kamu. Kamu sudah aku kikis daripada menyalut setiap inci saraf ingatan aku. Seluruh yang berkenaan kamu telah aku racun daripada meliar dalam rimbun memori aku. Setiap sentimen kamu rakus aku hapus daripada merusuh pada naluri aku. Aku bebas daripada belenggu cinta dan suka yang kejap menyimpul perasaan aku. Biar sehalus kuman, akan aku pasti virus bernama kamu mati bersama bisa sebal yang aku suntik. Genom-genomnya aku mutasi dengan gen-gen benci dan jengkel, biar sampai cacat. Pasti genetiknya pupus tidak bermandiri.

Benar. Aku dan kamu tidak ditakdirkan berkongsi apa-apa, walau getaran tidak bermagnitud yang hadir dalam hati. Sebetulnya, kamu tidak layak bersama aku. Aku sangat percaya, yakin, mulianya Hawa tercipta berpaksikan rusuk Adam. Bukan berbanirkan cinta dan suka yang muak berlambak. Bukan bernaungkan rimbun asmara yang mudah diracun rintik cemburu. Bukan berjamungkan khayalan dan angan-angan palsu yang malap dalam gelap. Bukan berlakarkan contengan dongeng pada atmosfera biru yang bisa padam bila malam menyelimut terang langit. Tidak sama sekali.

Benar. Kamu yang berasal dari sempadan yang sama dengan aku (cuma lain lingkungan) pernah mengisi jirim-jirim hati dan naluri aku. Kamu yang melihat dunia bersama aku (awal dua hari dari aku bergelar manusia) mampu menarik ego aku pada paras serendah-rendah lapisan bumi. Kamu yang dituduh memiliki persamaan jiwa dengan aku tuntas mencarik-carik fikiran waras aku suatu masa lalu. Kamu kini sudah aku lempar jauh-jauh, sampai tidak kembali. Kamu tidak punya apa-apa untuk aku kenang. Kamu hanya manusia naif yang buta pada keunggulan takzim.

Benar. Bertemu kamu sebesar-besar kesilapan. Membina kaitan antara kamu sebodoh-bodoh kejahilan. Memelihara cinta dan suka terhadap kamu sebazir-bazir perasaan. Lantas hubungan dengan kamu aku zahir pada penyesalan yang aku lukis pada seluas-luas kanvas ketenangan. Biar kesucian warna penanya terpelihara.

Benar. Ini kali terakhir aku bercerita tentang kamu.

empat

Sungguh sisa cinta dan suka ini masih berbaki. Jika tidak masakan gementar di dalam seluruh diri aku pada saat nama kamu terimbas dalam ingatan aku. Andai bohong dari mana datang gelisah bila nama kamu bergema memukul gegendang telinga aku. Kalau pura-pura gerangan apakah yang menyentap saraf aku hingga berserakan bebuli darah ke serata kapilari sebaik kamu berpintas mencetus bualan sungguh hanya di ruang virtual. Aku amat pasti ini pengaruh baki sisa cinta dan suka.

Benar, aku mengaku. Seluruh perasaan aku masih belum ampuh menangkis serangan asmara itu. Jiwa aku belum benar-benar sembuh daripada luka kehilangan kamu. Naluri aku bertubi-tubi mengasak cinta dan suka itu walau nafas aku kadang-kadang terputus menghalang mabuk rindu pada sekalian yang bersangkutan kamu. Hebat benar penangan cinta dan suka walau hanya tinggal sisa.

Angan-angan rupa-rupanya masih lagi meruntun dalam kekotak impian yang aku atur kemas dalam ruang kamar hati aku. Ruang kamar yang tidak pernah aku benarkan siapa-siapa huni selain kamu. Semua masih murni untuk kamu, walau aku selalu sedar kamu tidak pernah sudi singgah menjenguk masuk. Biarlah angan-angan indah bersama kamu kekal diam dalam kekotak impian mengisi jirim dalam kamar hati aku. Aku takut, gundah andai angan-angan itu sirna tiba-tiba bila ruang kamar hati aku bertamu insan lain, kerana ruang itu memang terlalu istimewa buat kamu bertakhta.

Separuh nafas yang tinggal ini aku jadikan penawar saat pedih menjalar dalam zarah-zarah perasaan aku bila ingatan menyapa memori bersama kamu. Aku amat mengerti memori itu sebenarnya perlu aku campak jauh-jauh, sampai tidak kembali. Jangkaan dan perhitungan aku selama ini rupa-rupanya sungguh tersasar dari realiti. Aku silap menduga kelibat pasrah yang melintas dalam jajaran semangat yang aku asuh. Aku masih belum rela melupakan kamu. 

tiga

Apa sebenarnya maksud kamu? Sungguh tidak aku mengerti. Kamu mahu mencantum kembali perasaan aku yang telah kamu carik-carik? Kamu ingin sambung kembali temali jiwa aku yang telah kamu patah-patah? Kamu hendak kuis kembali perasaan suka dan cinta aku yang telah kamu sebatikan dengan dendam dan amarah? Justeru untuk apa kamu bangkitkan kembali kemesraan yang telah cuba aku tarah?

Ya, benar. Sungguh aku rasa bahagia, hingga saat ini, bila kamu asyik mengusik naluri aku, walau segala cinta dan suka telah sedaya aku racun. Aku kalah, aku lemah, aku tidak ada kuasa menghapuskan akar umbi cinta dan suka itu. Ego aku letak pada serendah-rendah lapisan bumi demi kamu. Jangan tanya mengapa, atau bagaimana, atau sejak bila. Aku tidak punya sebarang jawapan untuk semua pertanyaan kamu. Hanya aku mahu kamu tahu cuma cinta dan suka aku ini memang tidak upaya aku racun, akar umbinya tidak ada kuasa untuk aku hapus, walau hakikatnya aku cuma mampu bercerita pada bulan dan suria tentang cinta dan suka aku ini.

Tolonglah, tinggalkanlah aku, aku rayu kamu, jangan cantum lagi perasaan aku, jangan sambung lagi jiwa aku, jangan kuis lagi cinta dan suka itu. Sudah letih aku memujuk seluruh diri aku, mengasuh setiap suka dan cinta aku melupakan kamu. Kamu sudah temui keindahan dalam setiap babak cinta yang kamu sendiri pilih. Aku juga bahagia bila kamu rasa begitu, kerana sampai syurga cinta dan suka aku bawa.

dua

Kamu sudah pergi sana, tidak mengapa, aku tidak akan apa-apa. Aku tahu bagaimana mahu rawat kehilangan kamu.
Kamu pasti tidak kembali, aku faham kenyataan itu. Aku sangat mengerti aku bukan perhentian terakhir kamu.
Kamu tidak mungkin lagi aku lihat dengan hati yang sarat cinta dan suka, akan aku pastikan itu. Aku tidak mahu kamu rasa tidak selesa dengan kehadiran aku.

Suara-suara kamu selalu melukiskan memori di atas kanvas ingatan aku. Aku mesti padam cepat-cepat sebelum lukisan itu jadi mural indah yang selalu menjamu mata hati aku.
Tingkah laku kamu sentiasa mengundang rasa bahagia, membawa diri aku terus mengembara ke belantara cinta yang penuh dengan flora fauna bernama kamu. Aku mesti segera pulang sebelum aku sesat sendiri mencari cahaya menyuluh jalan pulang.
Rupa paras kamu kadang-kadang menjenguk masuk dalam mimpi aku, hingga hampir aku tidak mahu bangun dari lena, walaupun kamu cuma menunjukkan tidak suka kamu dalam bayangan mimpi itu. Aku mesti celikkan mata aku sebelum tidak suka kamu betul-betul kamu tunjuk pada aku bila ada kehadiran aku.

Kamu sudah pergi...
Kamu pasti tidak kembali...
Kamu tidak mungkin lagi aku lihat...

*Ini bukan mimpi, ini realiti hari ini ! *
*Ini bukan mimpi, ini realiti hari ini ! *
*Ini bukan mimpi, ini realiti hari ini ! *
*Ini bukan mimpi, ini realiti hari ini ! *
*Ini bukan mimpi, ini realiti hari ini ! *
*Ini bukan mimpi, ini realiti hari ini ! *
*Ini bukan mimpi, ini realiti hari ini ! *
*Ini bukan mimpi, ini realiti hari ini ! *
*Ini bukan mimpi, ini realiti hari ini ! *
*Ini bukan mimpi, ini realiti hari ini ! *

Maaf, aku hanya mahu ingatkan diri aku.

Kamu sudah ada dia. Dia yang pada naluri kamu jauh lebih unggul dari aku. Dia yang semestinya memenuhi impi kamu. Dia yang pasti menyesak cinta dalam dada kamu. Dia yang lebih dahulu aku tahu daripada kamu. Dia yang kononnya sangat benci kamu suatu ketika dahulu. Dia yang kamu caci dari belakang tidak lama lalu.
Mesti kamu rasa bangga memiliki dia. Tentu kamu rasa hebat bila bersama dia. Pasti kamu rasa teruja bila dia mengungkap cinta dan suka pada kamu. Kamu tidak jijik menjilat ludah sendiri. Kamu betah bermain kata-kata dusta. Kamu suka ungkap apa yang kamu tidak buat. Aku cukup tahu jenis kamu ini bagaimana, walau masa mengenali kamu amat singkat.

Naluri macam kamu hanya menumpu pada keseronokan yang batil. Jiwa yang berada dalam diri kamu sungguh enteng dari tulus dan takzim. Perasaan kamu mudah benar tertipu dengan keindahan yang bersadur kepuraan, yang semestinya tidak tulen. Aku sungguh belas pada diri kamu, kamu sangat naif.

satu

Tidak pernah. Aku tidak pernah ada kesombongan. Baik dahulu, baik sekarang. Cuma, beri aku masa untuk pujuk hati yang sedang rajuk. Hati yang selama ini tidak pernah sunyi dari cinta dan suka. Hati yang tulus membaja kasih dan sayang. Hati yang sentiasa menakung rindu. Hati yang begitu digelung mimpi dan angan-angan memiliki kenyataan masa depan bersama. Hati yang meriba impian cinta dan asmara yang fana sampai bila-bila. Hati yang amat degil menerima realiti sesungguhnya segunung harapan itu telah pecah merekah menerbangkan puing-puing kecewa nestapa yang sesak memenuhi jirim ruang. 

Maaf, tidak bisa aku menerima kamu bagai teman biasa. Tidak boleh. Sudah jerih aku usaha. Lagi usaha aku lipatganda, lagi seluruh diri aku berlari menghampiri kamu. Kamu usah cakna perilaku semulajadi aku ini. Kamu usah kuatir pada sebarang wabak cinta yang aku bawa. Kamu usah leka dengan virus asmara yang aku sebar; bertindaklah menghalang virus-virus itu merebak ke jiwa kamu. 

Aku sedia tahu aku bukan angan-angan kamu. Aku terlalu mengerti naluri bagaimana yang kamu impi. Aku sememangnya kenal isyarat tidak suka yang kamu selalu beri. Tidak perlu kamu berpura-pura menyembunyi tidak suka kamu itu.

Tinggalkan aku sendiri. Rajuk aku ini tidak dapat dipujuk. Biar aku mengasuh seluruh diri aku membuang kamu dari apa-apa yang berkenaan dengan aku. 

prolog

Lagu itu aku dengar ulang kali. Banyak. Lebih dari sepuluh kali. Masih tidak pernah jemu. Bila dengar lagu itu perasaan aku rasa bahagia, dan nyaman. Ya, bahagia dan nyaman. Lagu itu banyak simpan rasa keindahan. Baik, tambah lagi satu. Bahagia, nyaman dan indah. Bila dengar lagu itu kadang-kadang air mata merembes keluar tanpa sebab. Bila dengar lagu itu jiwa aku hinggap terus pada pemilik raut wajah itu. Aku pejam mata rapat-rapat, biar semua kronologi bersama pemilik raut wajah itu tergambar sempurna dalam ruang gelap ingatan yang aku cipta sendiri. Biar perasaan bahagia, nyaman dan indah itu menyalut seluruh atma aku. 

Bait lagu itu sudah boleh aku hafal. Pertama kali aku dengar lagu itu melalui nada deringan mobil pemilik raut wajah itu. Namun ketika itu aku masih tidak mengenali perasaan pemilik raut wajah itu. (Sebetulnya masih tidak hirau.) Pertama kali bersua suara dengan pemilik raut wajah itu beri aku gambaran tidak enak tentang seluruh yang berkenaan dengan dia. Tidak suka. Bila sesi bertukar-tukar latar belakang dengan pemilik raut wajah itu, aku tidak turut serta. (Sebetulnya mengelak.) Benci. Rupa-rupanya pemilik raut wajah itu berasal dari lingkungan yang sama dengan aku, cuma lain sempadan. Aku bertambah jengkel. Dalam hati asyik mengharap pemilik raut wajah itu tidak sekali-kali bertanya asal usul aku, dan harapan aku jadi realiti. Tidak mahu pemilik raut wajah itu tahu. Tidak mahu apa-apa persamaan pun dengan dia. Jelik.

Irama lagu itu selalu berdendang dalam fikiran sungguhpun gegendang telinga aku tidak dipukul oleh paduan muziknya. Irama lagu itu sudah sebati dengan naluri aku. Lagu itu aku muat turun sendiri, tidak ambil dari pemilik raut wajah itu. Tidak mahu berurusan dengan dia. Namun bila cerita aku memuat turun lagu itu sampai ke pengetahuan pemilik raut wajah itu, cabaran baru mula lahir. Cabaran untuk aku merapatkan diri kepada pemilik raut wajah itu. Cabaran yang aku sahut bersama keegoan. Cabaran yang akhirnya buat aku ingin berkali-kali menjamu hawa telinga dengan lagu itu lalu merembeskan air mata. Langkah pertama demi cabaran itu aku sahut dengan menyatakan hasrat aku terhadap pemilik raut wajah itu untuk berkongsi lagu itu. Lalu pemilik raut wajah itu berikan capaian ke lokasi yang menyimpan seluruh koleksi lagu-lagunya dan aku terus teruja menjelajah semua koleksi lagu-lagunya. Ternyata kebanyakan koleksi lagu-lagunya amat serasi dengan rentak jiwa aku. Aku terus teruja sambil di luar kesedaran telah meluahkan keterujaan aku terhadap pemilik raut wajah itu. Berpatah-patah nukilan keterujaan yang aku hambur dia balas dengan sebaris kata sahaja. Aku jadi sedikit jauh hati, sedikit bingung, sedikit kecewa, sedikit tidak puas hati, sedikit rasa bersalah, sedikit malu, dan selebihnya teruja. Cabaran itu tidak membawa apa-apa tekanan terhadap aku sebenarnya. 

Itu lagu Istimewa. Sampai buat aku terpesona. Selalu. Buktinya aku sampai kini tidak sekali pun rasa tidak mahu mendengar lagu itu. Tidak pernah. Aku tidak hanya mendengar lagu itu, malah merasa rentak iramanya. Sudah serasi. Sudah meresap dalam naluri. Tapi ada yang tidak gemar akan lagu itu, berpendapat lagu itu tiada jiwa. Bagai lagu iklan televisyen. Bila aku luahkan kegairahan aku terhadap lagu itu ada yang menganggap aku memiliki jiwa yang sama dengan pemilik raut wajah itu. Sekelumit ketidakselesaan menyerbu masuk dalam segenap perasaan. Yang sekelumit itu makin lama makin menjumlah ketika bukti pemilik raut wajah itu rupa-rupanya melihat dunia awal dua hari dari aku bergelar manusia terungkai. Sungguh satu kebetulan. Sudahlah dari sempadan yang sama (cuma lain lingkungan), saat melihat dunia (awal dua hari dari aku bergelar manusia) juga serupa. Kenyataan itu tidak melahirkan sebarang perubahan terhadap aku pun.

Aku mencari pemilik suara yang mengalunkan lagu itu. Tidak pernah kenal. Pertama kali membaca tentangnya. Tidak tahu ejaannya bagaimana. Hanya tahu sebutan. Sedang meneka-neka susunan hurufnya, pemilik raut wajah itu menyergah dari belakang. Sungguh terperanjat. Terus keluar dari situasi itu. Sungguh rasa malu yang amat sangat. Malu dan jelik. Benci amat. Datang tidak diundang. 

Hanya lagu itu yang enak di hawa telingaku. Lagu-lagu lain alunan suara yang sama tidak enak. Tidak boleh terima. Terlalu penat untuk dilalukan ke terusan dalam telinga, sudah lelah bila mahu memukul gegendang. Pemilik raut wajah itu menyarankan lain-lain lagu yang aku tidak boleh terima, yang penat untuk dilalukan ke terusan dalam telinga dan lelah untuk memukul gegendang. Citarasa ternyata berbeza di situ. Aku jadi girang, temui juga kelainan antara pemilik raut wajah itu. Boleh dijadikan pembela diri tatkala citarasa aku dituduh sama dengan citarasa pemilik raut wajah itu.

Jiwa aku terapung dalam ruang gelap ciptaan aku sendiri, masih, membiarkan lagu itu terus mengiang-ngiang di situ, sambil ingatan tuntas mengemudi jalan cerita aku dengan pemilik raut wajah itu. Ingatan yang sudah meruap-ruap, persis cecair yang sudah melebihi takat didih. Sungguh, semua masih tidak pernah aku lupa. Setiap bait yang tercipta, seluruh kata yang terucap, segenap perasaan yang lahir, mampu aku gambar tanpa sepicing tercicir. Bila ada suara mahu menyatukan jiwa aku dan pemilik raut wajah itu aku sekadar mempersenda, kadang-kadang turut sama membingitkan suara-suara itu, sudah tidak enteng menidakkan suara-suara itu. Mana mungkin naluri aku dan pemilik raut wajah itu menjadi satu. Tidak masuk akal. Mustahil amat. Kerana kadang-kadang aku merasakan pemilik raut wajah itu adalah aku dalam versi adam. Kerana hari demi hari aku temukan jirim-jirim persamaan antara aku dan pemilik raut wajah itu. Kerana jiwa ini sangat diselimuti keegoan yang tebal. Tidak mahu menjilat ludah sendiri bila mengakui telinga ini sudah pandai merindui bicaranya. Tidak rela menipiskan selimut egois bila mata ini sudah selalu menggambar setiap gerak lakunya, manis senyumnya, gundah parasnya tatkala mahu mengalih pandangan bila renungan matanya terpanah sinar mataku. Tidak mampu mengemudi jiwa bila naluri selalu ingin menyentuh sanubari pemilik raut wajah itu. Tidak ingin mengakui selautan perasaan ini sudah rela menyimbah cinta ke dalam hati pemilik raut wajah itu yang kontang usang tidak berorang.

Entah. Aku tidak bena, bila tidak suka ini jadi untaian cinta. Tidak sedar. Mungkinkah ketidakentengan aku memalsukan suara-suara yang ingin menyatukan jiwa aku dengan pemilik raut wajah itu menjadi punca. Atau barangkali gerak balas pemilik raut wajah itu seakan mahu berbicara tentang cinta, tentang suka, tentang berdua. Atau jangan-jangan pemilik raut wajah itu juga sebenarnya terlalu ingin berkongsi naluri dengan aku. Ah, itu betul-betul membawa aku mengembara ke atmosfera biru, menganyam awan menjadi hamparan, memetik bintang-bintang menghias hamparan, lalu beradu di bawah lembayung bulan berhampar awan. Memang bahagia, nyaman dan indah. Tidak perlu bermain dengan silangkata cinta yang pemilik raut wajah itu beri kerana semuanya telah terlukis di atas sana. 

Lagu istimewa itu sampai ke ritma terakhir. Aku membuka mata, perlahan. Cukuplah setakat ini lagu itu aku dengar berulang. Ingin keluar dari ruang gelap itu, menjemput realiti. Realiti yang wajib aku kecap, biar bagaimana rasa ia. Pemilik raut wajah itu sudah menjawab berangkap teka-teki yang dia sendiri beri. Kanvas yang aku lukis di atas langit biru selama ini rupa-rupanya hanya contengan dongeng yang aku reka sendiri. Aku bukan naluri yang pemilik raut wajah itu damba. Aku tidak pernah mengisi jirim-jirim memorinya. Aku tidak ada apa-apa maksud dalam juzuk kamus keinginannya. Silap aku terlalu yakin menebas rimbunan egois demi serumpun cinta yang tumbuh tidak berbenih. Salah aku jua yang hanya sebenarnya mampu berharap sahaja rumpun cinta tidak berbenih itu jadi naungan asmara mengganti rimbunan egois yang aku cantas. Mana mungkin lumrah alam merestui. 

No comments:

Post a Comment